#1332: Hukum Tawaf Wada’ Ketika Umrah

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri, mengambil sempena bulan Ramadhan baru-baru ini, saya telah menunaikan umrah dan pulang selepas seminggu. Persoalan saya, apakah hukum tawaf wada’ ketika umrah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tawaf wada’ adalah amat dituntut bahkan ia disaran oleh Rasulullah SAW. Antaranya dapat dilihat melalui hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya (di Makkah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”

Riwayat Muslim (1327)

Imam al-Nawawi berkata, “Hadith ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka wajib membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/79)

Imam al-Nawawi juga berkata: “Ashab kami mengatakan, “Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Mekah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Mekah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al- Muhazzab, 8/254)

Menurut Syeikh Ibrahim al-Bajuri yang menukilkan kata-kata Imam Ibnu Qasim dan Abu Syuja’ dalam syarahnya berkata: Bagi pendapat yang lemah menyatakan sunat melakukan Tawaf Wada’ sekiranya ingin keluar bermusafir daripada Mekah, sama ada perjalanan musafirnya jauh mahupun dekat.  Manakala pendapat yang azhar (kuat) ialah wajib melakukan Tawaf Wada’, dan ia  adalah merupakan pendapat yang muktamad.”  (Lihat Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, 1/323)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa sesiapa yang ingin keluar meninggalkan Mekah untuk pulang ke tanah air masing-masing atau ke tempat yang lain, wajib ke atasnya melakukan tawaf wada‘ (sebelum bergerak keluar). Tawaf wada‘ bukanlah sebahagian daripada manasik haji, mahupun umrah, tetapi ia merupakan ibadah yang tersendiri. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/402.)

Terdapat pendapat daripada al-Baghawi bahawa tawaf wada‘ wajib buat mereka yang ingin keluar meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat. Adapun jarak yang kurang daripada itu, tidak wajib melakukan tawaf wada‘. Namun menurut al-Nawawi, pendapat yang sahih dan masyhur ialah sesiapa yang mahu meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskan qasar solat (2 marhalah) atau kurang daripada itu, sama ada dekat, mahupun jauh, wajib melakukan tawaf wada‘. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/256)

Walaupun begitu, Imam al-Nawawi juga telah menyebut: “Para ulama’ al-Syafi’iyyah berbeza pendapat tentang Tawaf Wada’ apakah termasuk ibadah yang khusus bagi ibadah haji atau merupakan ibadah yang tetap dianjurkan di luar ibadah haji. Dalam hal ini, menurut Imam al-Haramain, bahawa Tawaf Wada’ adalah merupakan ibadah yang khusus bagi ibadah haji, yang membawa maksud, bagi para jemaah haji yang sudah meninggalkan Mekah tidak dianjurkan lagi atau tidak berhak lagi melakukan Tawaf Wada’. Dan menurut al-Baghawi, Abu Said al-Mutawalli dan selainnya berkata, bahawa Tawaf Wada’ itu merupakan ibadah yang tidak khusus bagi ibadah haji. Tetapi tetap diperintahkan bagi seseorang yang hendak meninggalkan kota Mekah yang mendapati jarak yang dibolehkannya melakukan qasar solat, sama ada bagi penduduk Mekah atau selainnya.”  (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah, hlm. 409)

Tawaf Wada’ ketika Umrah

Kami kemukakan sekali lagi pandangan Imam al-Nawawi melalui kitabnya al-Majmu’, beliau antara lain menyebut dua pendapat berkenaan Tawaf Wada’, iaitu:

Pertama: Wajib. Inilah pendapat Ibnu Abbas dan selainnya.

Kedua: Tidak wajib. Ini kerana sekiranya wajib, nescaya tidak diharuskan perempuan yang haid meninggalkannya.

Al-Qadhi Abu al-Tayyib dan al-Bandaniji menyatakan hukumnya sunat dan jika ditinggalkan Tawaf Wada’, maka sunat juga membayar dam. Ini juga pendapat Imam al-Syafie berdasarkan qaul qadim. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/253-254)

Sekalipun begitu, al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa tidak wajib ke atas orang yang sedang bermukim di Makkah, apabila hendak keluar ke Tan‘im melakukan tawaf wada‘ serta tiada dam dikenakan ke atas mereka sekiranya meninggalkan tawaf tersebut. Dalilnya adalah berdasarkan perintah Nabi SAW yang mengarahkan ‘Abd al-Rahman menemani Aisyah untuk keluar berihram di Tan‘im dan tidak meminta mereka untuk melakukan tawaf wada‘ terlebih dahulu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/257.)

