#1312: Kain Kafan Berwarna Selain Warna Putih

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah boleh mengkafankan jenazah dengan kain kafan berwarna selain warna putih? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, sunnah untuk mengkafankan jenazah dengan kain putih. Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya:Pakailah kamu pakaian yang berwarna putih kerana ia sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah dengan pakaian putih tersebut mayat-mayat kamu.”

Riwayat Abu Daud (3878); al-Tirmizi (994); Ibn Majah (3566); Ahmad (2219); Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih.

Dalam  hadith lain, daripada riwayat Samurah bin Jundub R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا البَيَاضَ؛ فَإنَّهَا أَطْهَرُ وَأَطْيَبُ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya:Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia adalah lebih suci dan lebih baik, begitu juga kafankanlah dengan pakaian putih itu mayat-mayuat kamu.

Riwayat al-Tirmizi (2810) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih; al-Nasa’i (1896); Ibn Majah (3567); Ahmad (20166)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُفِّنَ فِي ثَلاَثَةِ أَثْوَابٍ يَمَانِيَةٍ بِيضٍ

Maksudnya:Rasulullah SAW dikafankan dengan tiga kain berwarna putih yang berasal dari Yaman.”

Riwayat al-Bukhari (1264)

Imam al-Nawawi menyebutkan, lafaz “بِيضٍ” (putih) dalam hadith di atas adalah dalil yang menunjukkan galakan (sunat) untuk mengkafankan mayat dengan kain putih, dan ia merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/8).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami berpendapat bahawa dibolehkan mengkafankan jenazah dengan pakaian yang dibolehkan untuknya memakainya ketika hidupnya. Justeru, boleh menggunakan, kain cotton, kain yang diperbuat daripada bulu biri-biri, kain linen, kain yang diperbuat daripada bulu biasa, kain yang diperbuat daripada bulu unta dan lain-lain.

Adapun kain sutera, haram untuk mengkafankan jenazah lelaki dengannya. Manakala bagi jenazah perempuan, pendapat yang masyhur lagi putus adalah diharuskan untuk mengkafankan jenazah perempuan tersebut dengannya. Hal ini kerana dia dibolehkan untuk memakainya ketika masih hidup dahulu, akan tetapi dihukumkan sebagai makruh kerana di dalamnya terdapat pembaziran dan menyerupai perbuatan mensia-siakan harta. Berbeza halnya dia memakainya ketika masih hidup dahulu kerana dia memakainya untuk kelihatan cantik buat suami.

Adapun kain yang berwarna kuning dan kain yang berwarna oren terang pula, tidak haram untuk mengkafankan jenazah dengannya tanpa sebarang khilaf tetapi dihukumkan sebagai makruh mengikut mazhab (Syafi‘i) dan pendapat ini telah diputuskan oleh ramai ulama.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/197).

Dalam erti kata lain, mengkafankan jenazah dengan kain berwarna selain warna putih adalah dibolehkan selagi mana ia adalah pakaian yang dibenarkan untuk dipakai ketika dia masih hidup dahulu tetapi dihukumkan sebagai makruh. Hal ini juga adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas bahawa dihukumkan sebagai makruh mengkafankan mayat dengan kain berwarna dan seumpamanya yang terdiri daripada pakaian perhiasan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/8).

Selain daripada itu, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa makruh mengkafankan dengan kain berwarna oren terang, kain berwarna kuning, kain yang diperbuat daripada bulu biasa dan kain yang diperbuat daripada bulu biri-biri sedangkan dia mampu untuk menggunakan kain selainnya kerana ia menyalahi amalan salaf. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/238).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa mengkafankan jenazah dengan warna selain warna putih adalah dibolehkan. Akan tetapi hukumnya adalah makruh, jika ia dilakukan dalam keadaan dia mampu untuk mendapatkan kain yang berwarna putih. Apatah lagi tindakan mengkafankan jenazah dengan kain berwarna seolah-olah mendedahkan dirinya kepada ruang-ruang tohmahan, di mana sedia maklum amalan negara kita adalah mengkafankan jenazah dengan kain berwarna putih, dan kain putih juga kebiasaannya adalah lebih murah berbanding kain-kain berwarna.

Sekalipun begitu, jika terdapat sebab untuk menggunakan kain selain warna putih disebabkan oleh ketiadaan kain berwarna putih atau kain kafan berwarna putih tidak mencukupi untuk digunakan dalam proses mengkafankan jenazah terutamanya kawasan pedalaman yang jauh daripada kedai-kedai, atau seumpamanya, maka tidak makruh untuk menggunakannnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H