#1395: Guna Ubat Gigi Ketika Bersiwak Ketika Berpuasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Bolehkah saya menggunakan ubat gigi seperti colgate ketika bersiwak (memberus gigi) ketika berpuasa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umumnya bersiwak termasuk dalam perbuatan yang digalakkan. Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa bersiwak tidak terikat pada waktu tertentu mahupun keadaan bahkan pada bila-bila masa. Sementara waktu bersiwak yang sangat digalakan oleh Muslim adalah ketika ingin mendirikan solat, ketika sedang berwuduk, ketika ingin membaca al-Quran, ketika gigi berubah kekuningan mahupun ketika berubah berbau busuk kerana makan sesuatu atau mulut berbau kerana meninggalkan makanan mahupun terlalu lama berdiam diri dan ketika bangun tidur. (Lihat alMu‘tamad fi Fiqh al-Syafi‘i, 1/60). 

Namun, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum bersiwak atau gosok gigi selepas gelincir matahari ketika berpuasa. Sebahagian mereka menghukumkannya sebagai makruh manakala sebahagian yang lain mengharuskannya.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, bersiwak pada siang Ramadhan (ketika berpuasa) adalah diharuskan tanpa sebarang perselisihan ulama. Akan tetapi mereka berselisih pendapat berkenaan kemakruhannya selepas gelincir matahari kepada dua pendapat yang masyhur. Kedua-duanya merupakan riwayat daripada Imam Ahmad. Namun, tidak terdapat dalil syar‘i yang boleh dijadikan sebagai hujah bagi menyokong pendapat yang memakruhkannya, yang mengkhususkan keumuman nas bersiwak. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 2/474).

Selain itu, Ibn Qasim al-Ghazzi menyatakan, bersiwak digalakkan pada setiap waktu dan keadaan dan hukum bersiwak tidak makruh tanzih melainkan setelah masuk waktu Zuhur bagi orang yang berpuasa sama ada puasa wajib ataupun sunat. Hilang kemakruhan itu apabila telah terbenamnya matahari. Manakala Imam al-Nawawi pula memilih pandangan tidak makruh bersiwak secara mutlak. (Lihat Fath al-Qarib, hlm. 74). 

Imam al-Nawawi menjelaskan, nukilan yang disandarkan kepada Imam al-Syafi‘i ini adalah gharib, walaupun pendapat ini kuat dari sudut dalil. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/341). Syeikh Ibrahim al-Bajuri menyebutkan, Imam al-Nawawi memilih pandangan tidak makruh kerana menilainya dari sudut dalil. (Lihat Hasyiah al-Bajuri, 1/136). Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Amir bin Rabiah, katanya:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا لَا أُحْصِي يَتَسَوَّكُ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya: “Aku pernah melihat Rasulullah SAW bersiwak sedangkan Baginda dalam keadaan puasa sehingga aku tidak dapat menghitung jumlahnya.

Riwayat al-Tirmizi (725) dan beliau menilainya sebagai hasan. 

Perbahasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #908 Bersiwak Selepas Zohor Ketika Berpuasa. 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya penggunaan ubat gigi ketika bersiwak atau memberus gigi ketika sedang berpuasa tidak membatalkan puasa selagi mana tiada sesuatupun daripadanya yang masuk ke dalam jaufnya. Tambahan lagi, ini juga merupakan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Dalam satu ucapan beliau, pada sesi akhir, beliau ada menjawab beberapa soalan yang diajukan kepadanya. Beliau menyebutkan, menggunakan berus gigi dan ubat gigi tidak membatalkan puasa. Namun, jika dia merasakan sesuatu daripadanya memasuki mulutnya, maka hendaklah dia meludahkannya sebagaimana penyembur asma (inhaler) juga tidak membatalkan puasa kerana orang yang menggunakannya tidak merasa bahawa dia sedang meminum air.

