Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, moga diberikan kesihatan yang baik. Saya ingin bertanya berkenaan hukum menggunakan duit PIBG sekolah. Setiap tahun sekolah saya akan kutip duit PIBG RM30 satu keluarga. Kemudian, duit tersebut akan digunakan untuk program-program pelajar.
Permasalahan di sini, boleh ke duit tersebut digunakan contohnya diberikan kepada guru-guru duit raya, makanan, baju batik, jamuan akhir tahun guru? Dan menjadi kerisauan saya bila dalam mesyuarat PIBG duit yang digunakan untuk perkara-perkara di atas tidak diberitahu secara terperinci. Guru besar saya akan keluarkan duit tersebut untuk kegunaan guru-guru atas nama program-program sekolah. Boleh Dato’ Seri jelaskan dari segi hukum?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, amat perlu untuk memahami tatakelola akaun amanah dari sudut matlamat dan objektif penubuhannya serta kebenaran yang tertentu terkait dengan penggunaan akaun tersebut. Saya terangkan terlebih dahulu:
Peranan PIBG di sekolah
- Menjadi perhubungan antara guru dan ibu bapa
- Menambah sumber kewangan sekolah
- Membantu menjayakan aktiviti dan program pendidikan
- Sebagai pemantau dan penilai kepada prestasi sekolah
Tujuan PIBG di tubuhkan
- Untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam sekolah dalam meningkatkan imej sekolah;
- Untuk membantu dan menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;
- Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
- Untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan
- Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah untuk berusaha menambah kewangan sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan Pembelajaran
Takrif atau Pengenalan kepada Akaun Amanah
Akaun Amanah ialah akaun yang ditubuhkan untuk mengakaunkan wang yang diamanahkan kepada satu-satu persatuan atau organisasi untuk digunakan bagi tujuan tertentu.
Harta Amanah Persatuan
Persatuan tidak boleh memegang apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, atas namanya sendiri. Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini berkuat kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah dialihkan kepada Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah, sebagai harta yang diamanahkan oleh Persatuan untuk digunakan bagi faedah murid-murid Sekolah itu sahaja atau sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari masa ke semasa.
Apa-apa harta yang diamanahkan kepada Sekolah tidak boleh dipindah milik atau dilupuskan dengan apa cara sekali pun, melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Dalam menjawab persoalan di atas, perlunya persetujuan anggota persatuan yang diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan untuk menentukan sebarang bentuk terma atau syarat penggunaan dengan lebih baik dan sesuai mengikut perubahan masa dan zaman serta realiti sekarang. Jika sudah dipersetujui maka, bolehlah digunakan secara berhemah. Saya cadangkan agar wang tersebut lebih baik digunakan program yang melibatkan pelajar dan guru. Saya amat bimbang jika ia digunakan dengan bermudah-mudahan akan membawa kepada pecah amanah dan penyalahgunaan duit tabung PIBG mengikut terma yang telah ditetapkan.
Semoga Allah SWT sentiasa memberi kefahaman kepada kita dalam kehidupan ini terutamanya yang terkait dengan agama kita agar sentiasa memperolehi mardhatillah Amin.
Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H