#1363: Batal Puasa, Perlu Teruskan Berpuasa?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada soalan, jika puasa saya telah batal, apakah hukum saya makan dan minum di siang hari? Adakah berdosa atau tidak? 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hakikat puasa ialah menahan diri dari makan minum dan segala perkara yang membatalkan puasa seperti bersetubuh dan lain-lain. Begitu juga, perlu diraikan dari perkara ynag membatalkan pahala ibadat puasa. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.”

Riwayat al-Bukhari (1770) dan (5597)

Saya suka tegaskan di sini bahawa berbuka puasa secara sengaja tanpa uzur syar’i termasuk dalam dosa besar dan menerima ancaman daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Saya kemukakan dua hadith:

  • Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

عُرَى‭ ‬الإِسلامِ‭ ‬وَقَوَاعِدُ‭ ‬الدِّين‭ ‬ثلاثَةٌ‭: ‬عَلَيهِنَّ‭ ‬أُسِّسَ‭ ‬الإسلامُ،‭ ‬مَن‭ ‬تَرَكَ‭ ‬وَاحِدَةً‭ ‬مِنْهُنَّ‭ ‬فَهُوَ‭ ‬بِهَا‭ ‬كَافِر‭ ‬ٌحَلاَلُ‭ ‬الدَّمِ‭: ‬شَهَادَةُ‭ ‬أن‭ ‬لا‭ ‬إلهَ‭ ‬إلاَّ‭ ‬الله‭ ‬والصلاةُ‭ ‬الْمَكتُوبَةُ‭ ‬وَصَومُ‭ ‬رَمَضَانَ‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Maksudnya: “Simpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripadanya, maka ia dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadhan.”

Riwayat Abu Ya’la (2349) dan al-Dailami. Imam al-Haithami menukilkan di dalam Majma’ al-Zawa’id (1/47-48): Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la secara sempurna dan al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir. Akan tetapi, ia hanya menyebutkan tiga sahaja dan tidak menyebutkan riwayat Ibn Abbas di atas. Sanad hadith ini hasan. Al-Munziri di dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1/382) berkata: Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad hasan. 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ‭ ‬أَفْطَرَ‭ ‬يَومًا‭ ‬مِنْ‭ ‬رَمَضَانَ،‭ ‬في‭ ‬غَيْرِ‭ ‬رُخْصَةٍ‭ ‬رَخِّصَهَا‭ ‬الله‭ ‬لَهُ‭ ‬لَمْ‭ ‬يَقْضٍ‭ ‬عَنْهُ‭ ‬صِيَامُ‭ ‬الدَّهْرِ‭ ‬كُلُّهُ‭ ‬وَإِنْ‭ ‬صَامَهُ‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadhan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.”

Riwayat Abu Daud (2396), Ibn Majah (1672) dan al-Tirmizi (723)

Berdasarkan dua hadith di atas, jelas menunjukkan betapa Islam memandang prihatin berhubung perlaksanaan ibadat puasa Ramadhan, bahkan ia dianggap salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Justeru, saya katakan dalam menjawab persoalan di atas, perbuatan saudara adalah berdosa dan hendaklah bertaubat. Begitu juga, hendaklah menahan baki hari yang ada sebelum waktu berbuka dari makan dan minum sebagai menghormati waktu siang hari atau waktu puasa. Saya berdoa semoga kita menjadi hamba-hamba Allah SWT yang bertaqwa dan sentiasa menjunjung titah perintah-Nya.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H