#1278: Korek Telinga dengan Jari Siang Ramadhan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Telinga saya kadang-kadang gatal sangat, jadi bolehkah saya mengorek telinga saya dengan hujung jari sekadar menghilangkan gatal-gatal tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, di antara perkara yang membatalkan puasa ialah masuknya sesuatu benda (‘ain) melalui rongga terbuka ke dalam jauf. Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menjelaskan, lafaz “masuknya sesuatu benda (‘ain)” telah mengeluarkan udara daripada termasuk bersamanya. Justeru, tidak membatalkan puasa dengan masuknya udara ke dalam jauf. Begitu juga dengan rasa dan bau semata-mata tanpa adanya partikel (‘ain), tidak akan membatalkan puasa jika ada yang sampai ke dalam jauf.

Kemudian lafaz “rongga terbuka” pula telah mengeluarkan (yakni tidak termasuk dalam maknanya yang membatalkan puasa), jika sesuatu benda itu sampai ke dalam jauf bukan melalui rongga terbuka seperti minyak dan seumpamanya melalui serapan liang roma. Semua adalah rongga terbuka menurut mazhab Imam al-Syafi‘i kecuali mata (tidak termasuk), demikianlah juga telinga (tidak termasuk dalam rongga terbuka) di sisi Imam al-Ghazali. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 451-452).

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, yang dimaksudkan dengan ‘ain ialah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata sekalipun ia kecil seperti bijan, dan begitu juga sekalipun ia tidak dimakan seperti batu kerikil dan benang. Berbeza halnya dengan kesannya sahaja seperti bauan melalui hidu, dan air panas dan sejuk melalui rasa, maka ia tidak memberi kesan kepada puasa. Jauf ialah bahagian otak, bahagian selepas halkum sehingga ke perut dan usus-usus. Manakala rongga terbuka pula ialah mulut, telinga, kemaluan depan dan kemaluan belakang sama ada lelaki mahupun perempuan. Justeru, jika masuknya ‘ain ke dalam jauf melalui salah satu daripada rongga yang terbuka dengan sengaja dan tidak terpaksa, maka batallah puasanya dan dia wajib mengqadha’kannya semula. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/181).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya telinga termasuk dalam rongga yang terbuka mengikut pendapat yang mutamad dalam mazhab Syafi‘i. Menurut Imam al-Nawawi menitiskan sesuatu ke dalam rongga bahagian dalam (batin) telinga membatalkan puasa menurut pendapat yang paling sahih (asah). (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 75).

Seterusnya al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi kenyataan Imam al-Nawawi tersebut dengan menyebutkan, menitiskan sesuatu ke dalam rongga bahagian dalam (batin) telinga membatalkan puasa sekalipun ia tidak sampai ke bahagian otak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/156). Dalam erti kata lain, puasanya seseorang itu dikira terbatal apabila sesuatu benda atau titisan tersebut masuk sehingga ke had batin telinga, kalau sekadar had zahir, masih lagi belum dikira batal. Berkenaan dengan had batin ini, dapat difahami melalui penjelasan daripada al-Damiri, di mana beliau menyatakan, menitiskan sesuatu ke dalam rongga bahagian dalam telinga membatalkan puasa sekalipun ia tidak sampai ke bahagian otak, bahkan ia melebihi had tengkorak kepala. (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 3/297).

Maka, jelaslah bahawa had batin telinga itu adalah apabila melebihi had tengkorak kepala iaitu tempat di mana mata sudah tidak dapat melihat ke dalamnya seperti telah sampai kepada gegendang telinga dan melepasinya.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan seseorang mengorek telinga dengan hujung jarinya pada siang Ramadhan tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana biasanya hujung jari seseorang yang normal tidak akan mampu untuk sampai ke bahagian had batin telinga iaitu melepasi had tengkorak kepala.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H