Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum seorang isteri atau suami meminum air kencing pasangannya ketika melakukan persetubuhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asalnya, kencing manusia atau haiwan adalah najis berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
وَهَرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاً مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: “Tuangkanlah atas air kencingnya (Arab Badwi yang kencing di masjid) dengan setimba air.”
Riwayat al-Bukhari (220)
Ibn Battal dalam syarahnya menyebutkan bahawa para fuqaha telah menyatakan ijma‘ akan kenajisan air kencing (manusia) dan perlu untuk membersihkannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/325).
Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa semua jenis tahi dan air kencing dikira sebagai najis sama ada haiwan itu boleh dimakan ataupun tidak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/550).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, umumnya haram untuk seseorang itu makan atau minum sesuatu yang bernajis. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf : 157)
Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik. Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).
Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas, daripada Maimunah, bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai seekor tikus yang terjatuh ke dalam minyak sapi. Rasulullah SAW bersabda:
أَلْقُوهَا وَمَا حَوْلَهَا، وَكُلُوا سَمْنَكُمْ
Maksudnya: “Buangkan tikus itu dan buangkan juga minyak sapi di sekitarnya (yang berdekatan dengannya). Kemudian, makanlah minyak sapimu yang selebihnya.”
Riwayat al-Bukhari (235)
Dalam riwayat lain, daripada riwayat Abu Hurairah R.A datang dengan lafaz:
إذا وقعتِ الفأرةُ في السَّمنِ، فإن كانَ جامِدًا فألقوها وما حولَها، وإن كانَ مائعًا فلا تقربوهُ
Maksudnya: “Apabila seekor tikus terjatuh ke dalam minyak sapi, sekiranya minyak sapi itu dalam keadaan pepejal (beku), maka buangkan tikus itu dan buangkan juga minyak sapi di sekitarnya (yang berdekatan dengannya). Sekiranya minyak sapi itu dalam bentuk cecair, maka janganlah kami mendekatinya (memakannya).”
Riwayat Abu Daud (3842) dan lafaz hadith daripadanya; riwayat Ahmad (7591); riwayat al-Baihaqi (20110)
Kemudian Imam al-Nawawi menyebutkan, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berpendapat, haram untuk seseorang itu makan sesuatu najis seperti bangkai, susu keldai, air kencing dan lain-lain, begitu juga diharamkan untuk memakan sesuatu yang mutanajjis seperti susu, cuka, madu tamar,[1] makanan yang dimasak, lemak dan lain-lain jika terkena najis, dan perkara ini tidak ada khilaf padanya. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/36). Begitu juga Ibn Hazm menukilkan, para ulama bersepakat bahawa memakan sesuatu najis atau meminumnya adalah haram kecuali nabiz yang mamabukkan. (Lihat Maratib al-Ijma‘, hlm. 19).
Selain daripada itu, Dr. Solah al-Sawi juga ada menyebutkan, tidak halal bagi seseorang untuk minum air kencing pasangannya disebabkan oleh kenajisan air kencing tersebut dan juga mudaratnya, serta seumpama perkara tersebut diketahui secara jelas dalam agama. Beliau menambah lagi, tidaklah dibuka pintu yang membicarakan mengenainya melainkan dengan sebab filem-filem yang rendah nilai akhlaknya (seperti pornografi dan seumpamanya) yang dibawa masuk kepada kita oleh budaya globalisasi. Sedangkan apa yang Allah SWT telah halalkan buat kita adalah lebih banyak lagi daripada perkara yang diharamkan-Nya.[2]
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah bahawa meminum air kencing pasangan atau sesiapapun, tidak kira ketika melakukan persetubuhan ataupun tidak, adalah diharamkan kerana air kencing adalah najis. Selain itu air kencing juga mungkin mengandungi bakteria yang boleh memudaratkan peminumnya, apatah lagi ia keluar dari organ seksual yang sentiasa terdedah kepada pencemaran bakteria.
Lebih-lebih lagi, manusia yang normal, jiwa mereka akan berasa jijik pada air kencing serta menganggapnya kotor dan menjauhinya. Oleh sebab itu, syarak memerintahkan supaya kotoran air kencing hendaklah dibersihkan.
Selain daripada itu, perbuatan menelan air kencing ini juga sebenarnya adalah jauh sama sekali daripada adab dan budaya seorang Islam serta fitrah akal yang sihat untuk menjauhi segala perkara yang menjijikan. Malah, sebenarnya ia lebih menyerupai perbuatan orang kafir yang mana kita dilarang daripada mengikutinya. Terdapat sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dalam kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031); Ahmad (5114) (5115) (5667); Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401); al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (8327); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (1154); dan al-Bazzar (2966)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahua‘lam.
[1] Boleh juga al-Dibs (الدِّبْس) di sini bermaksud perahan buah tamar. (Lihat Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, hlm. 705)
[2] Lihat https://fatawaalsawy.com/ الفقه/المعاملات/احكام-النكاح/حكم-شُرب-بول-الزوجة-أثناء-الجماع-2/. Diakses pada 10 April 2023.
Bertarikh:14 April 2023 bersamaan 23 Ramadhan 1444H