#1386: Bolehkah Orang Lumpuh Bertayammum Untuk Solat

Soalan:

Assalamu’alaikum w.b.t, saya mempunyai pertanyaan. Bagaimana seorang yang lumpuh hendak menyucikan diri supaya dapat menunaikan solat? Adakah dibolehkan bertayamum? Kadang-kadang orang lumpuh tersebut tidak mahu menyusahkan orang lain untuk dibantu berwuduk 5 kali sehari.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Lumpuh seperti yang disebutkan di dalam Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat merupakan penyakit yang disebabkan tidak kuat atau tidak bertenaga pada bahagian kaki atau bahagian-bahagian lain tubuh.

Allah SWT memberikan keringanan kepada mereka yang sakit, disamping memberikan pahala atas sakit yang dia alami.

Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran yang menegaskan bahwa Allah banyak memberikan keringanan bagi para hamba-Nya. Antaranya firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kemudahan bagi kalian dan Allah tidak menghendaki kesulitan bagi kalian.”[1]

Firman-Nya lagi:

لَا يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَ

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”[2]

Di dalam ayat lain, Allah SWT juga berfirman:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Allah tidak pernah menjadikan adanya kesulitan dalam agama.”[3]

Dalil-dalil lainnya masih sangat banyak, yang mana jika kita perhatikan bahawa islam bukanlah agama yang memaksa penganutnya dalam keadaan mereka tidak mampu, bahkan memberikan kemudahan bagi mereka dalam segenap aspek.

Berdasarkan semua dalil-dalil di atas, para ulama mengeluarkan kaedah:

الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْرَ

Maksudnya: “Kesusahan akan membawa kepada kemudahan.”

 

Cara Orang Yang Lumpuh Bersuci

Terdapat beberapa keadaan bagi mereka yang menghidapi penyakit ini. Pada situasi di mana mereka tidak mampu untuk mengambil air sendiri, perlu diperhatikan:

  • Jika dia mempunyai penjaga yang menjaga kebajikannya, wajib baginya untuk membantu pesakit tersebut berwudhu’ bagi membolehkannya menunaikan solat 5 waktu. Hal ini kerana pesakit itu tiada halangan untuk mendapatkan air untuk berwudhu’.
  • Jika dia tiada siapa yang dapat menjaga kebajikannya, mungkin kerana kesibukan kerja dan sebagainya, maka dibolehkan bagi pesakit tersebut untuk bertayammum, dan dia mengambil hukum mereka yang tidak menjumpai air.

Hal yang demikian kerana mereka yang tidak mampu untuk mendapatkan air tersebut tidak boleh disamakan hukumnya dengan mereka yang mampu mendapatkan air. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”[4]

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Dan jika kami memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia sekadar kemampuan kamu.”

Riwayat Bukhari (7288) dan Muslim (1337)

Terdapat juga dalil yang secara jelas memberi keringanan untuk mereka yang sakit menggunakan debu tanah untuk bertayammum kerana tidak mampu menggunakan air. Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيداً طَيِّباً فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu.”[5]

 

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa dibolehkan bagi orang yang lumpuh untuk bertayammum bagi tujuan bersuci dan menunaikan solat 5 waktu. Ini kerana kesukaran yang dihadapi untuk dia mendapatkan air oleh kerana tiada orang lain yang boleh membantunya.

Jika ada yang boleh membantunya, wajib baginya meminta tolong untuk diberikan padanya air dan berwudhu’. Kami cadangkan agar orang yang lumpuh mempelajari hukum fiqh pesakit yang telah dikemukakan oleh ramai ulama. 

Keduanya, kami cadangkan agar gunakan spray air yang sentiasa berada berdekatan dengan pihak pesakit untuk memudahkannya spray ketika mengambil wudhu’. Ini lebih mudah. 

Ketiganya, pesakit lumpuh boleh melihat dalam YouTube sebagai contoh banyak video atau kisah orang yang lumpuh tetapi dengan semangat yang tinggi dan utuh mampu beliau berwudhu’ dengan sendirinya, bahkan menuju ke masjid. Kami pernah melihat seorang yang lumpuh dengan kedua tangannya tiada tetapi masih lagi menuju ke masjid dan mencapai mushaf dengan membeleknya dengan kedua kakinya. Amat terharu dan menitis air mata.

Keempat, sudah sampai masanya pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat yang terkait kepada mereka yang lumpuh untuk dilihat dari sudut ibadat mereka dengan membantu sebaik mungkin. 

Kelima, kami nasihatkan agar mana-mana keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang lumpuh untuk sama-sama membantu dalam merealisasikan ibadat saudaranya yang lumpuh sebagai satu tanggungjawab bersama.

Kami juga mendoakan agar Allah SWT memberikan ketabahan dan kesabaran bagi mereka yang diuji dengan penyakit lumpuh. Juga melimpahkan kesabaran terhadap keluarga mereka untuk merawat dan menjaganya. Semoga Allah membalas usaha mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Amalan orang sakit sekalipun tidak dapat ditunaikan dengan sempurna seperti orang yang sihat, Allah SWT tidak akan mensia-siakannya. Bahkan Allah akan menggantikannya dengan pahala dan penyakit itu menjadi penghapus dosa.

Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّء حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا، إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus dosa-dosanya.”

Riwayat Bukhari (5641), Muslim (2573), Tirmizi (966), dan Ahmad (7684) 

Ingatlah bahawa ujian yang Allah SWT timpakan pada hambanya adalah kerana Allah mencintai mereka, dan mereka akan memperoleh darjat yang tinggi atas redha dan kesabaran mereka menghadapi ujian dan ketentuan-Nya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ، فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا، وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT jika Dia mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka. Siapa yang redha dengan ujian itu maka dia akan mendapatkan redha Allah. Sebaliknya, siapa yang marah dengan musibah itu maka dia akan mendapatkan murka Allah.”

Riwayat Ahmad (23623), Tirmizi (2396) dan disahihkan al-Albani

 

Wallahualam.

[1] Surah al-Baqarah: 185.

[2] Surah al-Baqarah: 284.

[3] Surah al-Hajj: 78.

[4] Surah al-Taghabun: 16.

[5] Surah al-Maidah: 6.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H