Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Apakah hukum daging beaver, dan adakah ia haram dimakan sebagaimana hukum memerang (otter)? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi beaver dan habitatnya[1]
Beaver terkenal sebagai haiwan yang sibuk dan ia menggunakan bakatnya untuk membina semula landskap yang hanya mampu dilakukan sebahagian kecil haiwan lain. Apabila terdapat kawasan yang sesuai, beaver akan mengorek lubang di tebing sungai dan tasik. Akan tetapi, haiwan ini turut mengubah kawasan yang kurang sesuai sebagai habitat dengan membina empangan. Dengan menebang dan menggerogot pokok dengan giginya yang tajam and rahangnya yang kuat, haiwan ini mewujudkan balak, dahan dan struktur lumpur yang besar untuk menahan sungai and menukar padang hutan menjadi kolam besar yang disukai oleh beaver.
Rumah beaver yang berbentuk seperti kubah atau juga dikenali sebagai penempatan, dibina dari dahan dan lumpur. Penempatan ini biasanya berada di lokasi strategik di tengah-tengah tasik dan penempatan ini hanya boleh dimasuki melalui beberapa laluan masuk di bawah air. Penempatan-penempatan ini ialah tempat tinggal keluarga lanjutan bagi keluarga ibu bapa monogami, anak beaver yang masih kecil dan anak beaver berumur antara satu dan dua tahun yang dilahirkan pada musim bunga tahun sebelumnya.
Gambar atas: Beaver Amerika Utara (Castor canadensis)
Beaver ialah antara rodensia yang terbesar. Ia adalah haiwan herbivor dan suka makan daun, kulit kayu, ranting, akar dan tumbuhan air. Haiwan rodensia yang besar ini bergerak dengan canggung secara terkedek-kedek di daratan tetapi berenang dengan pergerakan yang cantik di dalam air menggunakan kaki belakang renangnya seperti sirip renang dan ekornya yang berbentuk seperti pendayung berfungsi sebagai kemudi. Ciri-ciri ini membolehkan beaver berenang pada kelajuan sehingga lima batu sejam. Haiwan ini boleh berada di bawah air selama 15 minit tanpa naik ke permukaan air dan mempunyai sepasang kelopak mata lutsinar yang berfungsi seperti gogal. Bulu haiwan ini secara semulajadinya adalah berminyak and kalis air.
Terdapat dua spesies beaver yang boleh ditemui di hutan di Amerika Utara, Eropah dan Asia. Haiwan ini aktif sepanjang musim sejuk, berenang dan mencari makanan di dalam kolam walaupun lapisan ais melitupi permukaan kolam tersebut.
Gambar atas: Eurasian beaver (Castor fiber)
Perbezaan antara beaver dan memerang
Dalam artikel kami yang lalu, kami telah nyatakan bahawa memerang adalah haiwan yang haram untuk dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang bertaring dan menggunakan taringnya bagi memburu haiwan lain sebagai makanan utamanya.[2]
Jadi, sebelum kami menjawab soalan yang diajukan, kami ingin tegaskan bahawa beaver adalah haiwan yang berbeza dengan memerang (atau dalam bahasa Inggeris ia dipanggil sebagai otter). Kami nyatakan di sini beberapa perbezaan tersebut:[3]
- Memerang adalah haiwan karnivor manakala beaver adalah haiwan herbivor.
- Memerang adalah tergolong dalam order Carnivora[4] manakala beaver pula tergolong dalam order Rodentia.[5]
- Memerang adalah haiwan yang dekat dengan keluarga weasel manakala beaver ialah haiwan yang dekat dengan keluarga tikus.
- Memerang mempunyai bentuk badan yang lebih panjang dan kurus serta ekor yang tirus. Manakala beaver pula adalah lebih pendek dan gempal serta ekor yang panjang dan lebar.
Gambar atas: Memerang Eropah
Hukum daging beaver
Secara umumnya, beaver sering kali dilihat selalu berada di dalam air atau berada berhampiran dengan kawasan air. Maka, terlebih dahulu kita hendaklah menentukan sama ada ia dinisbahkan kepada kategori haiwan air ataupun haiwan darat. Berkenaan hal ini, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan air, iaitu:
مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ
Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”
Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566).
