Soalan:
Assalamuaikum Datuk, jika seseorang itu sedang berpuasa lalu dia terasa sesuatu di dalam mulutnya seperti rasa masin atau rasa manis. Rasa ini tidak dapat dikenal pasti puncanya, berkemungkinan ia dari gigi yang rosak, gigi berlubang, karang gigi, atau dari gusi yang berdarah. Adakah puasanya terbatal jika menelan air liur yang tak pasti.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, umum mengetahui bahawa air liur adalah sejenis cecair yang memang dihasilkan di dalam mulut manusia, ia melalui tiga pasang kelenjar air liur utama dan juga kelenjar-kelenjar air liur kecil. Kelenjar air liur utama terdiri daripada:
- Kelenjar Parotid
- Kelenjar Submandibel
- Kelenjar Sublingual
Air liur memainkan peranan yang penting bagi memastikan kesihatan rongga mulut. Ia juga dapat membantu dalam proses pemakanan, pertuturan, dan penelanan. Mulut yang kering dapat mempengaruhi kualiti hidup seseorang. Masalah mulut kering kebiasaannya berlaku disebabkan disfungsi kelenjar air liur, oleh itu ia lebih banyak dihadapi oleh orang yang lebih berumur sama ada atas faktor penuaan. Faktor lain penyebab mulut kering yang lebih umum terjadi pada orang yang lebih tua mungkin terkait dengan banyak jenis ubatan yang sering diambil oleh mereka, tertamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.[1]
Kedua, kami sebutkan secara ringkas berkenaan perkara yang membatalkan puasa. antaranya ialah sampainya Ain (suatu jirim yang dapat dilihat tengan mata kasar) ke dalam jauf (rongga) melalui salah satu daripada saluran-saluran yang terbuka seperti:
- Mulut
- Hidung
- Telinga
- Kemaluan
- Dubur[2]
Justeru, secara umumnya, batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan atas pilihan diri sendiri, dalam keadaan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa.
Hukum Tertelan Air Liur Yang Bercampur Dengan Rasa Lain
Melihat kepada persoalan di atas, air liur yang ditelan tidak dapat dikenal pasti sama ada ia bercampur dengan darah daripada gusi, kotoran karang gigi atau bercampur dengan apa yang terhasil dari gigi yang rosak dan berlubang. Penyakit-penyakit tersebut boleh mengakibatkan jangkitan berlaku pada gusi atau gigi, seperti Abses Gigi,[3] Gingivitis atau Periodintitis.[4]
Jangkitan-jangkitan tersebut pula boleh menyebabkan mulut berasa pahit, berlaku pendarahan dan terdapat gelembung nanah yang tumbuh pada gusi.
Percampuan air liur dengan suatu rasa lain boleh berlaku disebabkan oleh perkara-perkara yang disebutkan di atas, dan juga boleh berlaku kerana penjagaan kebersihan mulut yang kurang baik selepas makan atau minum minuman manis.
Ulama’ telah membahaskan isu menelan air liur ketika berpuasa, Al-Khatib Al-Shirbini menyatakan kesepakatan ulama’ bahawa ia tidaklah membatalkan puasa kerana kesukaran untuk tidak tertelannya.[5]
Imam al-Nawawi menyebutkan persepakatan ulama’ di dalam masalah ini: “Menelan air liur tidak membatalkan puasa berdasarkan persepakatan (ulama’) sekiranya ia dilakukan kerana kebiasaan. Ini kerana seseorang itu sukar untuk mengelakkan dari melakukannya.”[6]
Manakala jika air liur tersebut bercampur dengan sesuatu yang lain (meskipun ia suci) sehingga berubah rasa air liurnya, maka puasanya terbatal. Jika ia bercampur sesuatu yang najis seperti darah, dan orang tersebut tidak membersihkan mulutnya sekalipun air liurnya kelihatan putih (bersih), maka lebih utamalah dihukumkan puasanya telah terbatal.[7] Hal yang demikian kerana darah secara jelas telah dikategorikan sebagai najis, ini berdasarkan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ
Maksudnya: “Aku tidak mendapati dalam perkara yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang hendak memakannya melainkan benda itu berupa bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor…”[8]
Maka, menelan darah boleh membatalkan puasa sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari seperti berikut: “Dan dikecualikan dengan benda yang suci adalah benda yang najis, seperti darah gusi. Maka darah gusi tersebut boleh membatalkan puasa dengan sebab menelannya.”[9] Maka di sini, waib untuk dia meludahkan air liur yang telah bercampur darah tersebut.
