#1373: Keraguan Bilangan Rakaat dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, satu hari, saya lakukan solat Subuh. Ketika sujud di rakaat pertama, saya ragu adakah saya masih di rakaat pertama, atau kedua. Lalu saya menganggapnya rakaat kedua, dan saya tutup dengan memberi salam. Namun, setelah terbit matahari, saya teringat dan yakin bahawa ketika itu saya masih pada rakaat pertama. Soalannya, apakah solat saya sah atau saya wajib ulang semula solat tersebut?

Jawapan

Waalaikumsalam w.b.t

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, sekiranya seseorang ragu dalam solatnya tentang jumlah rakaat yang sudah dia lakukan, maka hendaklah dia mengambil bilangan yang paling sedikit, lalu dia menyempurnakan solatnya dan melakukan sujud sahwi sebagai ganti daripada keraguan tersebut.

Hal ini sepertimana dalam hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثاً أَمْ أَرْبَعاً؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ، ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَانَ صَلَّى خَمْساً، شَفَعْنَ لَهُ صَلاَتَهُ وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا لِأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيمًا لِلشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Jika salah seorang antara kamu ragu-ragu dalam sembahyangnya, lalu dia tidak pasti sudah berapa rakaat dia bersembahyang, sama ada tiga rakaat ataupun yang keempat, maka hendaklah dia meninggalkan keraguan tersebut, dan tetapkanlah bilangan rakaat yang diyakini (mengambil bilangan rakaat yang paling sedikit). Kemudian hendaklah dia melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) sebelum dia memberi salam. Jika dia telah mengerjakan sebanyak lima rakaat, maka disempurnakan sembahyangnya itu dengan sujud tersebut (dikira sempurna empat rakaat) dan jika hakikatnya dia telah bersembahyang empat rakaat maka kedua sujudnya itu sebagai penghinaan terhadap syaitan.”

Riwayat Muslim (571)

Begitu juga, sepertimana hadith daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A, bahawa sabda Rasulullah SAW:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي الثِّنْتَيْنِ وَالْوَاحِدَةِ فَلْيَجْعَلْهَا وَاحِدَةً وَإِذَا شَكَّ فِي الثِّنْتَيْنِ وَالثَّلاَثِ فَلْيَجْعَلْهَا ثِنْتَيْنِ وَإِذَا شَكَّ فِي الثَّلاَثِ وَالأَرْبَعِ فَلْيَجْعَلْهَا ثَلاَثًا ثُمَّ لْيُتِمَّ مَا بَقِيَ مِنْ صَلاَتِهِ حَتَّى يَكُونَ الْوَهْمُ فِي الزِّيَادَةِ ثُمَّ يَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ

Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu berasa ragu-ragu terhadap bilangan rakaat sama ada (dia telah melakukan antara) dua rakaat dan satu rakaat, maka jadikanlah ia sebagai satu rakaat. Apabila berasa syak sama ada dua rakaat atau tiga rakaat, maka jadikanlah ia sebagai dua rakaat. Dan apabila seseorang itu syak sama ada tiga rakaat atau empat rakaat maka jadikanlah ia sebagai tiga rakaat. Kemudian dia menyempurnakan baki-baki dari perbuatan solatnya, sehinggalah yang diragukan adalah pada (rakaat yang lebih), kemudian dia bersujud sebanyak dua kali dalam keadaan dia duduk sebelum dia memberi salam.”

Riwayat al-Tirmizi (1209)

Berdasarkan hadith di atas jelas menunjukkan apabila kedatangan syak yang terkait bilangan rakaat, hendaklah mengambil bilangan paling sedikit sebagai menghilangkan syak. Di samping melakukan sujud dua kali yang dikenali sebagai sujud sahwi.

Justeru, apa yang saudara lakukan iaitu dengan menjadikan jumlah rakaat solat menjadi rakaat yang terbanyak adalah tidak benar, apatah lagi setelah terbukti kekeliruan itu kemudiannya. Oleh itu, saudara perlu mengqadha’ semula solat tersebut. 

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H