#1394: Memburu Haiwan dengan Senjata Tajam yang Beracun

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah halal haiwan yang diburu dengan menggunakan senjata tajam yang beracun? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, memburu dengan menggunakan alat-alat atau senjata yang tajam bagi menghalalkan haiwan yang diburu mempunyai dua syarat:

Pertama, pemburu mestilah menyebut nama Allah SWT pada alat tersebut ketika menggunakannya atau memukul dengannya bertepatan dengan ajaran Nabi SAW berdasarkan hadith-hadith. Di antaranya riwayat daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani, katanya: Aku bertanya:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا. وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ. وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المــُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah.’

Riwayat al-Bukhari (5478)

Hadith di atas dapat difahami bahawa haiwan buruan yang terkena anak panah yang dilempar dengan bantuan busur dan disebutkan nama Allah ketika hendak melempar anak panah tersebut adalah halal untuk dimakan. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/ 2645).

Ini juga jelas dapat dilihat melalui hadith ‘Adi bin Hatim R.A yang bertanya kepada Nabi SAW:

أُرْسِلُ كَلْبِي فَأَجِدُ مَعَهُ كَلْبًا آخَرَ؟ قَالَ: لاَ تَأْكُلْ، فَإِنَّكَ إِنَّمَا سَمَّيْتَ عَلَى كَلْبِكَ وَلَمْ تُسَمِّ عَلَى آخَرَ

Maksudnya:Aku telah melepaskan anjingku dan (kemudiannya) aku mendapati ada anjing lain bersamanya? Baginda bersabda: ‘Janganlah kamu makan kerana sesungguhnya engkau telah menyebut (nama Allah) untuk anjingmu sahaja dan engkau tidak menyebut (nama Allah) untuk anjing yang lain.’

Riwayat al-Bukhari (5476)

Oleh itu, termasuklah juga alat-alat pemburuan yang lain seperti lembing dan seumpamanya, wajib disebut nama Allah SWT sebelum melemparkannya atau melepaskannya.

Kedua, senjata itu mestilah tertusuk ke dalam badan binatang buruan tersebut lalu mati dengan sebab ketajaman dan tikaman alat tersebut bukan kerana beratnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat ‘Adi bin Hatim R.A, katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang (hukum memburu dengan menggunakan) al-Mi‘radh. Lalu Baginda bersabda:

إِذَا أَصَبْتَ بِحَدِّهِ فَكُلْ، فَإِذَا أَصَابَ بِعَرْضِهِ فَقَتَلَ فَإِنَّهُ وَقِيذٌ فَلاَ تَأْكُلْ

Maksudnya: “Sekiranya kamu memperolehi (binatang buruan tersebut) dengan bahagiannya yang tajam (yakni yang terkena pada haiwan itu), maka makanlah ia. Tetapi sekiranya ia mengenai haiwan buruan itu dengan sisinya (yang tumpul) lalu membunuhnya, maka sesungguhnya ia ialah waqiz.[1] Oleh itu, janganlah kamu makan.”

Riwayat al-Bukhari (5476)

Al-Qastalani menyebutkan, hadith ini menjelaskan mengenai hukum berburu dengan alat yang dipanggil mi‘radh iaitu kayu yang bahagian atasnya seperti sampak[2] yang mana para penunggang kuda akan melemparnya ke arah binatang buruan. Boleh jadi besi itu akan mengenai haiwan tersebut lalu membunuhnya dan menumpahkan darahnya. Oleh itu, harus untuk memakan haiwan itu sebagaimana (ia terkena) pedang dan tombak. Namun, boleh jadi juga kayu yang akan mengenainya, lalu menghempapnya (dan ia mati disebabkan oleh perkara tersebut).

Maka Rasulullah SAW bersabda, jika kamu memperolehi binatang buruan itu dengan bahagian mi‘radh yang tajam, maka makanlah ia kerana sesungguhnya ia adalah sembelihannya. Namun, jika mi‘radh itu mengenai binatang pada bahagian sisinya iaitu selain bahagian bucunya yang tajam, lalu ia terbunuh (dengan sebab tersebut), maka ia adalah waqiz kerana ia semakna dengan kayu yang berat atau batu. Oleh sebab itu, binatang tersebut tidak boleh dimakan kerana ia sudah dikira sebagai bangkai. (Lihat Irsyad al-Sari, 8/257).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, para fuqaha berpendapat bahawa tidak boleh memburu haiwan dengan menggunakan anak panah yang beracun, apabila diyakini atau menurut sangkaannya, racun tersebut akan membantu dalam mematikan haiwan yang diburu atau adanya kebarangkalian dalam hal tersebut. Hal ini kerana terhimpun padanya cara mematikannya yang diharuskan dengan yang diharamkan, maka yang diharamkan itu akan mengatasinya (yakni didahulukan) sebagaimana halnya jika terhimpun anak panah majusi dan anak panah Muslim pada haiwan yang sama. Akan tetapi jika tidak ada kebarangkalian dalam perkara tersebut, maka ia tidak diharamkan.

