Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan maksud lafaz ‘tahajjud’? Dan bagaimana cara untuk melakukan Solat Tahajjud?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat Tahajjud memiliki kelebihan yang besar, sepertimana disebut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ؛ صَلَاةُ اللَّيْلِ
Maksudnya: “Sebaik-baik solat setelah solat fardhu ialah solat malam.”
Riwayat Muslim (1163)
Ibn Rajab berkata: “Waktu tahajud di malam hari adalah sebaik-baik waktu pelaksanaan solat sunat. Ketika itu hamba semakin dekat dengan Tuhannya. Waktu tersebut adalah saat dibukakannya pintu langit dan terkabulnya doa. Saat itu juga adalah waktu untuk mengemukakan pelbagai hajat kepada Allah SWT.” (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 77).
Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
Maksudnya: “Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya. Baransiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.”
Riwayat al-Bukhari (1145)
Syeikh Mustafa al-Bugha berkata: (termasuk) yang dikehendaki dengan “turun” ialah turunnya ketetapan—Nya, rahmat-Nya, kelembutan-Nya dan pengampunan-Nya.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”
(Surah al-Isra’: 79)
Allah SWT berfirman: (فَتَهَجَّدْ بِهِ). Ayat ini bermaksud berjagalah di waktu malam. Perkataan “الْهُجُودُ” membawa maksud tidur, manakala perkataan “التَّهَجُّدُ” adalah dalam wazan (timbangan kata) “تَفَعُّلٌ” yang membawa maksud mengusahakan perbuatan itu dan mensabitkannya sebagaimana asalnya.
Adakalanya timbangan perkataan atas wazan ini membawa erti menafikan perbuatan tersebut. Tetapi hanya segelintir perkataan sahaja yang membawa pengertian penafian ini.
Keseluruhannya ada tujuh perkataan yang wazan “تَفَعُّلٌ” baginya membawa erti menafikan perbuatan tersebut, iaitu “تَهَجَّدَ” yang membawa maksud menafikan “الْهُجُودَ” (tidur). (Lihat Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi, 5/372).
Cara Melakukan Solat Tahajjud dan Waktunya
Berhubung cara melakukan Solat Tahajjud, terdapat tiga pendapat:
- Pada mulanya tidur, kemudian solat, kemudian tidur dan kemudiannya solat.
- Bersolat setelah tidur terlebih dahulu.
- Dilakukan selepas solat Isya’.
Inilah yang disebut oleh para ulama’ tabi’in berkaitan cara tahajjud. Boleh jadi mereka melandaskan pandangan itu kepada perbuatan Nabi SAW yang tidur dan solat, kemudian tidur, dan bangun bersolat.
Lantaran itu, mereka menjadikan perbuatan Baginda SAW itu sebagai menunjukkan bagaimana menjunjung perintah dalam ayat al-Quran terbabit. Jika demikian halnya, maka tidak jauh kemungkinan benarnya pendapat tersebut.
Mengapa Qiyamullail menjadi sebab untuk mencapai maqam yang terpuji?
Dalam hal ini, ada dua pendapat dalam kalangan ulama’:
- Allah menjadikan apa sahaja yang Dia mahu sebagai sebab untuk mendapatkan kurnia-Nya sama ada diketahui hikmah di sebaliknya ataupun tidak.
- Dalam qiyamullail mempunyai unsur bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah SWT tanpa pembabitan manusia lain. Justeru, Nabi dianugerahkan dapat bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah SWT pada hari Kiamat. Maka itulah maqam yang terpuji.
Manakala sekalian manusia yang lain tidak sama darjat masing-masing. Darjat yang paling tinggi dicapai ialah oleh Nabi Muhammad SAW, kerana Baginda SAW dianugerahkan pelbagai kepujian yang tidak dianugerahkan kepada seorang pun, dan Baginda SAW dapat memberikan syafaat tertentu yang tidak dapat diberikan oleh orang lain.
Wallahu a’lam.