Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah hukum terlibat dalam pembinaan tempat bakar mayat bagi agama lain? Kami kakitangan kerajaan tersepit. Mohon penjelasan
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pembakaran, kremasi atau pengabuan adalah amalan melupuskan mayat seseorang manusia yang telah meninggal dunia dengan cara membakarnya. Apabila mayat ini dibakar, tindak balas pemeluapan dan pengoksidaan akan berlaku terhadap sebatian kimia dalam mayat tersebut lalu menghasilkan bahan keluaran tertentu seperti gas, debu dan galian surih seakan tulang kering. Ia biasanya dilakukan sebagai suatu pilihan alternatif menguruskan mayat si mati selain daripada mengebumikan mayat tersebut dalam suatu keranda, di mana ia dilakukan sebelum atau selepas majlis memperingati si mati itu berlangsung.
Amalan ini biasa dilakukan di sebuah tempat khusus dipanggil krematorium atau pancaka di mana mayat si mati akan ditaruh di sebuah peti kayu dan dibakar pada suhu 760 – 1150°C ; abu sisa pembakaran dikira beratnya sekitar 5% berat mayat. Sisa mayat yang dibakar bisa ditanam atau disimpan dalam suatu tempat penyimpanan khusus mahupun dibawa waris atau saudara-mara untuk dilepaskan di tempat yang dikehendaki si mati.[1]
Membina tempat bakar mayat agama lain
Pada asalnya kita dilarang daripada terlibat dalam apa-apa perkara yang boleh dianggap sebagai membantu orang bukan Islam dalam perkara maksiat dan kekufuran mereka. Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).
Perbuatan membakar mayat merupakan suatu tegahan yang disebutkan dalam hadith Nabi SAW. Ia termasuk dalam bentuk penyeksaan yang dikenakan ke atas mereka yang telah mati. Diriwayatkan oleh Hamzah al-Aslami R.A:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَّرَهُ عَلَى سَرِيَّةٍ قَالَ فَخَرَجْتُ فِيهَا وَقَالَ إِنْ وَجَدْتُمْ فُلَانًا فَأَحْرِقُوهُ بِالنَّارِ فَوَلَّيْتُ فَنَادَانِي فَرَجَعْتُ إِلَيْهِ فَقَالَ إِنْ وَجَدْتُمْ فُلَانًا فَاقْتُلُوهُ وَلَا تُحْرِقُوهُ فَإِنَّهُ لَا يُعَذِّبُ بِالنَّارِ إِلَّا رَبُّ النَّارِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melantiknya untuk mengetuai satu misi ketenteraan (sariyyah). Hamzah al-Aslami berkata: ‘Kemudian aku keluar di antara pasukan tersebut.’ Baginda bersabda: ‘Apabila kamu mendapatkan si fulan, maka bakarlah dia dengan api.’ Kemudian aku pergi, lalu Baginda memanggilku lalu aku kembali kepadanya. Baginda bersabda: ‘Apabila kamu mendapatkan si fulan maka bunuhlah dia, dan jangan kamu bakar! Sesungguhnya tidak ada yang boleh menyeksa dengan api kecuali Tuhan Penguasa api.’”
