#1304: Kitaran Haid Melebihi Kebiasaan Hari

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya nak bertanya pada ustaz, saya mengalami haid sejak 17/2/2023 hingga sekarang. Biasanya haid saya ada sebanyak 7 hari dan maksimum adalah 9 hari pada setiap bulan. Jadi pada tarikh 26/2/2023 saya mula solat semula walau darah haid saya masih ada. Adakah sah solat saya itu?

Pada tarikh bermula 17/3/2023 saya berhenti solat seminggu kerana berpendapat kitaran haid saya sebelum ini yang bermula tarikh tersebut. Jadi adakah wajar saya tidak solat? Dan untuk pengetahuan ustaz, darah haid saya masih ada dari 17/2/2023 hingga kini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan terlebih dahulu dua buah hadith berkenaan dengan istihadhah:

  • Daripada Hamnah binti Jahasy R.Anha, dia berkata:

كُنتُ أُستَحاضُ حَيضةً كثيرةً شديدةً، فأَتَيْتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم أَستَفتيهِ وأُخبِرُه، فوجَدْتُه في بَيِت أُختي زينبَ بنتِ جَحشٍ، فقُلْتُ: يا رسولَ اللهِ، إنِّي امرأةٌ أُستَحاضُ حَيضةً كثيرةً شديدةً، فما تَرى فيها؟ قد مَنَعَتْني الصَّلاةَ والصَّوْمَ، قال: أَنعَتُ لكِ الكُرْسُفَ؛ فإنَّه يُذهِبُ الدَّمَ، قالتْ: هو أَكثَرُ مِن ذلكَ، قال: فاتَّخِذي ثَوبًا

Maksudnya: “Aku telah mengalami darah istihadah yang banyak, maka aku pergi bertemu Rasulullah SAW untuk meminta fatwa dan pandangan. Baginda berada di rumah saudara perempuanku iaitu Zainab binti Jahsyi, lalu aku bertanya : Wahai Rasulullah, aku mengalami darah istihadah yang banyak. Apa pendapatmu mengenainya. Adakah ia mencegah aku dari menunaikan solat dan berpuasa? Rasulullah menjawab: “Tahan ia menggunakan kapas, kerana ia boleh menghilangkan darah”. Aku berkata lagi : Ia lebih banyak mengalir. Rasulullah berkata lagi: “Maka ambil secarik kain.”

Sunan  Abu Daud  (287)

  • Begitu juga, Fatimah binti Abu Hubaish R.Anha pergi menemui Rasulullah SAW  kemudian dia bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang mengalami darah istihadah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak,, kerana darah itu daripada urat ( darah penyakit)  bukannya darah haid. Maka ketika kedatangan haid tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis haid  ( kadar adatnya).   Maka kamu mandilah dan dirikanlah solat.”

Riwayat al-Bukhari (306) dan Muslim (333)

Dalam mazhab Syafi’i, para ulama berpendapat bahawa darah yang berhenti kemudian keluar lagi dianggap seluruhnya satu ‘kumpulan’ haid. Ertinya, bahawa jika wanita haid mengalami masa terputusnya / berhentinya darah yang kemudiannya keluar darah kedua, semua masa itu dianggap masa haid. Dengan syarat:

  • Sejak pertama darah keluar hingga habisnya darah kedua itu tidak melebihi masa maksimum haid (15 hari).
  • Darah yang berhenti itu ada di antara 2 masa keluarnya darah yang sempat terputus.
  • Darah pertama yang belum sempat terputus sudah keluar minimum sehari semalam. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/119)

Secara umumnya saya berpendapat anda termasuk dalam golongan wanita mustahadhah. Di mana maksud istihadhah ialah darah yang keluar melebihi tempoh haid. Begitu juga, darah yang keluar kurang dari tempoh haid. Dalam mazhab Syafi’i, wanita yang didatangi istihadhah dibahagikan kepada enam jenis. 

Dalam ilmu fiqh, istilah mu’tadah memberi maksud wanita yang mempunyai kebiasaaan haid yang stabil atau teratur dari segi masanya. Dalam kategori ini, jika haidnya kebiasaannya 7 hari, tiba-tiba berlaku 5 hari, maka 2 hari yang suci lebih awal itu tetap dianggap suci dan hendaklah dia solat. Begitu juga, jika bertambah dari kebiasaaan 7 hari kepada 9 hari, maka lebihan 2 hari tersebut tetap dianggap sebagai haid, kerana ia masih dalam tempoh haid. 

Di sini saya berpendapat anda termasuk dalam mu’tadah mumayyizah. Justeru, saya katakan: Sekiranya seorang wanita melihat terdapat perbezaan warna dan sifat darah dalam tempoh tersebut, maka dihukumkan haid pada darah yang kuat (sifat dan warnanya) dan dihukumkan istihadah bagi darah yang lemah (sifat dan warnanya) mengikut syarat-syarat tamyiz.

Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam penulisannya:

وَيُحْكَمُ لِلْمُعْتَادَةِ الْمُمَيِّزَةِ بِالتَّمْيِيزِ لَا الْعَادَةِ فِي الْأَصَحِّ

Maksudnya: “Dihukumkan bagi perempuan mu’tadah mumayyizah dengan tamyiznya (Darah yang sifatnya kuat adalah haid, yang sifatnya lemah adalah istihadah). Tidak dihukumkan dengan adat sebelumnya menurut pandangan yang paling sahih.” (Lihat Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin, hlm. 88)

Oleh kerana puan lebih mengenali dan dapat membezakan antara darah haid dan istihadhah, maka hukum yang terbaik berdasarkan perbezaan warna darah tersebut bukan semata-mata adat atau bilangan hari mengikut pendapat yang sahih. Semoga pencerahan ringkas ini memberi manfaat kepada kita semua dan sentiasa prihatin untuk melaksanakan ibadah dengan sesempurnanya. Amin. 

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H