Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum seseorang pesakit yang berpuasa yang terpaksa menggunakan ubat titis telinga pada siang Ramadhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, di antara perkara yang membatalkan puasa ialah masuknya sesuatu benda (‘ain) melalui rongga terbuka ke dalam jauf. Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menjelaskan, lafaz “masuknya sesuatu benda (‘ain)” telah mengeluarkan udara daripada termasuk bersamanya. Justeru, tidak membatalkan puasa dengan masuknya udara ke dalam jauf. Begitu juga dengan rasa dan bau semata-mata tanpa adanya partikel (‘ain), tidak akan membatalkan puasa jika ada yang sampai ke dalam jauf.
Kemudian lafaz “rongga terbuka” pula telah mengeluarkan (yakni tidak termasuk dalam maknanya yang membatalkan puasa), jika sesuatu benda itu sampai ke dalam jauf bukan melalui rongga terbuka seperti minyak dan seumpamanya melalui serapan liang roma. Semua adalah rongga terbuka menurut mazhab Imam al-Syafi‘i kecuali mata (tidak termasuk), demikianlah juga telinga (tidak termasuk dalam rongga terbuka) di sisi Imam al-Ghazali. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 451-452).
Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, yang dimaksudkan dengan ‘ain ialah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata sekalipun ia kecil seperti bijan, dan begitu juga sekalipun ia tidak dimakan seperti batu kerikil dan benang. Berbeza halnya dengan kesannya sahaja seperti bauan melalui hidu, dan air panas dan sejuk melalui rasa, maka ia tidak memberi kesan kepada puasa. Jauf ialah bahagian otak, bahagian selepas halkum sehingga ke perut dan usus-usus. Manakala rongga terbuka pula ialah mulut, telinga, kemaluan depan dan kemaluan belakang sama ada lelaki mahupun perempuan. Justeru, jika masuknya ‘ain ke dalam jauf melalui salah satu daripada rongga yang terbuka dengan sengaja dan tidak terpaksa, maka batallah puasanya dan dia wajib mengqadha’kannya semula. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/181).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya para ulama berbeza pendapat berkenaan batalnya puasa orang yang menggunakan ubat titis telinga siang Ramadhan. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, ia membatalkan puasa, dan ada juga yang berpendapat ia tidak membatalkan puasa.
Imam al-Nawawi menyebutkan, sekiranya seseorang menitiskan sesuatu ke dalam telinganya berupa air, minyak atau sebagainya, lalu titisan itu sampai ke bahagian otak, maka terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Pendapat pertama yang merupakan pendapat yang paling sahih (asah) menyatakan, ia membatalkan puasa. Ini merupakan pendapat yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab dan jumhur ulama sebagaimana disebutkan oleh pengarang al-Muhazzab.
Manakala pendapat kedua pula menyatakan, ia tidak membatalkan puasa. Ini merupakan pendapat Abu Ali al-Sinji, al-Qadhi Husain dan al-Furani, serta pendapat ini juga telah disahihkan oleh Imam al-Ghazali bahawa ia sama seperti hukum bercelak.[1] Mereka mendakwa bahawa telinga bukanlah rongga yang sampai terus ke bahagian otak, sebaliknya ia sampai melalui ruang pori-pori[2] sebagaimana bercelak. Hal ini sebagaimana juga sekiranya seseorang menyapu minyak pada perutnya, sesungguhnya pori-pori (liang roma) akan menyerapnya dan ia tidak membatalkan puasa berbeza halnya dengan hidung kerana ubat yang dimasukkan ke hidung sampai darinya ke bahagian otak melalui rongga yang terbuka (manfaz maftuh). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/314-315).
Selain itu, dalam kitabnya yang lain, Imam al-Nawawi menyatakan, menitiskan sesuatu ke dalam rongga bahagian dalam (batin) telinga membatalkan puasa menurut pendapat yang paling sahih (asah). (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 75). Seterusnya al-Khatib al-Syirbini dan al-Damiri menjelaskan lagi berkenaan kenyataan Imam al-Nawawi tersebut dengan menyebutkan, menitiskan sesuatu ke dalam rongga bahagian dalam telinga sekalipun ia tidak sampai ke bahagian otak, bahkan ia melebihi had tengkorak kepala, membatalkan puasa (mengikut pendapat yang asah). Hal ini adalah kerana berdasarkan kepada setiap apa yang dinamakan sebagai jauf apabila masuknya sesuatu ke dalamnya ia membatalkan puasa. Manakala pendapat kedua pula menyatakan, ia tidak membatalkan puasa kerana tidak ada padanya kekuatan atau kuasa memproses dan mengalirkan (makanan atau ubat). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/156; al-Najm al-Wahhaj, 3/297).