Riwayat Abu Daud (2673)
Begitu juga dengan kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Mas‘ud R.A:
كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي سَفَرٍ فَانْطَلَقَ لِحَاجَتِهِ فَرَأَيْنَا حُمَّرَةً مَعَهَا فَرْخَانِ فَأَخَذْنَا فَرْخَيْهَا فَجَاءَتِ الْحُمَّرَةُ فَجَعَلَتْ تَفْرُشُ فَجَاءَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: مَنْ فَجَعَ هَذِهِ بِوَلَدِهَا؟ رُدُّوا وَلَدَهَا إِلَيْهَا. وَرَأَى قَرْيَةَ نَمْلٍ قَدْ حَرَّقْنَاهَا فَقَالَ: مَنْ حَرَّقَ هَذِهِ. قُلْنَا: نَحْنُ. قَالَ: إِنَّهُ لاَ يَنْبَغِي أَنْ يُعَذِّبَ بِالنَّارِ إِلاَّ رَبُّ النَّارِ
Maksudnya: “Ketika mana kami bersama dengan Rasulullah SAW dalam permusafiran, Baginda pergi untuk menunaikan hajat. Maka (ketika itu) kami terlihat seekor hummarah (burung yang berwarna merah) yang bersama dua ekor anaknya. Maka kami pun mengambil salah seekor daripada anaknya. Maka Hummarah itu datang mengibas sayapnya (kerana marah anaknya diambil). Kemudian datanglah Nabi SAW, (melihat keadaan itu) Baginda SAW bersabda: ‘Siapakah yang mengganggu anak burung ini? Kembalikan kamu semua anaknya kepadanya.’ Kemudian Baginda terlihat sarang semut yang telah kami bakar, Baginda SAW bersabda: ‘Siapakah yang membakar ini?’ Kami menjawab: ‘Kami.’ Baginda bersabda: ‘Tidaklah dibenarkan untuk menyeksa dengan api melainkan Tuhan Penguasa Api.’”
Sunan Abu Daud (5268)
Berdasarkan hadith ini, dapat difahami bahawa jika membakar binatang pun ditegah dan dilarang, maka apatah lagi membakar mayat manusia adalah lebih-lebih lagi ditegah dan dilarang. Hal ini kerana Allah SWT telah memuliakan manusia dengan setinggi-tinggi penghormatan. Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
(Surah al-Isra’: 70)
Tambahan lagi, Nabi SAW juga ada melarang daripada mematahkan tulang-tulang mayat sebagaimana sabdanya:
كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا
Maksudnya: “Mematahkan tulang orang yang mati sama seperti mematahkannya ketika dia masih hidup.”
Riwayat Abu Daud (3207)
Hal ini kerana ia membawa kepada menyeksa mayat tersebut dan menghinanya, dan termasuklah juga bentuk penyeksaan kepada mayat itu adalah dengan membakarnya. Justeru, perbuatan membakar mayat termasuk dalam perkara maksiat dan dilarang dalam agama.
Selain itu, kami juga melihat ia mirip dengan persoalan keterlibatan orang Islam dalam pembinaan rumah ibadat orang bukan Islam. Ringkasnya, dalam hal ini para ulama berbeza pendapat mengenainya. Ada dalam kalangan mereka yang mengharuskannya kerana pekerjaan itu sendiri bukanlah maksiat seperti pendapat Ibn ‘Abidin dan Ibn Nujaim. (Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 6/391; al-Bahr ar-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 8/23). Selain itu, ada juga dalam kalangan mereka yang mengharamkannya kerana ia termasuk dalam perkara yang diharamkan Allah SWT. Jadi, seorang Muslim tidak boleh terlibat dalam pembinaan gereja, penternakan babi atau kilang arak, dan dihukum bagi Muslim yang terlibat dengan hal yang demikian. Begitu juga menyewakan dan menjual rumah atau bangunan untuk dijadikan gereja. (Lihat Mawahib al-Jalil, 5/424; al-Mudawwanah al-Kubra, 3/435).
Bahkan diriwayatkan bahawa Imam al-Syafi‘i membenci seorang Muslim yang bekerja sebagai tukang bina gereja atau pekerjaan yang berkaitan dengan rumah ibadat orang-orang kafir. (Lihat al-Umm, 4/213). Begitu juga al-Qalyubi berpendapat haram untuk terlibat dengan pembinaan gereja seperti menyumbang harta bagi tujuan tersebut, kecuali dalam hal-hal dharurah. Urusan pembinaan gereja ini disamakan dengan pengajian kitab Taurat dan Injil serta melukis gambar-gambar haiwan yang dilarang penglibatan padanya. (LIhat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 3/71).
