#1343: Hukum Bekerja di Syarikat Sekuriti Wang Kasino

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya dapat tawaran kerja di satu syarikat security terkemuka. Tugasan adalah mengambil wang dari pusat kasino dan hantar ke bank menaiki van syarikat. Adakah pekerjaan berikut haram ustaz? Mohon pencerahan. Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya nyatakan bahawa apa-apa yang terkait dengan haram juga boleh membawa kepada haram atau sekurang-kurangnya bersifat syubhah. Judi sebagai mana yang kita ketahui adalah haram di sisi Islam, dengan nas qat’ie firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ ‌وَٱلۡمَيۡسِرُ ‌وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُون          

Maksudnya: “Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan menilik nasib dengan anak panah adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” 

Surah al-Maidah (90)

Kata Sheikh Jalaluddin al-Mahalli di dalam tafsirnya, (الْخَمْر) ialah minuman yang memabukkan yang meliputi akal, dan (الْمَيْسِر) adalah perjudian, (الْأَنْصَاب) adalah berhala-berhala, (الْأَزْلَام) adalah anak panah, dan (رِجْس) ialah benda yang keji dan kotor, dan (مِنْ ‌عَمَل ‌الشَّيْطَان) bermaksud tipu-dayanya. (Lihat Tafsr al-Jalalayn, hlm. 154)

Justeru, kerja di tempat yang ada kena-mengena dengan judi termasuk dalam perkara bertolong-tolongan dalam urusan dosa dan maksiat. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

 Surah al-Maidah: 2

Ayat di atas menerangkan tentang larangan Allah SWT untuk melakukan perkara yang boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara yang kemungkaran seperti meninggalkan suruhan Allah SWT, melakukan perkara yang dilarang serta segala bentuk yang boleh membantu ke arah kemungkaran dan maksiat. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490; Ma’alim al-Tanzil, 2/9; Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/13-14)

Kaedah ada menyebut, sebagaimana dinyatakan:

مَا أدَّى إِلَى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Apa-apa perkara yang membawa kepada haram maka hukumnya haram.”

Saya katakan kepada anda, bumi Allah SWT amatlah luas, dan Allah SWT pasti menolong hamba-Nya yang ingin berbakti dan mencari yang halal. Elakkanlah daripada perkara yang syubhah kerana ia boleh menyelamatkan agama dan maruah kita. Daripada Nu’man bin Basyir R.Anhuma, Rasulullah SAW pernah bersabda:

إنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ، فَمَنْ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas, sedangkan antara kedua-duanya terdapat perkara yang samar-samar. Perkara itu tidak diketahui oleh ramai orang. Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang samar-samar itu bererti dia telah menyelamatkan agama dan maruah dirinya.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (20)

Imam al-Suyuti dalam mensyarahkan hadith menyatakan perkara mutasyabihat merupakan perkara yang tidak jelas halal dan haramnya dan sesiapa yang meninggalkannya bererti ia telah menyelamatkan agamanya daripada fitnah. (Lihat Syarh al-Suyuti ala Sahih Muslim, 4/190)

Marilah sama-sama kita junjung perintah Allah SWT. 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.

Surah al-Baqarah (172)

Menurut Imam al-Hafiz Ibn Kathir, ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut jika benar mereka itu adalah hamba Allah SWT. Tambahan pula, memakan daripada apa yang halal merupakan sebab diterimanya doa dan ibadah, sepertimana memakan daripada apa yang haram akan menghalang diterimanya doa dan ibadah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/480)

Imam al-Qurtubi berkata, yang dimaksudkan dengan (الأَكْلُ) di sini ialah memanfaat sesuatu dari setiap sudut (sama ada makan, minum, membeli barang keperluan dan sebagainya). (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/215)

Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tuan diberi kerja yang jauh lebih baik dan diberkati sehungga jadilah rezeki yang dikurniakan kepada Allah SWT kepada anda akan mendapat keberkatan dalam hidup anda dan keluarga anda. Amin. Marilah kita lazimi doa:

اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا ورزقًا طيِّبًا وعملًا متقبَّلًا.

Maksudnya: “Ya Tuhan, aku memohon daripada-Mu ilmu yang bemanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (762) dan Ahmad (26731)

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H