#1349: Makan di Majlis Ada Dihidang Arak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya cikgu di sekolah Cina. Kami biasa akan adakan majlis hari guru di restoran Cina sebab majoriti guru adalah Cina. Tapi makanan untuk guru Muslim kami sendiri bawa. Cuma, untuk makanan mereka ada terselit hidangan arak. Soalan saya, adakah haram kalau saya hadiri majlis sebegini sebab kami berada dalam satu majlis sama. Cuma meja, hidangan kami asing. Tapi kami masih dapat melihat mereka meminum seteguk dua arak.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, Islam meraikan kepelbagaian kefahaman dan anutan. Di samping ras dan warna kulit. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Surah al-Hujurat (13)

Ulama tafsir terkenal, Imam al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Lihat al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374)

Begitu juga, Islam sekali-kali tidak memaksa mana-mana penganut agama untuk tunduk dan patuh serta memeluk Islam. 

Firman Allah SWT:

‏ لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ 

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Walaupun begitu, dari sudut makan minum, Islam menjaga umatnya dari terlibat dengan majlis yang terdapat padanya arak. Hal ini berdasarkan hadith riwayat ‘Umar Bin al-Khattab RA berkata: Hai manusia, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَقْعُدَنَّ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا بِالْخَمْرِ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَدْخُلْ الْحَمَّامَ إِلَّا بِإِزَارٍ

Maksudnya: “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka jangan dia duduk di atas hidangan diedar padanya arak. Dan siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka jangan dia masuk ke dalam bilik mandi awam kecuali dengan kain.”

Riwayat Ahmad (125), Abu Ya’la (251) dan al-Baihaqi (14941) dengan sedikit perbezaan. Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan hadis ini hasan li ghairihi dalam takhrij al-Musnad.

Saya cadangkan jika majlis seperti ini sepatutnya kita tidak sama-sama menghadirinya kerana percampuran dalam satu majlis yang amat ketara. Ini kerana, nas yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW amat jelas. Iaitu  فَلَا يَقْعُدَنَّ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا بِالْخَمْرِ yang membawa maksud maka jangan dia duduk di atas hidangan diedar padanya arak. Kita juga diajar dengan kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang yang membawa tohmahan.”

Justeru, elakkanlah hadir dalam majlis seumpama ini kerana mudaratnya jauh lebih banyak daripada manfaatnya. Semoga Allah SWT pelihara agama kita dan maruah kita. Amin.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H