Berdasarkan persoalan di atas, al-Lajnah al-Daimah dalam fatwanya menyebut: “Tawaf wada’ diwajibkan kepada orang yang ingin pulang ke tempat mereka setelah menunaikan haji ke Baitullah, sebagaimana hadith Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: “Orang ramai pergi dari mana sahaja mereka berada, tetapi Rasulullah saw bersabda: “Janganlah seseorang daripada kamu pergi sehingga perkara terakhir yang dia lakukan ialah tawaf di Baitullah.” Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim. Berdasarkan konteks, ini adalah perintah kepada jemaah haji, kerana Rasulullah SAW bersabda pada akhir waktu haji dan mengarahkannya pada jemaah haji. 

Adapun orang yang mengerjakan umrah, tidak wajib baginya melakukan tawaf wada’, akan tetapi disunatkan baginya melakukan tawaf di Ka’bah ketika hendak pulang sebagaimana tidak ada dalil wajib untuk melakukan tawaf wada’. Hal ini kerana Rasulullah SAW tidak melakukan tawaf wada’ ketika baginda meninggalkan Makkah setelah menunaikan umrah al-qada’ sebagaimana yang kita ketahui daripada sunnah baginda. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 11/336)

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya bernombor  3318 pada tarikh 21 Ogos 2016 ketika ditanya berkenaan hukum tawaf wada’, maka mereka menjawab:
Para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum tawaf wada’ kepada dua pendapat, pendapat pertama ialah ia diwajibkan dan ia merupakan pendapat para fuqaha’ daripada mazhab Hanafi, Hanbali, dan riwayat dari Imam al-Syafi’ie. Kedua: Ia adalah disunatkan dan merupakan pendapat daripada Imam Malik, Dawud (al-Zahiri), Ibn al-Munzir, serta salah satu daripada dua pendapat al-Syafi’ie, dan juga apa yang difatwakan dalam Dar al-Ifta’al-Misriyyah bagi memudahkan jemaah haji dan mengangkat kesulitan bagi mereka.[1]

Syeikh Abdul Aziz bin Baz pula ketika ditanya berkenaan hukum tawaf wada’ ketika umrah, beliau menjawab: “Pendapat yang utama dan yang tepat ialah tawaf wada’ ketika umrah tidaklah wajib, tetapi ia disunatkan. Apabila seseorang itu melakukan tawaf wada’ setelah melakukan umrah, maka itu lebih afdhal dan lebih utama, tetapi sekiranya, dia keluar dari Makkah dan tidak melakukan tawaf wada’, maka tidak dikenakan apa-apa padanya. Adapun ketika haji, maka tawaf wada’ adalah wajib kerana Nabi SAW bersabda: “Janganlah seseorang daripada kamu pergi sehingga perkara terakhir yang dia lakukan ialah tawaf di Baitullah”. Sabda Nabi SAW ditujukan kepada orang yang melakukan haji sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya:Manusia diperintahkan agar menjadikan urusan terakhir mereka dengan tawaf sekeliling kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita yang sedang haid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Perempuan yang sedang dalam haid tidak perlu melakukan tawaf wada’, begitu juga dengan perempuan yang berada dalam keadaan nifas. Manakala umrah pula, tidak wajib bagi yang menunaikannya melakukan tawaf wada’, tetapi ia disunatkan.  (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 18/83-84).[2]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

  • Tawaf wada’ adalah diwajibkan bagi mereka yang menunaikan haji kerana hadith yang diucapkan oleh Rasulullah SAW supaya menjadikan tawaf wada’ sebagai ibadah akhir sebelum meninggalkan Makkah adalah ditujukan kepada jemaah haji ketika peristiwa Hajjatul Wada’.
  • Tawaf wada’ ketika ingin pulang daripada melakukan umrah adalah sunat, afdhal dan sangat dituntut, tetapi ia tidaklah wajib untuk dilakukan berdasarkan pendapat majoriti ulama’.
  • Nasihat kami, buat mereka yang telah selesai melakukan umrah dan ingin meninggalkan Makkah dan tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya, maka lakukanlah tawaf wada’. Ini berdasarkan umum hadith Nabi SAW. Walaupun begitu, beberapa perkiraan perlu diambil perhatian seperti jumlah jemaah yang amat ramai di dataran Kaabah atau berlakunya wabak seperti Covid-19 dan lain-lain wabak di samping kemampuan jemaah tersebut daripada segi kesihatan dan daya tahan. Semoga hal ini menjadi asas kepada pertimbangan untuk melakukan tawaf wada’ sama ada ia perlu dilakukan atau tidak.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/12624/حكم-طواف-الوداع

[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/13575/حكم-طواف-الوداع-في-العمرة%C2%A0هل-يلزم-ام-لا%C2%A0

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H