Ulama mazhab Maliki memperincikan lagi permasalahan ini dengan menyebutkan, mana-mana haiwan buruan yang mati disebabkan oleh anak panah beracun dan ia tidak menembusi haiwan tersebut serta tidak sempat untuk menyembelihnya, maka dilemparkan haiwan tersebut (yakni tidak dimakan kerana sudah menjadi bangkai). Jika ia menembusi haiwan buruan tersebut sebelum racun merebak di dalamnya, maka tidak haram untuk memakannya, melainkan ia dihukumkan sebagai makruh kerana dibimbangi bahaya daripada racun tersebut — kepada pemakannya. Inilah yang disebutkan oleh al-Mawwaq yang menukilkannya daripada al-Baji. Sekiranya anak panah itu sudah menembusi, sebenarnya ‘illah yang menyatakan kebimbangan racun itu akan membantu dalam proses mematikan haiwan sudah hilang dan yang tinggal hanyalah ‘illah yang menyatakan kebimbangan untuk memakannya. Maka, jika racun yang digunakan selamat untuk dimakan, maka terangkatlah kedua-dua ‘illah tersebut, dan diharuskan untuk memakannya menurut pendapat Ibn al-Qasim.

Sekiranya seseorang melepaskan anak panah beracun, dan ia tidak menembusi haiwan buruan tetapi sempat untuk menyembelihnya, maka Ibn Rusyd menyebutkan apa yang didengari daripada Ibn al-Qasim bahawa ia tidak boleh dimakan. Begitu juga seumpamanya turut dinukilkan oleh Ibn Habib. Manakala Sahnun pula berpendapat, ia boleh dimakan, dan Ibn Rusyd juga mengingati dan menghafal pendapat ini. Hal ini kerana ia telah disembelih dan hayatnya itu telah disepakati oleh para ulama sebelum tembusnya anak panah pada haiwan tersebut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/136-137).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

  • Sekiranya diyakini atau menurut sangkaannya, racun tersebut akan membantu dalam mematikan haiwan yang diburu atau adanya kebarangkalian dalam hal tersebut maka haiwan itu haram untuk dimakan kerana terhimpun padanya cara mematikan haiwan yang diharuskan dan yang diharamkan. Jadi, kita tidak mengetahui yang mana satu sebenarnya telah mematikannya. Oleh sebab itu, didahulukan yang haram. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400).

  • Akan tetapi jika tidak ada kebarangkalian dalam perkara tersebut, dan diyakini bahawa yang membunuh haiwan buruan itu adalah ketajaman yang menembusinya, dan bukannya racun yang ada bersama senjata tersebut, maka ia tidak diharamkan. Begitu juga jika haiwan yang terkena senjata yang beracun itu masih lagi mempunyai mempunyai nyawa (hayah mustaqirrah),[3] lalu pemburu segera menyembelihnya seperti biasa iaitu pada bahagian leher, maka haiwan itu juga adalah halal untuk dimakan kerana sembelihan tersebut yang telah mematikannya.
  • Kesemua ini bagaimanapun dengan syarat racun yang digunakan bukanlah membantu dalam mematikan haiwan itu tetapi mungkin sekadar melemahkan atau melumpuhkannya dan ia tidak memberi mudarat kepada pemakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Waqiz ialah haiwan yang dihukum sebagai bangkai kerana telah dibunuh bukan dengan menggunakan senjata yang tajam, tetapi yang dipukul sehingga mati.

[2] Sampak ialah simpai daripada logam (besi, emas, dll) yang dipasang pada hulu pisau dan lain-lain supaya jangan pecah. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sampak. Diakses pada 11 April 2023).

[3] Tanda sembelihan bagi binatang hayah mustaqirrah, apabila binatang itu disembelih, darahnya memancut dan ia mengelupur apabila dilepaskan.

Bertarikh: 27 April 2023 bersamaan 6 Syawal 1444H