#1322: Judi atau Tikam Dalam Pertandingan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya inginkan kepastian sama ada ini dikira macam tikam atau judi juga, atau dibenarkan?

  1. Teka skor antara 2 pasukan bola sepak
  2. Teka bilangan guli dalam kotak

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu takrif judi. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi judi diertikan sebagai: “permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan”.

Definisi ini tidak jauh dengan makna pertaruhan (qimar), seperti yang ditakrif oleh Imam al-Jurjani sebagai:

كُلُّ لَعِبٍ يُشْتَرَطُ فِيْهِ غَالِبًا مِنَ الْمُتَغَالِبَيْنِ شَيْئًا مِنَ الْمَغْلُوْبِ

Maksudnya: “Setiap permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti duit) kepada peserta yang menang.” (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 179)

Firman Allah Taala:

إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ ‌وَٱلۡمَيۡسِرُ ‌وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُون          

Maksudnya: “Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan menilik nasib dengan anak panah adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” 

Surah al-Maidah (90)

Kata Sheikh Jalaluddin al-Mahalli di dalam tafsirnya, (الْخَمْر) ialah minuman yang memabukkan yang meliputi akal, dan (الْمَيْسِر) adalah perjudian, (الْأَنْصَاب) adalah berhala-berhala, (الْأَزْلَام) adalah anak panah, dan (رِجْس) ialah benda yang keji dan kotor, dan (مِنْ ‌عَمَل ‌الشَّيْطَان) bermaksud tipu-dayanya. (Lihat Tafsr al-Jalalayn, hlm. 154)

Berkenaan dengan persoalan di atas, jika sekiranya tidak ada sebarang bayaran sebagai pertaruhan atau tanpa yuran penyertaan, maka hukumnya adalah harus dan ia tidak termasuk dalam judi. Walaupun begitu, elakkan daripada syubhah adalah lebih baik. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW:

 فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghindarkan diri dari perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Semoga Allah SWT kurniakan kita sentiasa istiqamah dalam agama-Nya dan menjauhkan kita dari sebarang syubhah serta apa-apa yang diharamkan-Nya. Amin.

Saya tutup dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H