Justeru, melihat kepada gaya hidup dan habitnya, beaver lebih dekat dengan haiwan darat kerana ia tidak dapat hidup lama (kekal) di dalam air. Hal ini kerana paling lama beaver mampu berada di dalam air tanpa perlu naik ke permukaan air hanyalah selama 15 minit.[6]
Seterusnya, apabila jelas bahawa ia berada dalam kategori haiwan darat. Mengenai hal ini, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:
أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 1)
Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ
Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”
(Surah al-Jathiyah: 13)
Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ
Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”
Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102); Syeikh al-Albani dalam al-Ta‘liqat al-Radhiyyah (3/24) menilainya sebagai sahih. Al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (1/176) menilai sanadnya sebagai hasan dan menyebutkan, semua perawinya adalah boleh dipercayai.
Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa beaver termasuk dalam jenis haiwan yang harus dan halal untuk dimakan sebagaimana hukum asalnya. Walau bagaimanapun, bagi menghalalkannya ia mesti disembelih sebagaimana haiwan darat yang lain, dan bukan seperti mana haiwan air yang halal bangkainya.
Selain itu, beaver bukanlah tergolong dalam jenis haiwan yang bertaring mahupun haiwan pemangsa yang memburu haiwan-haiwan lain sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Akan tetapi beaver merupakan haiwan herbivor yang hanya makan daun, kulit kayu, ranting, akar, tumbuhan air, paku pakis, rumput, pokok renek, jagung dan kacang. Bahkan beaver juga tidak akan makan daging sama sekali.[7]
Lebih-lebih lagi, daging beaver telah dikenalpasti sebagai daging yang sangat kaya dengan sumber protein. Selain itu, hatinya juga kaya dengan sumber vitamin A dan zat besi (iron). Oleh itu, daging beaver selamat dimakan dan merupakan salah satu makanan yang sangat berkhasiat. Manfaat memakan daging beaver adalah lebih banyak lagi berbanding risiko terdedah kepada pencemaran.[8]
Oleh yang demikian, hal ini dilihat bertepatan dengan saranan agama Islam yang meminta penganutnya, bukan sahaja memilih makanan yang halal tetapi mesti juga baik — berkualiti.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat National Geographic, https://www.nationalgeographic.com/animals/mammals/b/beaver/. Diakses pada 14 April 2023.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/363-memakan-daging-memerang/. Diakses pada 14 April 2023.
[3] Lihat artikel bertajuk Difference Between Otters and Beavers, http://www.differencebetween.net/science/nature/difference-between-otters-and-beavers/. Diakses pada 11 Mac 2020.
[4] Order Carnivora berasal dari bahasa Latin : carō iaitu daging, dan vorāre iaitu melahap. Ia merangkumi lebih 260 spesies mamalia plasenta. Hampir semua karnivora menjadikan daging sebagai makanan utama. Sesetengah famili seperti kucing, anjing, dan wesel hanya memakan daging, manakala famili lain seperti rakun dan beruang lebih cenderung kepada omnivor, bergantung pada persekitaran habitatnya. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Carnivora. Diakses pada 11 Mac 2020)
[5] Rodentia ialah binatang mamalia kecil seperti tikus, arnab dan tupai, yang mempunyai gigi depan yang tajam dan kuat untuk mengunggis makanan dan sebagainya. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=rodensia. Diakses pada 14 April 2023).
[6] Lihat Wilderness Classroom Educational Adventures, http://www.wildernessclassroom.com/wilderness-library/beaver/. Diaksess pada 11 Mac 2020.
[7] Lihat Artikel bertajuk What Do Beavers Eat? https://www.animalfoodplanet.com/what-do-beavers-eat/. Diakses pada 11 Mac 2020.
[8] Lihat Beaver Environmental Health – Contaminants Fact Sheet, https://www.hss.gov.nt.ca/sites/hss/files/resources/contaminants-fact-sheets-beaver.pdf. Diakses pada 11 Mac 2020.
Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H