#1353: Qadha’ Solat Pada Malam Lailatulqadar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, semoga sentiasa berada dalam rahmat Allah. Saya ingin bertanya, berkenaan Lailatulqadar yang sepertimana kita ketahui beribadat pada malam itu melebihi ibadat selama 83 tahun, soalan saya, adakah jika kita qadha solat (yang pernah kita tinggalkan lalu) pada malam itu dikira seolah kita telah melakukan qadha solat selama 83 tahun? Jazakallahukhair.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Suka saya nyatakan qadha solat sewajarnya disegerakan, ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

مَنْ نَامَ عَنْ صَلاةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَلْيُصَلِّهَا إذَا ذَكَرَهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang tertidur dari (melakukan) solat atau terlupa, maka hendaklah dia solat setelah mengingatinya.”

Riwayat Muslim (680), Abu Daud (441), al-Tirmizi (615), Ibn Majah (698)

Menjawab persoalan saudara, suka saya nyatakan kelebihan Lailatul Qadar menyamai 1000 bulan. Firman Allah SWT:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”

Surah al-Qadr (3)

Para ulama berpendapat sebarang amalan yang baik pada malam tersebut seperti solat, zikir, selawat, istighfar, bacaan al-Quran, sedekah, pergi ke masjid, iktikaf dan lain-lain akan digandakan pahalanya dengan lebih baik dari seribu bulan. Justeru, saya mengharapkan solat qadha’ anda juga termasuk dalam umum nas Ilahi di atas iaitu lebih baik dari seribu bulan kerana ia juga merupakan ibadat.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita diampunkan Allah SWT dosa-dosa kita berdasarkan hadith yang diajar kepada kita oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah R.Anha:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”

[Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850) dan Ahmad (25384)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menghukum sanad hadith ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah]

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H