#1316: Menceritakan Tentang Lafaz Talak, Jatuh Talak?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Ustaz. Semasa bersembang, suami saya menyebut kepada saya (isteri kedua) semasa bersembang: “Kak Dah (isteri pertama) suruh saya (suami) ceraikan Ani (isteri kedua).” Boleh saya tahu adakah jatuh talak? 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Lafaz talak adalah perkara yang amat berat dan perlu diberikan perhatian oleh seorang suami. Terdapat tiga perkara yang apabila ia diucapkan dalam keadaan bergurau sekalipun, ia akan tetap berlaku. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ: النِّكَاحُ، وَالطَّلاَقُ، وَالرَّجْعَةُ.

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh: Nikah, cerai, rujuk semula.”

Riwayat Abu Daud (2194)

Akan tetapi, Imam ‘Umairah menyebutkan: “(Talak dengan lafaz sorih) tanpa niat jatuhnya (talak), manakala niat melafazkan (lafaz sorih) tersebut adalah perlu untuk mengeluarkan mereka yang sekadar terlepas cakap.”

Dinukilkan juga daripada Imam al-Zarkasyi, katanya: “(Niat melafazkan lafaz sorih tersebut adalah perlu) untuk mengeluarkan orang ‘ajam (bukan orang arab) apabila dia melafazkan kalimat sorih tersebut akan tetapi dia tidak memahami maksudnya.” 

Kami simpulkan daripada kalam di atas, niat yang dimaksudkan oleh ulama’ ada dua:

  • Niat (berhasrat) menceraikan isterinya dalam hati.
  • Niat (sengaja) melafazkan talak kepada isterinya.

Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, kami mendapati situasi tersebut adalah hikayah (menceritakan). Suami menceritakan kepada isterinya yang kedua bahawa isterinya yang pertama menyuruh si suami untuk menceraikannya (isteri yang kedua).

Lafaz yang diucapkan oleh suami “saya ceraikan awak (isteri kedua)” adalah lafaz sorih (jelas). Jika dia melafazkannya dan mencukupi kedua syarat yang kami simpulkan, berhasrat menceraikan isteri dan sengaja melafazkan talak kepada isterinya, maka jatuh talak.

Manakala jika dia melafazkan lafaz tersebut tanpa hasrat menceraikan isteri atau tanpa sengaja, maka tidak jatuh talak.

Kedua-dua syarat ini penting bagi mengeluarkan mereka yang sedang menceritakan tentang talak, ahli feqah yang mengajarkan tentang talak, dan orang yang memanggil isterinya yang bernama Taliq (maksudnya wanita yang ditalakkan). 

Kesimpulan

Kami katakan, tidak terjatuh talak orang yang melafazkannya secara hikayah (menceritakan). Hal yang demikian kerana si suami hanya menyampaikan kepada isteri keduanya apa yang dikatakan oleh isteri pertamanya.

Sekalipun begitu, kami menasihatkan agar mereka yang bergelar suami dapat membuat pilihan yang lebih bijak bagi mendamaikan antara isteri-isteri. Jika dia tidak mampu berlaku adil, berpada dengan berkahwin dengan seorang perempuan sahaja. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا تَعۡدِلُواْ فَوَٰحِدَةً

Maksudnya: “Kemudian jika kalian bimbang tidak akan berlaku adil maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.” 

Kami juga menasihatkan supaya si suami memainkan peranan sebagai pendamai. Sebagai contoh, membelikan buah tangan untuk isteri pertama dan mengatakan ia daripada isteri kedua, kemudian membelikan buah tangan untuk isteri kedua dan mengatakan ia daripada ia dari isteri pertama.

Ini termasuk dalam sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Asma’ Binti Yazid:

‌لَا ‌يَحِلُّ ‌الكَذِبُ ‌إِلَّا فِي ثَلَاثٍ: يُحَدِّثُ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ لِيُرْضِيَهَا، وَالكَذِبُ فِي الحَرْبِ، وَالكَذِبُ لِيُصْلِحَ بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya: “Tidak dihalalkan berdusta melainkan pada tiga (keadaan): Lelaki yang berbicara (lalu berdusta) dengan isterinya untuk memuaskan hatinya, berdusta ketika perang, dan berdusta untuk mendamaikan antara manusia.” 

Riwayat Tirmizi (1939) 

Dan juga diriwayatkan oleh Ummu Kalthum Binti ‘Uqbah, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَيَقُولُ خَيْرًا، وَيَنْمِي خَيْرًا

Maksudnya: “Bukanlah (dikira) penipu orang yang mendamaikan antara manusia, maka dia berkata baik, atau yang menumbuh dan menghasilkan kebaikan (sahaja).”

Riwayat Muslim (2605)

Perbuatan si suami tidak dikira sebagai dusta, bahkan ia hanya sekadar helah yang digunakan untuk mengharmonikan rumah tangga, dan juga mengharmonikan antara dua orang Islam. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar Allah SWT menjadikan rumah tangga kita sebagai Baiti Jannati:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahua‘lam.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H