#1350: Nak Solat Tarawih, Tapi Belum Habis Qadha’ Solat Fardhu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada satu soalan. Benarkah kalau kita belum habis lakukan solat qada untuk solat-solat yang wajib kita tertinggal atau tinggalkan, kita tidak layak untuk kerjakan solat sunat seperti solat tarawih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jika kita pernah terlalai daripada menunaikan solat fardu, maka hendaklah kita menggantikan solat-solat fardu itu semampu kita kerana itu dikira hutang yang wajib kita langsaikan. Sabda Rasulullah SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148).

Qada’ solat fardhu adalah wajib berdasarkan nas di atas, bahkan tuntutan solat adalah amat serius. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

Daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: “Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir.”

Riwayat Tirmizi (2621), Ahmad (22987), Ibnu Majah (1079) dan Nasa’ie (463)

Dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ فَلَا دِينَ لَهُ، وَالصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan solat maka hilanglah agama pada dirinya kerana solat itu tiang agama.”

Hadis riwayat al-Baihaqi (255) dalam Syu`ab al-Iman

Al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami daripada Habib ‘Abdullah al-Haddad yang menjelaskan, bagi kelompok yang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie, kewajipan untuk qadha’ itu boleh ditunda (tidak dituntut segera), sesuai dengan kemampuan dan tanpa menyempitkan, asalkan tidak sampai ke tahap bermudah-mudahan.

Habib ‘Abdullah al-Haddad berdalilkan hadith:

بُعِثْتُ ‌بِالْحَنِيفِيَّةِ ‌السَّمْحَةِ

Maksudnya: “Aku telah diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah.”

Riwayat Ahmad (22291)

Sabda Nabi SAW:

‌يَسِّرُوا ‌وَلَا ‌تُعَسِّرُوا

Maksudnya: “Permudahkan, usah persulitkan.”

Riwayat al-Bukhari (69)

Al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami mengulas dengan katanya, “Pendapat ini, seperti yang kamu lihat, lebih utama dari pada apa yang dikatakan fuqaha’ berkenaan kewajiban mengerahkan seluruh masa untuk mengqadha’ selain waktu yang diperlukan untuk dirinya dan keluarga yang wajib ditanggungnya, kerana pendapat tersebut mempunyai kesulitan yang amat sangat,” (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, 2/51)

Seperkara lagi, solat sunat boleh dibahagikan kepada dua iaitu zawat al-asbab dan bukan zawat al-asbab. 

Guru kami Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti menjelaskan, solat sunat yang dikira zawat al-asbab ini adalah kerana sebab yang datang sebelumnya, dan bukan datang kemudian. Beliau membawakan juga pandangan Imam al-Nawawi dan Ibn Qudamah dalam perkara ini.

Solat sunat yang mempunyai sebab (zawat al-asbab) adalah seperti solat tahiyyat al-masjid, solat gerhana, solat istisqa’, solat sunat Hari Raya dan lain-lain.

Solat sunat yang tidak mempunyai sebab contohnya solat sunat mutlak. Maka, qadha’ solat wajib didahulukan berbanding solat yang tidak dikira zawat al-asbab.

Kesimpulannya, solat yang ditinggalkan wajib untuk diqadha’ dan itulah yang wajar diutamakan. Usahlah ibadah sunat dilakukan melebihi qadha’ solat yang merupakan kewajiban.

Dalam masa yang sama, boleh untuk dilakukan solat-solat sunat sebagaimana fatwa yang dinukilkan oleh al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami dengan syarat, kelonggaran tersebut tidaklah menyebabkan seseorang itu bermudah-mudahan dengan kewajiban qadha’ solat.

Kami berpandangan bahawa menyegerakan qada solat fardu itu adalah keutamaan bagi saudara dalam hal ibadat namun dibenarkan bagi saudara melakukan solat sunat yang bersebab contohnya solat Dhuha dan Tahiyyatul Masjid. Juga digalakkan agar saudara memperbanyakkan bersedekah dan berbudi kepada manusia. Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak untuk marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (41-42)

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H