Selain itu, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz juga ada menyebutkan, membersihkan gigi dengan ubat gigi tidak membatalkan puasa sebagaimana bersiwak. Namun, orang tersebut mesti berhati-hati agar tidak ada sesuatu daripadanya yang tertelan ke dalam jaufnya. Akan tetapi jika ada juga sedikit daripadanya yang tertelan (setelah dia berjaga-jaga semampu mungkin) tanpa sengaja, maka ia tidak membatalkan puasa. Demikianlah juga halnya bagi ubat titis mata dan ubat titis telinga, kedua-duanya tidak membatalkan puasa mengikut pendapat yang paling sahih. Jika kesan titisan tersebut terasa di dalam kerongkongnya, maka mengqadha’kan puasanya adalah lebih utama (sebagai langkah berhati-hati) tetapi tidak wajib kerana kedua-duanya (mata dan telinga itu) bukan saluran makanan dan minuman. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 15/260-261).

Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ada mengeluarkan fatwa bahawa diharuskan untuk menggunakan air dan ubat gigi bagi membersihkan gigi pada siang Ramadhan selagi mana tidak ada sesuatu pun daripada perkara tersebut yang masuk ke dalam jauf. Hal ini kerana batalnya puasa seseorang adalah disebabkan masuknya sesuatu ke dalam jauf melalui rongga yang terbuka. Sekalipun begitu, adalah lebih baik orang yang bertanya itu melakukannya pada selain waktu berpuasa (iaitu sebelum terbit fajar atau selepas berbuka) bagi mengelakkan waswas dan bisikan syaitan.

Begitu juga Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah juga ada mengeluarkan fatwa bahawa sekiranya seseorang yang sedang berpuasa membersihkan giginya dengan menggunakan ubat gigi dan tidak ada satupun daripadanya yang masuk ke dalam jauf, maka puasanya tidak terbatal. Akan tetapi dari sudut praktikalnya, adakah dia benar-benar menjamin bahawa tidak ada sesuatu pun daripada ubat gigi itu yang masuk ke dalam kerongkong? Sebagaimana yang sudah diketahui, seseorang yang menggunakan ubat gigi akan mendapati terdapat rasanya di dalam kerongkongnya, jadi mengapa seorang Muslim harus mempertaruhkan puasanya? Sedangkan dia boleh membersihkan giginya (dengan menggunakan ubat gigi) selepas bersahur dan sebelum terbitnya fajar. Dengan cara tersebut, dia tidak mendedahkan puasanya kepada kerosakan (terbatal).   

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan ubat gigi ketika bersiwak atau memberus gigi ketika sedang berpuasa tidak membatalkan puasa. Lebih-lebih lagi, bersiwak atau perbuatan membersihkan gigi ini termasuk dalam perkara sunnah, tidak kira bagi orang yang sedang berpuasa atau tidak.

Akan tetapi orang yang berpuasa itu hendaklah berhati-hati agar tidak ada sesuatu pun daripadanya yang tertelan ke dalam jaufnya. Hal ini kerana batalnya puasa seseorang itu adalah disebabkan masuknya sesuatu ke dalam jaufnya. Justeru apabila seseorang itu merasakan sesuatu daripadanya mula memasuki kerongkongnya, maka dia hendaklah segera meludahnya keluar dan tidak sengaja menelannya. Namun, jika ada juga sedikit daripadanya yang tertelan (setelah dia berjaga-jaga semampu mungkin) tanpa sengaja, maka ia tidak membatalkan puasanya.

Sekalipun begitu kami mengesyorkan, jika seseorang itu dapat menggosok giginya dengan menggunakan ubat gigi luar waktu berpuasa seperti selepas bersahur (sebelum terbit fajar) dan selepas berbuka, manakala ketika sedang berpuasa pula hanya menggunakan berus gigi dan air sahaja, maka ia adalah lebih baik kerana jauh daripada perasaan waswas dan keluar daripada khilaf — iaitu dikhuatiri rasa ubat gigi masuk ke dalam kerongkong.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 27 April 2023 bersamaan 6 Syawal 1444H