#1376: Perkataan Mendiang Terhadap Orang Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh ke kita mengatakan atau memanggil jenazah orang Islam dengan mengatakan mendiang? Contoh ayat: “Saya bermimpi melihat mendiang opah saya,”

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrif mendiang: Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan mendiang bermaksud yang telah meninggal (digunakan untuk orang bukan Islam).

Dalam Islam, sama ada hidup atau mati hendaklah dimuliakan kerana mereka mempunyai karamah (kemuliaan). Hal ini jelas berdasarkan banyak nas agar kita menghormati si mati. Antaranya hadith Ummu Salamah, katanya:

دَخَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَلَمَةَ وَقَدْ شَقَّ بَصَرُهُ، فَأَغْمَضَهُ، ثُمَّ قَالَ: ‌إِنَّ ‌الرُّوحَ ‌إِذَا ‌قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ، فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أَهْلِهِ، فَقَالَ: لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ، ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِأَبِي سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ، وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِينَ، وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ، وَنَوِّرْ لَهُ فِيهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menziarahi jenazah Abi Salamah yang baru meninggal dunia dan ketika itu matanya terbuka. Lantas, Rasulullah SAW menutupnya seraya bersabda: Sesungguhnya roh apabila diambil maka pandangan akan mengikutinya. Hal ini menyebabkan orang ramai di kalangan keluarganya riuh-rendah. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali kamu doa terhadap diri kamu kecuali yang  baik. Maka, sesungguhnya para malaikat akan mengaminkan apa yang kamu katakan kemudian, Rasulullah SAW berdoa: Ya Allah, ampunkanlah bagi Abi Salamah dan angkatlah darjatnya bersama orang yang diberi petunjuk dan gantilahnya pada keturunannya serta ampunkanlah bagi kami dan baginya wahai Rabb yang memiliki sekalian alam. Lapangkanlah baginya kuburnya dan cahayakanlah baginya pada kuburnya.”

Riwayat Muslim (920) Abu Daud (3118), Ibn Majah (1197), dan Ibn Hibban (7041)

Berdasarkan nas di atas, Rasulullah SAW mengajar agar doa yang baik kepada si mati seperti memohon keampunan, diangkat darjatnya, digantikannya dengan yang lebih baik. Justeru, mafhum daripada ajaran Nabi SAW supaya kita menyebutnya dengan yang baik, sekali pun seseorang itu sudah meninggal dunia.

Oleh kerana panggilan mendiang berdasarkan takrif di atas sinonim dengan penggunaan kepada orang yang bukan Islam, maka tidak wajar sama sekali orang Islam menyifatkan saudaranya orang Islam yang lain dengan panggilan mendiang. Ini kerana dari segi bahasa serta uruf dan adat setempat ia memberi makna bahawa orang itu bukan dari kalangan orang Islam. 

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar saudara-saudara kita yang telah mendahului kita mendapat rahmat dan pengampunan-Nya.

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H