Maka, jelaslah bahawa dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i sendiri terdapat dua pendapat mengenai isu ini, dan pendapat yang muktamad adalah menitiskan sesuatu ke dalam rongga bahagian dalam telinga membatalkan puasa.
Begitu juga Dar al-Ifta’ al-Misriyyah sebelum ini pernah menyatakan bahawa para fuqaha berselisih pendapat mengenai kesahan puasa orang yang menuang sesuatu ke dalam telinganya ketika sedang berpuasa; berdasarkan perselisihan mereka sama ada telinga adalah rongga terbuka yang terus kepada otak atau kerongkong ataupun tidak; begitu juga perbezaan mereka dalam memahami[3] dan mengadaptasinya[4] menyebabkan berlakunya perbezaan hukum dalam masalah tersebut. Justeru, sesiapa yang mengiranya sebagai rongga terbuka yang terus kepada otak atau kerongkong akan berpendapat, puasanya terbatal dengan menistiskan sesuatu di dalamnya, jika sesuatu daripada titisan tersebut sampai ke bahagian otak atau kerongkong. Manakala mereka yang tidak mengiranya sebagai rongga terbuka pula akan berpendapat, puasanya tidak terbatal dengan sebab menitiskan sesuatu di dalamnya; sama ada terdapat kesan titisan tersebut di dalam kerongkong ataupun tidak.
Seterusnya, Dar al-Ifta’ menyebutkan, pendapat yang terpilih bagi fatwa adalah ia tidak membatalkan puasa selagi mana gegendang telinga masih utuh menghalang komponen-komponennya (titisan tersebut) masuk ke dalam kerongkong secara terus, dan puasanya ketika itu adalah sah, sama ada kesan titisan itu muncul di kerongkong ataupun tidak. Namun sekiranya para doktor mengesahkan bahawa di dalam telinganya terdapat lubang yang dapat membawa komponen-komponen titisan tadi terus sampai ke dalam kerongkong, maka ketika itu puasanya dikira terbatal.[5]
Di samping itu, Dr. Muhammad Haitham al-Khayyat ada menyebutkan, para doktor pada hari ini tidak mengetahui atau mengenali apa yang dipanggil sebagai “الجوف” yakni ism makrifah dengan alif dan lam. Akan tetapi mereka mengetahui “أجوافا” iaitu menjadi ism makrifah melalui idhafah (sandaran) seperti rongga dada (yang merangkumi paru-paru, jantung, dan urat besar), rongga perut (yang merangkumi perut, usus, hati, limpa), rongga hidung, rongga mulut, rongga perut, dan rongga-rongga lain.[6]
Begitu juga para doktor dahulu juga tidak membahaskan berkenaan al-Jauf (الجوف) tersebut. Melainkan apa yang disebutkan dalam Qanun Ibn Sina mengenai rongga atas (الجوف الأعلى) dan rongga bawah (الجوف الأسفل). Kedua-duanya itu adalah rongga dada yang merangkumi jantung dan paru-paru, dan rongga perut yang merangkumi perut, usus dan seluruh viscera.
Sekiranya benar bahawa mafhum al-Jauf itu ada asalnya dalam al-Kitab dan al-Sunnah — sedangkan ia tidak benar —; maka sewajarnya untuk kita mengetahui apa yang sepadan dengannya menurut ‘uruf para doktor kini, dan ia bukanlah sistem penghadaman secara pasti; kerana sistem penghadaman bermula dengan mulut dan berakhir dengan dubur. Manakala berkumur-kumur pula tidak membatalkan puasa berdasarkan nas hadith, hadith Umar bin al-Khattab R.A yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih, katanya:
هشَشتُ فقبَّلتُ وأَنا صائمٌ، فقُلتُ: يا رسولَ اللَّهِ صنَعتُ اليومَ أمرًا عَظيمًا قبَّلتُ، وأَنا صائمٌ قالَ: أَرأَيتَ لو مَضمَضتَ منَ الماءِ، وأنتَ صائمٌ قُلتُ: لا بأسَ بِهِ، قالَ: فمَهْ ؟
Maksudnya: “Aku berasa gembira lalu aku mencium (isteriku) sedangkan aku dalam keadaan berpuasa. Lalu aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, pada hari ini aku telah melakukan suatu perkara yang besar. Aku telah mencium (isteriku) sedangkan aku sedang berpuasa.’ Baginda bersabda: ‘Bagaimana pendapat engkau apabila engkau berkumur-kumur menggunakan air sedangkan engkau sedang berpuasa?’ Aku menjawab: ‘Tidak mengapa.’ Baginda bersabda: ‘Berhentilah (daripada bertanya)?!’”
