Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada satu persoalan. Saya ada buat arca-arca hiasan berbentuk haiwan, seperti bangau, angsa dan kala jengking dari tayar kereta dan motor. Dari segi hukum adakah dia jatuh haram atau bagaimana? Sebab ada yang kata haram sebab berbentuk haiwan bernyawa. Ada yang kata harus sebab ia bukan patung, tapi arca. Sebab ianya diperbuat dari tayar yang dipotong-potong dan dicantum-cantum. Mohon penjelasan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami kemukakan terlebih dahulu maksud dan makna arca. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, arca bermaksud patung yang menyerupai seseorang atau sesuatu (diperbuat daripada batu, kayu dan sebagainya).
Menurut etimologi, istilah arca yang lazim digunakan untuk merujuk kepada patung diambil daripada istilah dalam bahasa Jawa kuno ꦉꦕ (rêca) yang mempunyai maksud “penjelmaan” atau “imej” yang menggambarkan sesuatu entiti khas yang terbuat daripada batu. Arca lazimnya menggambarkan manusia, haiwan, peristiwa, mahupun objek falsafah.
Dalam menjawab persoalan di atas, saya nukilkan sebuah hadith, Abdullah berkata aku mendengar Nabi SAW bersabda :
إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ القِيَامَةِ المُصَوِّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung).”
Riwayat al-Bukhari (5950)
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim mengatakan bahawa membuat gambar haiwan adalah diharamkan kerana ia termasuk dosa besar kerana meniru ciptaan Allah. Adapun melukis gambar pohon atau sesuatu yang tidak bernyawa dibolehkan. Islam juga mengharamkan umatnya mengukir atau membuat patung walaupun untuk orang kafir.
Dalam menentukan keharusan atau larangan terhadap sesuatu perbuatan, kaedah Saddu al-Zarai’ perlu diambil kira kerana sekiranya pelaksanaannya boleh mendatangkan keburukan atau mudharat yang lebih besar, maka ia wajar dihentikan.
Secara zahirnya pembinaan apa jua bentuk binaan sama ada monumen, tugu atau sebagainya adalah sebagai tanda peringatan. Amalan ini jelas ditegah oleh Islam sekiranya binaan tersebut merupakan ukiran patung manusia atau haiwan. Apa jua bentuk binaan atau ukiran, jika ia bertujuan untuk diagung-agungkan dan bersifat membazir, ia amat ditegah oleh Islam. Walau bagaimanapun, jika ia hanya sekadar binaan biasa atau ukiran nama-nama sebagai tanda kenangan sejarah dan tidak berlebih-lebihan, maka ia tiada halangan.
Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ الَّذِينَ يَصْنَعُونَ هَذِهِ الصُّوَرَ يُعَذَّبُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، يُقَالُ لَهُمْ: أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membuat patung-patung ini nanti di hari kiamat akan disiksa dan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah patung yang kamu buat itu.”
Riwayat Bukhari (5951)
Justeru, saya katakan tukarkanlah hiasan arca yang anda lakukan dari bentuk haiwan kepada benda-benda yang tidak bernyawa atau pemandangan yang lain. Ini sudah tentu keluar daripada khilaf.
Semoga pencerahan ini dapat memberi kefahaman kepada kita.
Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H