Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah golongan jin juga mati seperti mana manusia? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara asasnya, kita perlu mengakui akan kewujudan jin di dalam alam ini. Demikian juga kita mengakui bahawa golongan jin ini mempunyai jisim serta boleh berubah bentuk kepada pelbagai jenis bentuk.
Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan al-Jin berbeza dengan al-Insan. Lafaz “وَأَجَنَّهُ” bermaksud “Apabila dilindungi sesuatu”. Dan bagi setiap sesuatu yang dihijab daripada kamu maka sesungguhnya (جُنَّ) iaitu dilindung (tidak boleh dilihat) daripada kamu. Ibn Manzur menyatakan, dinamakan al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin dilindung (daripada pandangan) ia daripada perut ibunya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/89).
Walaupun kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar kita ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud. Kewujudan mereka tidak dapat dilihat oleh kita. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Firman Allah SWT :
إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.”
(Surah al-A‘raf : 27)
Syeikh Tahir bin ‘Asyur menyebut bahawa sebahagian ahli ilmu menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa syaitan tidak mungkin untuk dilihat. Akan tetapi bukan begitu maksud ayat tersebut. Ia sebenarnya bermaksud bahawa mereka melihat kita dalam keadaan kita tidak boleh melihat mereka. Kalaupun kita tidak boleh melihat mereka itu tidak bermakna kita tidak boleh melihat mereka selama-lamanya. Tidak dapat melihat mereka pada waktu sekarang tidak boleh menafikan kewujudan mereka secara mutlak. (Lihat Tahrir Ma‘na al-Sadid wa Tanwir al-‘Aql al-Jadid fi Tafsir al-Quran al-Majid, 3/26).
Maka kita boleh katakan bahawa orang yang mengingkari kewujudan jin dan syaitan pada hakikatnya mereka mengingkari perkara yang sudah mencapai taraf mutawatir yang kalau disanggahi atau dinafikan ditakuti akan jatuh kepada kekufuran kerana menafikan sesuatu yang mutawatir.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak syak lagi bahawa golongan jin akan mati kerana mereka termasuk dalam firman Allah SWT:
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ (26) وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Maksudnya: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa (26) Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.”
(Surah al-Rahman: 26-27)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, Allah SWT memberitahu bahawa seluruh penghuni bumi akan pergi dan mati secara keseluruhan. Demikian juga halnya dengan penghuni langit, kecuali yang dikehendaki oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/110).
Demikian juga firman Allah SWT:
أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ
Maksudnya: “Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi.”
(Surah al-Ahqaf: 18)
Al-Alusi menyatakan dengan memetik ayat di atas, “فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ” bahawa ia merupakan dalil yang menunjukkan jin juga mati dari satu kurun ke satu kurun yang lain seperti mana manusia. Namun dalam al-Bahr, al-Hasan menyebutkan dalam sebahagian majlisnya bahawa jin tidak mati. Lalu Qatadah membantahnya dengan ayat ini, dan dia pun terdiam. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 13/178).
Tambahan lagi, Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa ayat di atas menjadi dalil bahawa jin juga mati. (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, hlm. 155).
Selain daripada itu, terdapat hadith dalam sahih al-Bukhari daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
أَعُوذُ بِعِزَّتِكَ، الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الَّذِي لاَ يَمُوتُ، وَالجِنُّ وَالإِنْسُ يَمُوتُونَ
Maksudnya: “Aku berlindung dengan keagungan-Mu, Yang tiada Tuhan kecuali Engkau, Yang tidak mati, sedangkan jin dan manusia akan mati.”
Riwayat al-Bukhari (7383) dan Muslim (2717)
Menurut al-Mulla Ali al-Qari, dikhususkan dengan menyebut kedua-duanya (yakni jin dan manusia) kerana kedua-duanya ditaktifkan dan menjadi sasaran untuk disampaikan dakwah, maka seolah-olah kedua-duanya adalah asal. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 4/1708).
Justeru, jelaslah bahawa jin dan manusia pasti mati seperti mana disebut dalam nas-nas di atas.
Namun begitu, dalam golongan jin terdapat jin yang dinamakan dengan Iblis. Menurut ulama, kematian Iblis ditangguh sehingga apa yang disebut “hari yang ditentukan waktunya.” Hal ini dirakamkan dalam firman Allah SWT:
قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ (36) قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ (37) إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ
Maksudnya: “Iblis berkata: ‘Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).’ Allah berfirman: ‘Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau daripada golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari — masa yang termaklum.’”
(Surah al-Hijr: 36-38)
Dalam mentafsirkan “إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ” (hingga ke hari — masa yang termaklum) disebut bahawa ia adalah ketika mana tiupan sangkakala kali pertama. (Lihat Tafsir al-Jalalain, 4/339; al-Muharrar al-Wajiz oleh Ibn Atiyyah, 2/444; al-Wajiz fi Tafsir Kitab al-Aziz oleh al-Wahidi, 4/242).
Al-Baidhawi menyatakan, maksud firman Allah SWT ‘hingga ke hari yang ditentukan waktunya’ adalah ajal kamu yang telah ditetapkan di sisi Allah SWT. Menurut majoriti ulama ialah ketika seluruh umat manusia sudah binasa, iaitu ketika sangkakala pertama ditiupkan. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 3/370).
Al-Alusi menyatakan ayat “إِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ” secara zahirnya menunjukkan sehingga ke hari mereka dibangkitkan, di mana jawapan balas itu selepas permintaan Iblis. Akan tetapi dalam surah al-Hijr dan Sad mengikatnya dengan ‘hari masa yang termaklum.’ Para ulama berselisih pendapat berkenaan maksud yang dikehendaki daripadanya. Pendapat yang masyhur, ia adalah hari tiupan sangkakala yang pertama (يوم النفخة الأولى) bukannya pada hari kebangkitan (يوم البعث) kerana hari kebangkitan itu bukannya hari kematian. Akan tetapi sebahagian mereka ada yang mengharuskan maksudnya ialah hari kebangkitan (bukannya pada hari tiupan sangkakala yang pertama), dan tidak semestinya Iblis itu tidak mati, boleh jadi Iblis itu mati pada hari pertama kemudian dalam masa yang sama ia dibangkitkan bersama makhluk-makhluk lain. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 4/331).
Selain itu Allah SWT juga berfirman:
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ
Maksudnya: “Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).”
(Surah al-Zumar: 68)
Al-Qurtubi ketika menjelaskan ayat di atas menyatakan, Ibn Abbas R.Anhuma menyebut bahawa dimaksudkan dengan tiupan sangkakala pertama iaitu ketika mana matinya semua makhluk. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 10/27).
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa golongan jin juga mengalami kematian seperti mana manusia, termasuklah juga Iblis. Hal ini jelas berdasarkan nas dan dalil-dalil yang telah dikemukakan di atas.
Walau bagaimanapun, Iblis diberi penangguhan sehingga ke waktu yang termaklum. Bagi Iblis kematiannya adalah ketika berlakunya tiupan sangkakala pertama. Maka pada ketika itulah, Iblis akan menemui kematian bersama kesemua makhluk yang lain.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh:14 April 2023 bersamaan 23 Ramadhan 1444H