Riwayat Abu Daud (2385); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (3048) dan Ahmad (138)
Maka tidak ada yang tinggal melainkan sebahagian daripada rongga perut. Inilah pendapat yang paling dekat (dengan kebenaran) kerana apa yang dimakan dan diminum sampai ke dalam perut. Jika ia dicerna dan kemudian dibiarkan, maka ia adalah chyme,[7] kemudian chyle,[8] dan ia tidak akan kembali kepada makanan mahupun minuman. Jika demikian keadaannya, maka tiada justifikasi perubatan bagi sesiapa yang berpendapat batal puasa dengan sebab apa yang masuk ke dalam dubur seperti enema,[9] supositori,[10] spekulum,[11] atau jari doktor yang memeriksa, atau apa yang masuk ke dalam vagina seperti pesari,[12] vaginal ovules, spekulum, jari doktor perempuan atau bidan yang memeriksa, atau apa yang masuk ke dalam saluran kencing — sama ada saluran kencing lelaki atau perempuan — seperti kateter,[13] sistoskop,[14] bahan radiocontrast,[15] ubat, atau cecair untuk membasuh pundi, atau apa yang masuk ke dalam telinga seperti ubat titis dan ubat cuci telinga. Kesemua ini tidak sampai ke rongga perut secara pasti.
Jelas daripada nas-nas menunjukkan bahawa terdapat kuantiti tertentu yang dimaafkan. Oleh itu, tidak syak lagi bahawa orang yang berkumur-kumur, akan tersisa air kumur dalam mulutnya dan bercampur dengan air liur, dan tidak syak lagi juga bahawa dia menelannya. Akan tetapi puasanya tetap tidak terbatal berdasarkan nas hadith iaitu hadith Umar yang telah disebutkan sebelum ini.
Jika seseorang berkumur-kumur atau membilas mulutnya dengan air yang dilabelkan dengan bahan radioaktif, kita akan menemui bahan radioaktif tersebut di dalam perut selepas itu, di mana mengesahkan kewujudan sejumlah kecil yang dimaafkan. Ia adalah lebih banyak (secara pasti) daripada apa yang boleh diserap ke dalam esofagus daripada semburan inhaler (jika ia terserap) atau daripada semburan ubat hidung atau titisan ubat hidung (jika ia terserap) atau daripada tablet yang diletakkan di bawah lidah untuk merawat angina (jika ia terserap) atau daripada titisan ubat telinga yang membran timpaninya telah berlubang (jika ia terserap) maka tidak ada justifikasi, dari segi perubatan mahupun undang-undang, untuk mengatakan bahawa perkara-perkara ini membatalkan puasa, kerana apa yang sampai ke rongga perut (jika ia berlaku) adalah jauh lebih sedikit daripada jumlah yang sedikit yang dimaafkan, insya-Allah. (Lihat al-Muftirat fi Dhau’ al-Tibb al-Hadith, Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 10/774-775).
Tambahan lagi, ‘Abd al-Rahman Ba ‘Alawi al-Syafi‘i dalam Fatawa al-Masyhur menyebutkan, jika seseorang ditimpa penyakit telinga yang tidak tertahan sehingga tidak mampu duduk diam, kecuali dengan diletakkan ubat dalam minyak atau kapas ke dalam telinga yang boleh melegakan atau menghilangkan penderitaan tersebut, berdasarkan pengetahuan dirinya atau pemberitahuan doktor, maka harus berbuat demikian dan puasanya sah kerana alasan dharurah. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 229).
Sedangkan pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa lubang telinga termasuk dalam kategori rongga terbuka yang sampai kepada rongga yang batal jika masuk ‘ain ke dalam bahagian batinnya. Tetapi di dalam keterangan di atas, pengecualian diberikan dalam keadaan dharurah untuk menggunakan ubat telinga. Diketahui bahawa ubat telinga yang cair juga tidak sampai ke perut atau usus. Maka tidak batal puasa jika menggunakannya atas alasan terdesak. Begitu juga hukum orang yang sakit buasir memasukkan kembali kolon yang terkeluar daripada duburnya menggunakan jari sehingga masuk ke rongga, maka harus dan tidak batal puasa kerana dharurah. (Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 114).
