#1272: Zirafah Sebagai Haiwan Korban?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Memandangkan zirafah ini adalah haiwan yang halal untuk dimakan dan juga ia mirip kepada unta dan lembu, maka adakah zirafah boleh dijadikan sebagai haiwan untuk ibadah korban? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi zirafah

Secara umumnya, zirafah ialah sejenis binatang yang tinggi dan panjang lehernya, dengan warna badan yang bertompok-tompok. Zirafah ialah haiwan yang tertinggi daripada kesemua haiwan. Zirafah jantan mungkin membesar lebih daripada 5.5 meter tingginya. Kebanyakan zirafah jantan dewasa tingginya kira-kira 5.2 meter, dan kebanyakan zirafah betina membesar sehingga kira-kira 4.3 meter tingginya. Zirafah menjadi tinggi kerana kakinya, yang tingginya 1.8 meter, dan lehernya yang mungkin lebih panjang lagi. Walaupun zirafah menjulang lebih tinggi daripada haiwan lain, tetapi zirafah tidak begitu berat. Kebanyakan zirafah jantan dewasa beratnya hanya kira-kira 1200 kilogram. 

Zirafah hidup di Afrika di selatan Sahara, di hutan jarang terdedah. Zirafah memakan daun, ranting, dan buah dari pokok dan pokok renek. Zirafah boleh hidup tanpa meminum air selama berminggu-minggu. Bulu zirafah bertompok-tompok berwarna kuning keperangan hingga perang berangan. Garisan yang memisahkan tompok-tompok itu berwarna kuning keperangan yang lebih cerah atau putih. Pola warna ini membantu melindungi zirafah dengan menjadikannya sukar dilihat semasa ia berdiri di celah-celah pokok. 

Beberapa ladang di Afrika menternak zirafah untuk dagingnya. Sesetengah pakar telah menggesa agar menggunakan haiwan seperti zirafah, badak air, dan antelop Afrika untuk tujuan ini. Daging yang dibekalkan oleh haiwan ini boleh memperbaik diet berjuta-juta orang Afrika yang memakan sedikit daging. Haiwan ini cepat bertambah berat badan dengan memakan tumbuhan tropika, berbanding dengan lembu atau biri-biri. Zirafah memakan makanan yang tumbuh begitu tinggi pada pokok, yang tidak dapat dicapai oleh haiwan jenis lain yang dimakan oleh manusia. Dari segi pengelasan saintifik, zirafah tergolong dalam famili zirafah, Giraffidae. Ia adalah Giraffa camelopardalis. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 22/753-756).

Begitu juga daging zirafah adalah halal untuk dimakan mengikut pendapat yang paling sahih. Berkenaan hal ini, kami telah menjawabnya dalam artikel kami yang bertajuk: #645 Makan Daging Zirafah.

Zirafah sebagai Haiwan Korban

Pada asasnya, aturan dalam pelaksanaan ibadah korban telah pun ditetapkan oleh syariat dengan jelas. Bagi pelaksanaan ibadah korban, telah diletakkan syarat haiwan-haiwan tertentu dalam melaksanakan ibadah ini iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy) serta jenis-jenisnya. Selain daripada tiga jenis haiwan tersebut, tidak pernah dinukilkan pula daripada Nabi SAW dalam melakukan ibadah korban. 

Para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa binatang-binatang yang boleh dibuat korban ialah binatang-binatang yang termasuk dalam kategori bahimah al-an‘am (haiwan ternakan) yang diwajibkan zakat iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy).

Allah SWT berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap bahimatul an‘am (binatang ternakan) yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”

(Surah al-Hajj: 34)

Imam al-Baghawi berkata: Lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385). 

Imam al-Syaukani pula menyebutkan, ini mengisyaratkan bahawa haiwan korban hanya berupa binatang ternakan, tidak yang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 3/535). Binatang ternakan (بَهِيمَة الْأَنْعَام) bermaksud unta, lembu dan kambing (termasuk segala jenis-jenisnya). Ini telah diketahui dan masyhur dalam kalangan orang-orang Arab. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Hasan, Qatadah dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/9).

Tambahan pula, hal ini telah dinukilkan wujudnya ijma‘ (kesepakatan) dalam perkara ini oleh Imam al-Nawawi, Ibn  ‘Abd al-Bar, Ibn Hazm dan selainnya. Imam al-Nawawi menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibas, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama. Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah bahawa melakukan ibadah korban dengan zirafah adalah tidak dibolehkan dan tidak sah kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan yang dimaksudkan mahupun jenis-jenisnya, sekalipun ia halal untuk dimakan dan sebahagian ladang menternaknya bagi mendapatkan dagingnya. Begitu juga kemiripannya dengan sesuatu haiwan yang boleh dijadikan sebagai korban tidak boleh dijadikan hujah bagi menyamakan hukumnya secara total, sedangkan pada asalnya ia adalah haiwan yang berbeza sama sekali. Hal ini kerana yang dimaksudkan dengan ‘haiwan ternakan’ yang boleh untuk dijadikan sebagai haiwan korban ialah kambing, lembu dan unta serta termasuklah juga jenis-jenisnya.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H