#1318: Ciri-Ciri Perawat Islam

Soalan:

Assalamualaikum wbt. Ibu saya kerap sakit dan mengalami gangguan jin (sihir dan saka). Selain mendapatkan rawatan di hospital, ibu saya juga berusaha mendapatkan rawatan perubatan Islam.

Bagaimanakah kami boleh mengetahui perawat itu adalah perawat yang mengamalkan rawatan Islam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Hukum Berjumpa Bomoh

Hukum pergi kepada bomoh/ tukang sihir bagi tujuan mengubati adalah haram hukumnya dan dia telah mensyirikkan Allah SWT. Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya: Diharamkan untuk meminta bantuan dari bomoh/ tukang sihir untuk tujuan sihir atau perubatan. Hal ini kerana ia merupakan suatu perbuatan syirik kepada Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.”

Riwayat Ahmad (9171)

  

Begitu juga, Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ ‏”‏‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ ‏”‏ الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ ‏”‏‏.‏

Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: Wahai Pesuruh Allah? Apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”

Sahih  Imam Bukhari (2766)

Dalam isu ini juga, ia telah dibahaskan dengan panjang lebar. Sila rujuk Ahkam Syar’iyyah di maktabahal-bakri.com: #410: Jumpa Tukang Sihir Untuk Ubati Sihir 

Ciri-ciri perubatan Islam

  • Ayat-ayat rawatan berlandaskan al-Quran dan hadith, serta doa-doa yang difahami maknanya dan jelas sebutannya. Begitu juga, tidak menambah atau mengurangkan ayat al-Quran dan menterbalikkan susunan ayat al-Quran.
  • Bahan rawatan: air, herba (limau, habbatulsauda’, zaitun), madu, garam dan bahan-bahan yang suci menurut syarak.
  • Tidak menggunakan bahan seperti: darah, bangkai, khinzir, anjing, arak, tanah kubur, kain kapan, pakaian harian, kemenyan, senjata lama (keris, pedang dan seumpamanya), tulang-belulang, rambut, minyak dagu/ pengasih/senyonyong/cenuai dan nasi tangas.
  • Tidak merawat dalam bilik yang gelap.
  • Tidak menjalankan pembedahan batin secara ghaib atau menggunakan bantuan makhluk halus.

Etika merawat: Terdapat beberapa etika sama ada sebelum, semasa atau selepas merawat antaranya:

Sebelum merawat

  • Memohon izin kepada pesakit sebelum merawat.
  • Memastikan waris pesakit bersama pesakit semasa sesi rawatan (jika berlainan jantina).
  • Memastikan pesakit memakai pakaian yang menutup aurat.
  • Memberi penerangan yang jelas kepada pesakit (punca, kaedah rawatan dan kos).

Semasa merawat

  • Memulakan sesi rawatan dengan bacaan doa atau ayat -ayat al-Quran dengan jelas.
  • Perlu menjaga aurat pesakit semasa rawatan dengan kadar yang munasabah.
  • Tidak dibenarkan mengambil gambar atau video tanpa mendapat keizinan pesakit.

Selepas merawat

  • Tidak dibekalkan dengan azimat, tangkal, susuk dan seumpamanya.
  • Memberi nasihat kepada pesakit setelah selesai rawatan mengikut jenis rawatan yang diterima.

(Lihat Garis Panduan Amalan Perubatan Islam, JAKIM)

Kesimpulan

Justeru itu, kami nyatakan di sini bahawa apabila berlaku perkara-perkara seperti sihir, saka dan seumpamanya, maka rujuklah kepada mereka yang menggunakan rawatan Islam. Hal ini kerana apabila seseorang itu pergi meminta bantuan kepada dukun atau penyihir, ia bukan sahaja telah menyekutukan Allah SWT, bahkan ia akan memudaratkan sang pelakunya pada akhirnya. Akhir sekali, semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah SWT, serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H