Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Apakah hukum wanita haid ziarah kubur? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, menziarahi kubur hukumnya adalah sunat kerana ia membawa kepada keinsafan dan mengingatkan hari akhirat. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ
Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”
Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981).[1]
Dr Wahbah al-Zuhaili turut menjelaskan bahawa menurut jumhur fuqaha’, ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada ratapan dan tangisan. Menurut ulama mazhab Maliki, larangan (makruh) ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ‘keinginan’, maka hukumnya sama seperti lelaki. Ulama mazhab Syafi’i menyatakan bahawa sunat memperbanyakkan ziarah kubur terutamanya menziarahi kubur orang soleh dan baik, dan hendaklah berdiri di hadapan kubur seumpama berdiri di hadapan orang yang hidup. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/541-542).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Syeikh Mahmud Syalabi, Setiausaha Fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pernah menyatakan bahawa dibolehkan bagi wanita haid untuk menziarahi kubur, mendoakan si mati dan berzikir kepada Allah. Dalam erti kata lain, dia boleh melakukan apa sahaja perkara yang dikehendaki (dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syarak), akan tetapi janganlah dia membaca al-Quran. Dia juga boleh bersedekah, melakukan apa-apa amalan soleh yang boleh dilakukan, tetapi ibadat yang memerlukan kepadanya suci daripada hadas seperti solat, puasa, membaca al-quran, maka janganlah dia melakukannya.
Begitu juga Syeikh Ahmad Mamduh, Setiausaha Fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga pernah menyebutkan bahawa dibolehkan bagi wanita haid menziarahi tanah perkuburan, tetapi dengan syarat dia berpegang teguh kepada adab-adab Islam. Beliau menambah, jika wanita tersebut seorang yang berhijab, menutupi dirinya serta dirinya, hartanya dan kehormatannya selamat atau aman daripada fitnah, dia beriltizam dengan kesabaran dan ketenangan serta tidak beramal dengan amalan-amalan Jahiliyyah, maka dibolehkan baginya untuk menziarahi kubur dan orang mati. Beliau turut menjelaskan bahawa tanah perkuburan bukanlah sebagaimana di masjid. Oleh itu, wanita haid boleh pergi menziarah kubur, tetapi dia tidak boleh membaca al-Quran semasa dia sedang dalam haid.[2]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seorang wanita haid untuk menziarahi tanah perkuburan tetapi dia syarat dia hendaklah menjaga dirinya dengan adab-adab Islam. Hal ini kerana tanah perkuburan bukanlah seperti masjid, dan menziarahinya adalah untuk mengingatkan kepada kematian dan hari akhirat serta mengambil pengajaran daripadanya.
Sekalipun begitu, dia juga hendaklah menjaga dirinya daripada melakukan apa-apa perkara yang dilarang oleh syarak berupa amalan-amalan jahiliyyah seperti meratap dan tangisan yang keterlaluan. Apatah lagi jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh lalu membawa kepada perbuatan yang dilarang oleh syarak. Atas dasar inilah, sebahagian ulama berpendapat makruh kepada wanita untuk menziarahi kubur.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanadnya adalah dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).
[2] Lihat https://www.elbalad.news/5099213. Diakses pada 24 April 2023.
Bertarikh: 2 Mei 2023 bersamaan 11 Syawal 1444H