Selain itu, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz juga ada menyebutkan, membersihkan gigi dengan ubat gigi tidak membatalkan puasa sebagaimana bersiwak. Namun, orang tersebut mesti berhati-hati agar tidak ada sesuatu daripadanya yang tertelan ke dalam jaufnya. Akan tetapi jika ada juga sedikit daripadanya yang tertelan (setelah dia berjaga-jaga semampu mungkin) tanpa sengaja, maka ia tidak membatalkan puasa. Demikianlah juga halnya bagi ubat titis mata dan ubat titis telinga, kedua-duanya tidak membatalkan puasa mengikut pendapat yang paling sahih. Jika kesan titisan tersebut terasa di dalam kerongkongnya, maka mengqadha’kan puasanya adalah lebih utama (sebagai langkah berhati-hati) tetapi tidak wajib kerana kedua-duanya (mata dan telinga itu) bukan saluran makanan dan minuman. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 15/260-261).
Begitu juga Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin turut menyebutkan, ubat titis mata dan begitu juga ubat titis telinga tidak membatalkan puasa kerana ia tidak disebutkan dalam nas dan tidak juga dalam pengertian hal-hal yang disebutkan dalam nas. Mata bukanlah saluran (rongga) untuk makan dan minum dan begitu juga halnya dengan telinga. Mata dan telinga itu adalah seperti mana lubang pori-pori yang terdapat pada badan.
Para ulama menyebutkan, jika seseorang melumurkan buah hanzal[16] pada kedua kakinya, lalu dia merasakan rasanya di dalam kerongkong, maka perkara itu tidak membatalkan puasanya kerana kakinya itu bukan rongga (yang terbuka). Begitulah juga jika dia bercelak, atau menitiskan cecair pada matanya atau dalam telinganya, sekalipun rasanya terasa di dalam kerongkong (tetap tidak membatalkan puasanya). Begitu juga jika dia melumur minyak (di kulitnya) untuk berubat atau tujuan lain, tidak membatalkan puasanya. Demikianlah juga jika dia mengalami sesak nafas, lalu dia menggunakan gas yang disembur ke dalam mulut bagi melegakan pernafasannya, maka hal itu tidak membatalkan puasa kerana perkara tersebut tidak sampai ke dalam perutnya, dan bukan juga makanan mahupun minuman. (Lihat Fatawa al-Siyam, hlm. 206)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa ubat titis telinga tidak membatalkan puasa. Justeru, tidak mengapa bagi pesakit yang terpaksa menggunakan ubat titis telinga pada siang Ramadhan, dan puasanya masih lagi dikira sah. Selain itu, ia juga merupakan salah satu pendapat (yakni pendapat marjuh) dalam mazhab Syafi‘i.
Pendapat ini juga selari dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang bersidang di Jeddah pada tahun 1997 dalam keputusan mereka yang bernombor 93 (1/10) berkenaan perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam bidang perubatan menyatakan, setelah meneliti kajian yang dibentangkan mengenai perkara yang membatalkan puasa dalam bidang perubatan, serta penyelidikan dan cadangan yang dikeluarkan oleh simposium fiqh perubatan kesembilan yang diadakan oleh Persatuan Pengamal Perubatan, dengan kerjasama Majma‘ dan badan-badan lain di Casablanca, Morocco, dalam tempoh 9-12 Safar 1418 Hijrah bersamaan dengan 14-17 Jun 1997 Masihi, dan begitu juga selepas mendengar perbincangan dan perbahasan yang panjang lebar berkenaan isu yang berkisar dengannya, yang disertai oleh para fuqaha dan doktor perubatan, dan melihat dalil-dalil daripada al-Kitab dan al-Sunnah, serta perkataan para fuqaha, Majlis memutuskan bahawa di antara perkara yang tidak dikira membatalkan puasa ialah ubat titis mata, ubat titis telinga, ubat pencuci telinga, ubat titis hidung, atau semburan inhaler, jika dia tidak menelan apa-apa yang masuk ke dalam kerongkong.[17]
Sekalipun begitu, jika dapat dielakkan penggunaan ubat titis telinga ketika siang Ramadhan adalah lebih baik sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf. Tidak dapat dinafikan keluar daripada perkara yang diperselisihi (khilaf) adalah lebih baik berbanding jatuh di dalamnya. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
[1] Iaitu hukum memakai celak pada mata tidak membatalkan puasa, maka begitulah juga hukum bagi telinga.
