Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, adakah air mazi adalah najis?
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan definisi air mazi. Menurut istilah fiqh, air mazi adalah air jenih yang melekit, yang keluar ketika timbulnya syahwat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/315)
Ia merupakan air yang berwarna putih, halus dan melekit, yang keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, dan kadang-kadang ia keluar tanpa disedari.
Imam al-Nawawi ketika menyatakan perbezaan antara air mazi dan air mani menyebut bahawa, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun air mazi keluar ketika bersyahwat dan tidak mengakibatkan kepenatan. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 2/141)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa mazi adalah najis, sepertimana difahami daripada hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Ali R.A, katanya:
كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِي فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ.
Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi. Aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW, maka sabda Baginda: “Jangan kamu lakukan seperti itu. Jika kamu melihat mazi, maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. (Tetapi) jika kamu mengeluarkan air (mani), maka hendaklah kamu mandi.”
Riwayat al-Bukhari (269), Muslim (303), Ibn Majah (504) secara ringkas, Abu Daud (206) dan ini merupakan lafaznya, al-Nasa’i (193) dan Ahmad (868)
Dalam hadith lain, yang diriwayatkan daripada Sahl bin Hunaif R.A, katanya:
كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَعَنَاءً فَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الْغُسْلَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَقَالَ : إِنَّمَا يُجْزِئُكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ . فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِي مِنْهُ قَالَ : يَكْفِيكَ أَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهِ ثَوْبَكَ حَيْثُ تَرَى أَنَّهُ أَصَابَ مِنْهُ.
Maksudnya: “Aku merasa letih dan susah kerana sering mandi disebabkan keluarnya mazi. Lalu aku adukan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Maka sabda Baginda, “Cukuplah engkau dengan berwudhu’.” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan mazi yang terkena pada pakaianku?” Baginda menjawab, “Cukuplah engkau mengambil air sebanyak satu tapak tangan, lalu engkau jiruskan pada pakaian (yang terkena mazi), sehingga engkau lihat air tersebut mengenainya (membasahinya).”
Riwayat al-Tirmizi (115). Kata beliau, hadis ini hasan sahih.
Para ulama’ beristidlal dengan hadith-hadith di atas berkenaan najisnya air mazi. (Lihat Fath al-Bari, 1/381; ‘Umdah al-Qari, 3/220; Subul al-Salam, 1/93 dan al-Majmu’, 2/164)
Wajh istidlal dengan hadith tersebut adalah jelas, kerana Nabi SAW telah menyuruh (Saidina Ali R.A) untuk mencuci kemaluannya dan menyuruh (Sahl bin Hunaif) untuk menjirus air pada pakaian yang terkena mazi tersebut. Inilah yang menjadi dalil bahawa mazi itu adalah najis.
Para ulama’ juga telah berijma’ akan najisnya mazi. Imam al-Nawawi berkata:
أَجْمَعَتْ الْأُمَّةُ عَلَى نَجَاسَةِ الْمَذْيِ
Maksudnya: “Umat ini telah berijma’ (sepakat) bahawa mazi adalah najis.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/571)
Hal ini juga seperti yang dinyatakan oleh al-Syaukani bahawa para ulama’ telah bersepakat tentang najisnya air mazi, dan tidak ada yang menyelisihinya kecuali sebahagian (syi’ah) Imamiyyah. (Lihat Nail al-Autar, 1/73)
Berdasarkan kenyataan di atas, jelas bahawa air mazi adalah najis, dan pakaian yang terkena air mazi wajib dibersihkan dengan air yang secukupnya.
Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H