#1299: Jual Beli Monyet

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkah monyet dijual beli? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi monyet

Dalam bahasa Arab, monyet dipanggil sebagai al-Qird (القِرْدُ). Menurut al-Damiri, ia adalah haiwan yang sememangnya dikenali orang ramai. Nama julukannya (kunyah) ialah Abu Khalid, Abu Khubaib, Abu Khalaf, Abu Zannah dan Abu Qissyah. Perkataan jamaknya ialah qurud (قُرُودٌ) dan boleh juga sebagai qiradah (قِرَدَة). Manakala monyet betina pula dipanggil sebagai qirdah (قِرْدَةٌ) dan jamaknya ialah qiradun (قِرَدٌ). Ia ialah haiwan yang hodoh, lucu, cerdik, cepat faham, dan boleh mempelajari suatu bidang (profesion). Dihikayatkan bahawa penguasa Nubah telah menghadiahkan kepada al-Mutawakkil seekor monyet tukang jahit dan seekor lagi monyet tukang emas dan perak. Selain itu, penduduk Yaman juga ada mengajarkan monyet-monyet bagi memenuhi keperluan-keperluan mereka, sehinggakan penjual daging dan pemilik kedai mengajarkan kepada monyet bagi menjaga kedai sehingga pemiliknya kembali. Begitu juga ada monyet diajar untuk mencuri lalu ia mencuri. Selain itu, monyet betina boleh melahirkan anak dalam satu perut sebanyak sepuluh atau dua belas ekor. Monyet jantan juga sangat cemburu kepada monyet betina (pasangannya).

Haiwan ini menyerupai manusia dalam kebanyakan keadaannya. Sesungguhnya ia ketawa, bersedih, duduk di atas punggungnya sambil menegakkan kaki dan pahanya, bercerita, memegang sesuatu dengan tangannya, mempunyai jari-jari yang terpisah menjadi hujung-hujung jari dan kuku, boleh diajar dan dilatih, jinak dengan manusia, berjalan dengan menggunakan empat kaki kebiasaannya, boleh juga berjalan dengan menggunakan dua kaki dalam jangka masa yang singkat, bahagian bawah matanya mempunyai silia dan perkara tersebut tidak terdapat pada mana-mana haiwan lain selainnya. Ia seperti manusia.  Hal ini kerana jika ia terjatuh ke dalam air, ia akan lemas seperti mana manusia bagi yang tidak pandai berenang. Ia juga memilih pasangannya melalui perkahwinan dan cemburu dengan monyet betina (pasangannya). Kedua-dua perkara ini termasuk dalam kemuliaan manusia. Di samping itu, jika nafsunya semakin bertambah (membuak-buak), ia akan beronani, dan begitu juga monyet betina mengandungkan anaknya sebagaimana wanita mengandung. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. Dar al-Basya’ir, 3/475-476).

Hukum jual beli monyet

Umumnya, mazhab-mazhab telah bersepakat bahawa tidak dibenarkan menjual binatang buas dan burung, sekiranya tidak boleh diambil manfaatnya dalam apa jua keadaan pun. Sekiranya ia termasuk dalam jenis yang boleh diambil manfaat, maka harus untuk menjualnya kecuali babi kerana ia adalah najis. Justeru, tidak boleh mengambil menfaatnya dan begitu juga tidak boleh menjualnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 9/154).

Begitu juga pengarang al-Fiqh al-Manhaji ada menyatakan, barangan jualan tersebut mestilah barangan yang bermanfaat menurut syarak dan uruf (kebiasaan). Maksud pada adatnya, manfaat barangan tersebut menjadi tujuan jual beli dan dibenarkan oleh syara’. Dengan ini, tidak sah menjual serangga berbisa atau haiwan yang tidak boleh dimanfaatkan atau manfaatnya tidak menjadi tujuan jual beli diadakan. Demikian juga dengan peralatan yang melalaikan yang manfaatnya tidak dibenarkan oleh syara’. Sebabnya, membayar sesuatu untuk mendapat sesuatu yang tidak bermanfaat adalah perbuatan yang membazir. Rasulullah SAW sendiri melarang pembaziran. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/17).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Damiri menyebutkan bahawa jual beli monyet adalah diharuskan kerana ia boleh dilatih dan diajar. Lalu ia boleh memegang lilin dan menjaga barangan. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. Dar al-Basya’ir, 3/484).

Selain itu, al-Rafi‘i ada menyatakan, haiwan-haiwan yang suci itu ada dua jenis. Salah satunya haiwan yang dapat diambil manfaatnya, maka harus untuk menjualnya seperti kambing, baghal, dan keldai, daripada jenis haiwan buruan seperti antelop dan rusa, daripada jenis haiwan pemburu seperti falkon, helang dan harimau, daripada jenis burung seperti merpati, ‘usfur, dan ‘iqab (sejenis helang). Begitu juga haiwan yang diambil manfaat dengan warnanya atau suaranya seperti burung merak dan burung perling. Begitu juga gajah dan kucing. Begitu juga monyet kerana ia boleh dilatih dan diajar banyak perkara, lalu ia mengetahuinya. (Lihat Fath al-‘Aziz, 8/118).

Tambahan lagi, al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan bahawa menjual haiwan-haiwan yang boleh diambil manfaat daripadanya seperti harimau untuk tujuan memburu, gajah untuk tujuan peperangan, monyet untuk tujuan mengawal, lebah untuk tujuan mendapatkan madu dan seumpamanya adalah dibenarkan dan sah jual beli tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/342). Ia dibenarkan atas alasan semua binatang ini mempunyai manfaat menurut adat dan dibenarkan oleh syarak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/17).

Dalam erti kata lain, semua haiwan yang disebutkan di atas, diharuskan untuk jual beli kerana adanya manfaat yang boleh diambil daripada haiwan-haiwan tersebut sekalipun ia adalah binatang buas. Berkenaan hal ini juga, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya, di antara syarat barang jualan ialah:

النَّفْعُ فَلَا يَصِحُّ بَيْعُ الْحَشَرَاتِ، وَكُلِّ سَبُعٍ لَا يَنْفَعُ

Maksudnya:Bermanfaat. Justeru, tidak sah menjual hasyarat dan semua binatang buas yang tidak ada manfaat.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 94).

Kemudian, ‘Umairah telah menjelaskan lagi perkataan Imam al-Nawawi di atas dengan menyebutkan bahawa ‘tidak sah menjual hasyarat’ yang tidak ada manfaatnya. Manakala lafaz “لَا يَنْفَعُ” (tidak ada manfaat) pula adalah seperti tidak boleh dimakan, tidak boleh digunakan sebagai alat komunikasi, tidak boleh digunakan dalam peperangan, tidak boleh dilatih atau diajar dan tidak sesuai untuk memikul barangan. (Lihat Hasyiata al-Qalyubi wa ‘Umairah, 2/198).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa jual beli monyet adalah dibenarkan dan sah. Hal ini kerana monyet termasuk dalam jenis haiwan yang boleh diambil manfaat daripadanya dengan dilatih atau diajar kepadanya untuk melakukan suatu tugasan seperti menjaga kedai dan barangan. Dalam konteks negara kita, biasanya monyet dilatih untuk memetik buah kelapa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahua‘lam.

Bertarikh:14 April 2023 bersamaan 23 Ramadhan 1444H