#1308: Menggunakan Penyembur Alahan Hidung dan Tekak Semasa Berpuasa

Soalan: 

Saya mengalami masalah keradangan pada nose and throat. Pada rongga-rongga tekak dan hidung saya akan merasakan kegatalan yang amat. (Alahan). Pihak Doktor akan memberi saya ubat makan and sejenis spray anti-radang bagi menahan kegatalan. Soalan saya: Adakah saya boleh menggunakan spray tersebut pada waktu siang bulan Ramadhan? Ada tempat yang perlu di spray tersebut adalah pada dalam hidung dan tonsil. Mohon nasihat dari Datuk.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, keradangan pada hidung dan tekak akibat daripada alahan yang tuan alami atau juga dikenali sebagai rhinitis merujuk kepada keradangan pada saluran hidung. Keradangan ini boleh menyebabkan pelbagai gejala termasuk bersin, gatal-gatal, hidung tersumbat, hidung berair, dan titisan postnasal (lendir mengalir dari sinus ke bahagian belakang tekak).

Serangan rhinitis biasanya disebabkan oleh jangkitan saluran pernafasan dengan virus, seperti selesema biasa. Rhinitis daripada alahan disebabkan oleh alahan kepada sesuatu di udara di sekeliling. Rhinitis kronik (jangka panjang) biasanya disebabkan oleh alahan, tetapi ia juga boleh disebabkan oleh penggunaan berlebihan ubat tertentu, beberapa keadaan perubatan dan faktor lain yang tidak diketahui.

Bagi kebanyakan orang, bagi pesakit yang mempunyai rhinitis alahan, ia adalah masalah yang akan dialaminya seumur hidup, cuma ia akan menjadi teruk atau berkurang dengan setiap serangan yang dialami. Simptom-simptomnya biasanya boleh dikawal dengan gabungan rawatan seperti penjagaan di mana dia berada, mengambil ubat-ubatan, dan imunoterapi.

Antara rawatan bagi serangan teruk rhinitis adalah gabungan rawatan irrigasi hidung, suntikan alergi, atau tablet yang larut di bawah lidah, dan spray anti-radang. Antara spray anti-radang yang biasanya diberikan kepada pesakit adalah semburan hidung glukokortikoid — semburan glukokortikoid hidung (steroid) yang dihantar melalui semburan hidung adalah rawatan pertama untuk merawat rhinitis alahan. Ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingan yang minimum dan melegakan gejala dengan cepat untuk kebanyakan orang. Kajian juga telah menunjukkan bahawa semburan steroid hidung adalah lebih berkesan daripada ubat antihistamin (yang perlu diambil secara oral) untuk melegakan simptom pesakit.

Kami berpendapat bahawa ia tidak membatalkan puasa. Ini kerana ia tidak mengenyangkan, dan yang masuk ke jauf bukan bersifat makanan tetapi ubat-ubatan yang bersifat gas atau semburan. Penghujahannya adalah sama dengan inhaler yang telah kami jawab dengan panjang lebar di sini.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita semua seterusnya dapat beribadat kepada-Nya mengikut neraca syariah. Amin.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H