#1370: Pelaburan Dengan Untung Tetap Setiap Bulan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya nak bertanya berkenaan pelaburan program ayam pakkp, di mana sekali pelaburan akan dapat keuntungan yang tetap untuk setiap bulan. Pelaburan ini juga dinyatakan sebagai pelaburan berkonsepkan sedekah. Ini kerana ramai dikalangan kawan saya yang menyertainya. Saya ingin tahu hukumnya adakah boleh atau sebaliknya? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menyebut bahawa program ini telah dilaksanakan oleh Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak (PAKKP). Program ini khusus dalam penternakan ayam.

Bagaimana Program PAKKP Ini Berjalan?

  1. Setiap Derma (RM 250.00) untuk program ini (Program Ayam Kampung PAKKP) akan mendapat seekor Ayam Kampung atau RM 13.00 setiap bulan mulai bulan berikutnya seumur hidup!
  2. RM 240.00 daripada derma tersebut akan digunakan sebagai modal (kos) untuk menternak 30 ekor Ayam Kampung dengan kos purata RM 8.00 setiap seekor yang dijangka matang dalam tempoh maksima dua (2) bulan, manakala RM 10.00 lagi adalah belanja pengurusan.
  3. Dua (2) ekor ayam matang yang siap disembelih dan dibersihkan adalah milik penderma (boleh ditukar dengan RM 13.00 setiap satu) dan yang selebihnya (28 ekor) akan dijual pada harga RM 13.00 setiap satu juga.
  4. Dengan kadar mortaliti ayam yang dijangkakan adalah 12%, jumlah sebenar pendapatan daripada aktiviti ini adalah dijangkakan sebanyak RM 317.2 pada setiap pusingan.
  5. Daripada pendapatan tersebut, RM 240.00 akan digunakan untuk pusingan berikutnya, RM 10.00/27.20 untuk pengurusan dan baki RM 50.00 adalah untuk tabung bencana dan program hemodialisis.

Dalam menjawab persoalan di atas, saya nyatakan bahawa sifat pelaburan terkait dengan kedua-dua pihak yang termasuk dalam kontrak amanah seperti syarikat adalah rakan kongsi yang perlu bantu-membantu. Kami nukilkan di sini perjalanan kontrak pelaburan Islam yang termasuk dalam kontrak amanah. 

Mereka bersepakat menggunakan modal tadi bagi menghasilkan keuntungan yang boleh dinikmati bersama, bukannya satu pihak terpaksa menjamin keuntungan atau keselamatan modal rakan kongsi yang lain. Jika itu dilakukan, ia mencarikkan asas utama kontrak amānah. Tiada alasan munasabah dan boleh diterima hukum Islam boleh menjustifikasikan tindakan terbabit, kecuali apabila terdapatnya pecah amanah dan kecuaian yang jelas. (Lihat Al-Maʾāyir al-Sharʾiyyah, AAOIFI, hlm 67)

Seterusnya apabila pemberian duit atas nama pelaburan, kemudian dijanjikan pulangan tertentu dan jaminan modal maka ia akan berubah sifatnya menjadi riba, tetapi nafsu manusia yang sukakan keuntungan pastinya akan merasa tidak selesa dengan hukum ini.

Inilah punca utama pelaburan dengan jaminan keuntungan menjadi batal, berikut Majlis Penasihat Shariah Dunia, AAOIFI berikut teks fatwanya :-

إذَا شَرَطَ أَحَدُ الطَّرَفَيْنِ لِنَفْسِهِ مبلغاً مقطوعاً، فَسَدَتِ الْمُضَارَبَةُ

Ertinya : “Apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah aqad pelaburan Mudarabah itu”. (Lihat Al-Ma’ayir As-Syaiyyah, AAOIFI, hlm 240)

Keputusan Majlis Fatwa kebangsaan telah mengharamkan Pelaburan Melalui Internet adaah kerana beberapa ciri tertentu, yang paling utama adalah kerana jaminan dan promosi keuntungan tetap dan jaminan modal dalam sebuah pelaburan. Sebenarnya ciri ini juga telah diputuskan haram secara sepakat Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia pada tahun 1992 yang mewartakan :

إِنَّهُ لَا يَجُوزُ فِي الْمُضَارَبَةُ أَنْ يُحَدِّدَ الْمُضَارِبُ لِرَبِّ المَال مقداراً مُعَيِّنًا مِنَ الْمَالِ، لِأَنَّهُ يَتَنَافى مَعَ حَقِيقَة الْمُضَارَبَة وَلِأَنَّهُ يَجْعَلُهَا قَرْضًا بِفَائِدَة

Maksudnya: “Sebarang pelaburan yang mana pihak pengusaha (mudarib atau syarikat) menjamin satu kadar pulangan tertentu kepada pelabur (peserta), maka ia adalah haram oleh kerana ia telah menukar sifat pelaburan secara Islam kepada elemen pinjaman dengan janji faedah Riba” ( Majma Fiqh Al-Islami, Qarar wa Tawsiat)

Malah Ijma‘ (persepakatan ulama’) dalam hal ini juga telah ada, ia dicatat di dalam Keputusan Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia apabila disebutkan:

وَقَدْ أَجْمَعَ الأَئِمَّةُ الأَعْلَامُ: عَلَى أَنَّ مِنْ شُرُوطِ صِحَّةِ الْمُضَارَبَةِ، أَنْ يَكُونَ الرِّبْحُ مُشَاعاً بَيْنَ رَبِّ الْمَالِ وَالْمُضَارِبِ، دُوْنَ تَحْدِيدِ قَدرِ مُعَيَّنٍ لِأَحَدٍ مِنْهُمَا

Ertinya : “Telah ijma seluruh imam-imam (mujtahid) di mana termasuk dalam syarat sah sesebuah pelaburan “mudarabah” itu adalah mestilah pembahagian keuntungan dibuat secara nisbah untuk si pelabur dan pengusaha tanpa menentukan jumlah tertentu bagi sesiapa antara mereka.”

Sahabat saya al-Fadhil Dr Zaharudin Abdul Rahman telah menjawab secara panjang lebar dalam isu yang hampir sama berkaitan dengan pelaburan yang menjamin keuntungan tetap. Saya syorkan agar sama-sama berusaha dan sama-sama menanggung mengikut kesepakatan sama ada untung atau pun rugi. Semoga usaha yang dinyatakan mendapat keberkatan Ilahi.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H