Namun, jika dia sudah berusaha untuk meludahkannya, tetapi masih ada yang tertelan di luar kemampuannya, maka hal tersebut tidaklah mengapa. Kata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “Dan dimaafkan bagi orang yang menelan darah gusinya, sekiranya tidak memungkinkan untuk menjaganya.”[10]
Syeikh Zakariyya al-Ansari menyebutkan bahawa Imam al-Azra‘ie berkata: “Tidak jauh untuk dikatakan bahwa seseorang yang sering diuji dengan gusi berdarah yang terus-menerus mengalir atau pada kebiasaannya, maka dia diberikan kemaafan pada kadar (darah gusi) yang susah untuk berjaga-jaga (dari tertelannya). Cukup baginya meludah darah tersebut, dan dimaafkan baginya bekas darah yang tersisa. Dan tidak memungkinkan untuk menyuruhnya agar membasuh darah tersebut sepanjang siang (Ramadhan), hal yang demikian kerana kenyataannya darah ini terus-menerus mengalir atau keluar (daripada celahan gusi), dan terkadang jika dibasuh maka darah semakin bertambah mengalir.”[11]
Meneliti perbahasan di atas, kami mengatakan hukum menelan air liur yang bercampur dengan suatu rasa lain adalah membatalkan puasa, tetapi jika sukar untuk dia meludahkannya dan menjaga dari tertelannya, selepas berusaha melakukannya, makan dimaafkan. Ini jelas berdasarkan dalil-dalil yang membuktikan bahawa Islam mempunyai Manhaj al-Taisir (manhaj memudahkan) seperti Firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “…dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…”
Syeikh al-Sobuni berkata, Allah tidak jadikan kamu pada agama ini sebarang bentuk kesempitan dan kesukaran. Dia juga tidak sekali-kali menyuruh kamu apa yang kamu tidak mampu (lakukan), bahkan ia (Islam) adalah agama yang penuh toleransi.[12]
Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah:
الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ
Maksudnya: “Kesusahan akan membawa kepada kemudahan.”
Maka dimaafkan kerana kesukaran yang tidak dielak oleh orang yang ditimpa jangkitan gusi dan gigi, lalu tertelan air liur yang bercampur dengan darah tanpa sengaja setelah berusaha meludahnya.
Kesimpulan
Jika seseorang telah berusaha meludah air liurnya yang bercampur dengan suatu rasa lain, maka dimaafkan dan puasanya tidak terbatal. Dengan syarat, dia perlu berusaha meludahkannya keluar dan tidak menelannya dengan sengaja.
Akan tetapi jika dia tidak berhati-hati dan berusaha untuk meludah air liur yang bercampur tersebut, maka tidak dimaafkan dan puasanya terbatal.
Jika dia tertelan air liur yang bercampur rasa lain kerana tidak mencuci mulut selepas makan dan minum minuman berperasa, puasa dikira terbatal.
Wallahua‘lam.
[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/mulut-kering/#:~:text=Air%20liur%20dihasilkan%20oleh%20tiga,Kelenjar%20Submandibel. Disemak pada 13 April 2023.
[2] Lihat Al-Fiqh Al Manhaji, 2/84; Al-Minhaj Al-Qawim, hlm. 247.
[3] Abses Gigi: Merupakan jangkitan bernanah yang sangat sakit berlaku pada akar gigi antara gusi dan gigi. Kebiasaannya ia berpunca daripada pereputan gigi yang teruk. Punca lain abses gigi ialah trauma pada gigi, seperti gigi tercabut atau terpecah, dan radang gusi atau penyakit gusi. Lihat https://hellodoktor.com/kesihatan-mulut/keadaan-gigi/abses-gigi/. Disemak pada 13 April 2023.
[4] Gingivitis dan Periodintitis adalah masalah radang gusi yang biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria. Lihat https://hellodoktor.com/kesihatan-mulut/gusi-mulut/penyakit-gusi-gingivitis/. Disemak pada 13 April 2023; http://www.myhealth.gov.my/gusi-berdarah/. Disemak pada 13 April 2023.
[5] Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/157.
[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/317.
[7] Lihat Mughni Al-Muhtaj, 2/157.
[8] Surah Al-An‘am: 145.
[9] Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 56.
[10] Lihat Fath Al-Mu’in, hlm. 56.
[11] Lihat Asna al-Matalib, 5/305.
[12] Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/275.
Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H