[2] Pori ialah liang-liang halus pada kulit (benda padat). (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pori. Diakses pada 7 April 2023)
[3] Iaitu menggambarkan persoalan iaitu proses memahami latarbelakang isu yang perlu diperbahaskan.
[4] Iaitu proses bagaimana permasalahan baru itu disesuaikan dengan teori-teori fiqh sedia ada dan sumber-sumber nas yang berkaitan.
[5] Lihat https://www.masrawy.com/ramadan/islamic/details/2022/4/6/2203807/الإفتاء-قطرة-الأذن-تفسد-الصيام-في-هذه-الحالة. Diakses pada 8 April 2023.
[6] Yang ingin dimaksudkan dengan kenyataan Dr. Muhammad Haitham adalah “الجوف” yang diterjemahkan sebagai “rongga” tidak dapat difahami dengan baik oleh para doktor perubatan hari ini, akan tetapi mereka mengetahui apa yang dimaksudkan dengan “rongga” jika disandarkan pada organ badan tertentu seperti rongga dada, rongga perut, rongga hidung, rongga mulut dan sebagainya.
[7] Chyme ialah jisim separa cecair tebal makanan yang dicerna separa dan rembesan pencernaan yang terbentuk dalam perut dan usus semasa penghadaman. (Lihat https://www.britannica.com/science/chyme. Diakses pada 28 Mac 2023).
[8] Chyle, limfa yang sarat dengan lemak yang telah diserap ke dalam aliran darah dari usus kecil. Gumpalan lemak, yang memberikan chyle rupa seperti susu, mempunyai salutan protein yang nipis dan bersaiz mikron atau kurang (terdapat kira-kira 25,000 mikron hingga satu inci). Selepas makan, ia mengambil masa dua hingga tiga jam untuk lemak diserap dari usus kecil, bergerak melalui saluran limfa yang lebih besar sehingga ia mencapai saluran toraks (salah satu daripada dua batang limfa utama), dan memasuki aliran darah melalui pembukaan dari saluran ke dalam vena brachiocephalic kiri. (Urat ini mengumpul darah dari lengan kiri, leher, dan kepala). (Lihat https://www.britannica.com/science/chyle. Diakses pada 28 Mac 2023).
[9] (Enema) 1. pemasukan cecair ke dalam dubur, terutamanya untuk memudahkan buang air besar; 2. cecair yang dimasukkan ke dalam dubur, terutamanya untuk memudahkan buang air besar. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=enema. Diakses pada 28 Mac 2023).
[10] Supositori ialah ubat pejal berbentuk silinder atau kon yang dimasukkan ke dalam dubur atau faraj supaya larut dan melepaskan bahan aktifnya. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=supositori. Diakses pada 28 Mac 2023).
[11] Spekulum ialah alat yang dimasukkan ke dalam rongga tubuh untuk tujuan pemeriksaan. (Lihat Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=spekulum. Diakses pada 23 Mac 2023).
[12] (Pesari) 1. sejenis ubat berbentuk pepejal yang dimasukkan ke dalam faraj dan melebur untuk merawat jangkitan dan sebagainya; 2. alat yang dimasukkan ke dalam faraj untuk menyokong uterus atau mencegah kehamilan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pesari. Diakses pada 28 Mac 2023).
[13] Kateter ialah tiub nipis yang diperbuat daripada bahan gred perubatan yang mempunyai pelbagai fungsi. Kateter ialah alat perubatan yang boleh dimasukkan ke dalam badan untuk merawat penyakit atau melakukan prosedur pembedahan. Kateter dihasilkan untuk aplikasi khusus, seperti prosedur kardiovaskular, urologi, gastrousus, neurovaskular dan oftalmik. Proses memasukkan kateter dipanggil sebagai kateterisasi. (Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Catheter. Diakses pada 28 Mac 2023).
[14] Sistoskop ialah alat yang digunakan untuk pemeriksaan bahagian dalam pundi kencing melalui saluran uretra. (Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Cystoscopy. Diakses pada 28 Mac 2023).
[15] Radiocontrast ialah bahan yang digunakan untuk meningkatkan kontras imej, untuk meningkatkan keterlihatan struktur dalaman dalam teknologi X-Ray. (Lihat https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6822330/. Diakses pada 28 Mac 2023).
[16] Sejenis buah yang tidak ada bau tetapi rasanya sangat pahit.
[17] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2009.html#_ftn1. Diakses pada 3 April 2023.
Bertarikh:14 April 2023 bersamaan 23 Ramadhan 1444H