Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, apa hukum memakai cincin yang ada kalimah Allah atau Rasulullah, kemudian dia masuk ke dalam tandas?
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW apabila masuk ke dalam tandas, Baginda akan menanggalkan cincinnya.”
Riwayat Ibn Majah (303)
Ibn Qudamah menyatakan: “Apabila seseorang itu hendak masuk ke dalam bilik air dan terdapat bersamanya sedikit daripada sebutan nama Allah, maka disunatkan untuk dia membukanya.” (Lihat al-Mughni, 1/167)
Al-Mardawi menyebut: “Pendapat yang sahih dalam mazhab (Hanbali) adalah, makruh bagi seseorang itu masuk ke dalam bilik air dengan membawa sesuatu yang terdapat nama Allah padanya.” (Lihat al-Insaf, 1/94)
Syeikh Muhammad al-Mubarakfuri berkata:
قَوْلُهُ (إِذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ) أَيْ أَرَادَ دُخُولَهُ قَوْلُهُ (نَزَعَ) أَيْ أَخْرَجَ من أصبعه (خاتمه)
“Yakni, apabila Rasulullah SAW hendak masuk ke dalam bilik air, maka Baginda menanggalkan cincin daripada jarinya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/348)
Syeikh ‘Ali al-Qari berkata:
لِأَنَّ نَقْشَهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى تَنْحِيَةِ الْمُسْتَنْجِي اسْمَ اللَّهِ وَاسْمَ رَسُولِهِ وَالْقُرْآنَ كَذَا قَالَهُ الطِّيبِيُّ قَالَ الأبهري ويعم الرسل
Ini kerana ukiran cincin itu adalah Muhammad Rasulullah. Dan pada hadis ini menunjukkan bahawa orang yang sedang beristinja’ itu perlu menanggalkan sesuatu yang terdapat nama Allah, nama Rasul-Nya dan juga ayat al-Quran. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 2/57)
Ibn Hajar berkata:
اسْتُفِيدَ مِنْهُ أَنَّهُ يُنْدَبُ لِمُرِيدِ التَّبَرُّزِ أَنْ يُنَحِّيَ كُلَّ مَا عَلَيْهِ مُعَظَّمٌ مِنَ اسم الله تعالى أو نبي أو مالك فَإِنْ خَالَفَ كُرِهَ انْتَهَى
Bahawa disunatkan bagi sesiapa yang ingin menunaikan hajatnya (membuang air) untuk menanggalkan semua yang terdapat pada dirinya dari sesuatu yang dimuliakan seperti nama Allah atau nama Nabi. Sekiranya dia menyelisihinya, maka perbuatan itu adalah makruh. (Dinukilkan dalam Mirqat al-Mafatih, 2/57)
Imam al-Nawawi berkata: Hadis Anas ini merupakan hadis yang masyhur. Adapun hukum berkenaan permasalahan ini, maka para ashab kami (al-Syafi’iyyah) telah sepakat bahawa sunat menanggalkan apa-apa yang terdapat padanya nama Allah ketika seeorang itu ingin masuk ke dalam bilik air, dan ianya tidak wajib ditanggalkan. Antara yang menyatakan secara sarih (jelas) bahawa hukumnya mustahab adalah musannif (Imam al-Syirazi) dan gurunya al-Qadhi Abu al-Tayyib. Kata al-Mutawalli dan al-Rafi’i serta selain keduanya: “Tidak ada perbezaan sama ada ia tertulis di atas dirham, dinar, cincin atau selainnya.” (Lihat al-Majmu’, 2/73)
Berdasarkan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa sunat bagi seseorang untuk menanggalkan terlebih dahulu cincin yang terdapat kalimah Allah atau Rasulullah padanya, sebelum memasuki bilik air. Jika seseorang memakai cincin yang tertulis kalimah Allah atau Rasulullah padanya, maka hukumnya adalah makruh.
Wallahu a’lam.
Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H