#1288: Suami Bersetubuh Dengan Isteri Sedang Istihadhah

Soalan:

Apa hukum seorang suami menyetubuhi isterinya ketika isterinya dalam istihadhah?

Jawapan:

Kami nyatakan terlebih dahulu maksud istihadhah. Dari segi syarak, istihadhah ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim, yang dikenali sebagai ‘العاذل’ selepas tempoh maksimum haid atau selepas tempoh maksimum nifas, darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/96)

Darah istihadhah bukanlah darah haid, dan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW:

إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِالْحَيْضَةِ

Maksudnya: “Darah istihadhah itu hanyalah keringat (suci), dan bukan (seperti) darah haid.”

Riwayat al-Bukhari (306), Muslim (333), Abu Daud (282), al-Tirmizi (125), al-Nasa’ie (212), Ibn Majah (621) dan Ahmad (25681)

Ulama menyatakan bahawa wanita yang dalam keadaan istihadhah adalah sama hukumnya dengan wanita yang dalam keadaan suci. Imam al-Nawawi menyebut:

الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا

Maksudnya: “Wanita yang istihadhah (hukumnya) sama seperti wanita yang dalam keadaan suci pada melaksanakan solat, puasa, iktikaf, baca al-Quran dan selainnya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/372)

Dalam menjawab persoalan di atas, majoriti fuqaha’ mazhab termasuk al-Syafi’i berpendapat bahawa harus menyetubuhi isteri yang dalam keadaan istihadhah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 32/87)

Hal ini berdasarkan beberapa riwayat, antaranya daripada Ikrimah, katanya:

كَانَتْ أُمُّ حَبِيبَةَ تُسْتَحَاضُ فَكَانَ زَوْجُهَا يَغْشَاهَا

Maksudnya: “Ummu Habibah dalam keadaan istihadhah dan suaminya menggaulinya.”

Riwayat Abu Daud (309) dan al-Baihaqi (1622)

Daripada Ikrimah, katanya:

عَنْ حَمْنَةَ بِنْتِ جَحْشٍ، أَنَّهَا كَانَتْ مُسْتَحَاضَةً وَكَانَ زَوْجُهَا يُجَامِعُهَا ‏.‏

Maksudnya: “Daripada Hamnah binti Jahsy, bahawa beliau dalam keadaan istihadhah, dan suaminya menyetubuhinya.”

Riwayat Abu Daud (310)

Imam al-Nawawi menjelaskan:

يَجُوزُ عِنْدَنَا وَطْءُ الْمُسْتَحَاضَةِ في الزَّمَنِ الْمَحْكُومِ بِأَنَّهُ طُهْرٌ وَإِنْ كان الدَّمُ جَارِيًا وَهَذَا لَا خِلَافَ فيه عِنْدَنَا

Maksudnya: “Boleh menurut kami (al-Syafi’iyyah) bersetubuh dengan isteri yang dalam keadaan istihadhah, dalam masa di mana dia dihukumkan suci, walaupun darahnya masih mengalir. Perkara ini tidak ada khilaf dalam kalangan ulama’ kami (al-Syafi’iyyah).”(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/372) 

Inilah juga yang difatwakan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam fatwanya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/20)

Al-Khatib al-Syarbini berkata:

وَيَجُوزُ وَطْءُ الْمُسْتَحَاضَةِ فِي الزَّمَنِ الْمَحْكُومِ عَلَيْهِ بِأَنَّهُ طُهْرٌ، وَلَا كَرَاهَةَ فِي ذَلِكَ، وَإِنْ كَانَ الدَّمُ جَارِيًا.

Maksudnya: “Boleh bersetubuh dengan isteri dalam keadaan dia sedang istihadhah, pada masa dia dihukumkan dalam keadaan suci dan hal demikian tidaklah makruh meskipun darahnya sedang mengalir.” (Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati al-Minhaj, 1/284)

Justeru, kami nyatakan bahawa harus bagi seorang suami untuk menyetubuhi isterinya yang berada dalam keadaan istihadhah. Hal ini berbeza sekiranya isterinya berada dalam keadaan haid, di mana ia jelas telah diharamkan seperti yang diketahui umum. 

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H