Walau bagaimanapun, Dr. Yusuf al-Qaradhawi[2] selepas mengemukakan kedua-dua pendapat tersebut berserta penghujahan mereka, menyimpulkan bahawa membina gereja bagi orang bukan Islam dalam kalangan ahli zimmah atau untuk warganegara bukan beragama Islam yang dianggap oleh fuqaha sebagai penduduk wilayah Islam (Dar al-Islam) adalah tidak mengapa sekiranya mereka betul-betul memerlukan dan berhajat kepadanya disebabkan oleh pertambahan bilangan mereka dan kekurangan tempat untuk mereka beribadat, serta pihak pemerintah telah memberi keizinan kepada mereka untuk berbuat demikian.
Begitu juga orang bukan Islam dalam kalangan bukan warganegara yang memasuki wilayah Islam dengan aman iaitu dengan visa dan seumpamanya untuk bekerja di negara Islam dan jumlah mereka adalah ramai di samping kehadiran mereka di negara tersebut juga adalah berterusan (suatu tempoh yang lama), lalu mereka berhajat kepada gereja (atau rumah ibadat) bagi beribadat kepada tuhan mereka, maka pihak pemerintah boleh membenarkan mereka berbuat demikian sekadar batas keperluan dan melakukan perkara yang serupa sebagaimana yang telah dilakukan oleh mereka di tempat mereka dengan membenarkan pembinaan masjid bagi orang Islam untuk mendirikan solat.
Beliau juga menyatakan, beliau percaya bahawa dengan membenarkan orang Kristian membina gereja di Qatar adalah termasuk dalam bab ini, dan ia juga termasuk dalam hak pemerintah, berdasarkan fiqh al-Siyasah al-Syar‘iyyah bagi memelihara tujuan Syariah, maslahat manusia, dan keseimbangan antara maslahat satu sama lain dan juga antara mafsadah satu sama lain. Jika maslahat dan mafsadah itu saling bertentangan antara satu sama lain, maka pemerintah hendaklah merujuk kepada fatwa ulama yang mapan, supaya dia terjerumus ke dalam apa yang tidak disukai atau diredhai Allah SWT.
Justeru, apabila kita membenarkan mereka untuk membina gereja-gereja ini di wilayah Islam, maka apa yang dibolehkan kepada mereka melakukannya dan dibenarkan oleh ulama syariah, dibolehkan juga untuk turut serta dalam membina dan mendirikannya, sekalipun ramai dalam kalangan ulama yang tidak menyukai perkara itu bagi Muslim, kerana dia telah membantu sesuatu yang diyakini dalam agamanya sebagai batil dan sesat. Perbuatan membantu itu telah termasuk dalam apa yang difirmankan oleh Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Kesimpulannya
Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya membantu dalam perkara maksiat seperti membina tempat membakar mayat adalah dilarang kerana dianggap bertolong-tolongan dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Walau bagaimanapun, dalam beberapa keadaan khususnya dalam negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbagai kaum, agama, budaya dan adat resam, dengan mengambil kira fiqh al-Siyasah al-Syar‘iyyah dan keharmonian antara masyarakat, maka atas sebab tersebut, kami berpendapat membina tempat pembakaran mayat bagi mayat agama lain adalah tidak mengapa sekiranya ada keperluan kepada perkara tersebut seperti berlakunya pertambahan bilangan mereka dan kekurangan tempat untuk membakar mayat penganut mereka sehingga menyukarkan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab pembakaran mayat mereka itu.
Selain itu, pekerjaan membina tempat membakar mayat itu juga bukanlah pekerjaan kebiasaan mereka, sebaliknya ia hanyalah projek-projek tertentu yang terpaksa mereka terlibat dengannya dan tidak dapat dielakkan.
[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Pembakaran_mayat. Diakses pada 19 April 2023.
[2] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/4225. Diakses pada 19 April 2023.
Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H