Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada satu soalan. Saya belajar di Mesir, ketika solat tarawih saya solat tarawih 8 rakaat 3 witir, tapi tadi imam solat witir 3 rakaat sekaligus sedangkan saya berniat 2 rakaat witir, jadi apakah perlu saya ulang semula?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sesungguhnya solat witir adalah amat dituntut. Fadhilatnya amat banyak. Kami nyatakan sebahagian daripadanya:
Rasulullah SAW bersabda:
يَا أَهْلَ الْقُرآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الوِتْرَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan Dia menyukainya.”
Riwayat al-Tirmizi (2/316) dan beliau menilainya sebagai hasan.
Hadith ini menunjukkan supaya yang mencintai al-Quran untuk berwitir dan ini menunjukkan hubungan yang begitu akrab antara solat Witir dengan bacaan al-Quran al-Karim.
Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَوْصَانِي خَلِيْلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَي الضُّحَى وَأَن أَوْتَرَ قَبْلَ أَن أَرْقدَ
Maksudnya: “Kekasihku Nabi SAW mengingatkanku tiga perkara: Berpuasa pada setiap bulan, bersolat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur.”
Riwayat (Muslim 721) dan Abu Dawud (1433)
Hadith ini menunjukkan wasiat Nabi SAW kepada sahabatnya. Ini sudah pasti menggambarkan betapa witir selayaknya dikerjakan oleh umat Islam dan jika dibimbangi tidak dapat melakukannya pada waktu malam, maka hendaklah ia berwitir sebelum daripada tidur agar tidak luput solat Witir.
Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ وَهِيَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ، وَهِيَ الْوِتْرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah yang mahal harganya iaitu solat Witir.”
Riwayat Abu Dawud (1418), al-Tirmizi (452), Ibn Majah (1168), al-Hakim (1/306) dan Ahmad (2/208). Hadith ini telah disahihkan oleh al-Hakim.
Syeikh Abdullah al-Basam berkata: “Hadith ini menjadi dalil bahawa Allah mengurniakan kepada hamba-Nya yang melakukan ketaatan dan beribadat dengan tambahan kebajikan mengangkat darjat, serta menghampirkan mereka kepada Tuhan mereka.” (Lihat Taudih al-Ahkam, 2/405).
Berkenaan dengan persoalan di atas, suka saya nyatakan bahawa sembahyang anda sah dan teruskan ikut imam kerana imam dijadikan untuk diikuti. Daripada ‘Aisyah R.Anha katanya, Rasullullah SAW telah mengalami sakit. Kemudian ramai sahabat melawat Baginda. Kemudian Rasulullah SAW melakukan solat secara duduk sedangkan mereka sembahyang mengikuti Nabi SAW secara berdiri, kemudian Baginda mengisyaratkan mereka untuk duduk, lantas mereka duduk. Tatkala selesai, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk dikuti dengannya.”
Riwayat Bukhari (1236) dan Muslim (412)
Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa melakukan solat witir sama ada berseorangan atau bersama imam seperti di bulan Ramadhan ini. Ini kerana, kelebihannya amat banyak.
Semoga kita menjadi salah seorang ahli witir. Amin.
Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H