#1406: Bahasa Ahli Syurga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya dengar ada orang berkata ahli syurga akan menggunakan Bahasa Arab, adakah benar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebenarnya bahasa ialah jambatan penghubung antara seseorang dengan yang lain. Terutamanya yang berbilang bangsa. Antara bahasa yang terpenting di dalam Islam adalah Bahasa Arab kerana ia bahasa al-Quran, bahasa Rasulullah SAW, bahasa ahli syurga dan bahasa yang paling kaya makna, muradifat dan segala bentuk cabangannya.

Justeru, menjadi tradisi para ulama sejak dahulu lagi akan menekuni Bahasa Arab dengan sebaik mungkin. Ini tidak lain kerana dengannya ia menjadi jendela dalam penguasaan ilmu-ilmu, terutamanya terkait kepada syariat dan juga al-Quran serta hadith. Kami nukilkan di sini beberapa ucapan, antaranya:

  • Saidina Umar R.A berkata:

تَعَلَّمُوا الْعَرَبِيَّةَ فَإِنَّهَا تَزِيدُ فِي الْمُرُوءَةِ

Maksudnya: “Belajarlah Bahasa Arab kerana sesungguhnya Bahasa Arab tersebut boleh meningkatkan ketinggian maruah dan adab.” (Lihat Syu’ab al-Iman oleh al-Baihaqi, 3/210; al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi oleh al-Khatib al-Baghdadi, 2/25)

  • Daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma iaitu:

أُحِبُّ الْعَرَبَ لِثَلاَثٍ: لِأَنِّي عَرَبِيٌّ، وَالْقُرْآنُ عَرَبِيٌّ، وَكَلَامُ أَهْلِ الْجَنَّةِ عَرَبِيٌّ

Maksudnya: “Aku mencintai arab kerana tiga perkara: Kerana aku adalah arab, al-Quran di dalam bahasa arab dan ucapan ahli syurga adalah Bahasa Arab.”

Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (11441) dan al-Mu’jam al-Awsath (5583). Riwayat al-Tabarani juga di dalam al-Mu’jam al-Awsath (9147) daripada sahabat Nabi SAW iaitu Abu Hurairah R.A.

Antara ulama yang menilai hadith ini:

  • Imam al-‘Uqaili (322 H) menghukum riwayat Ibn Abbas sebagai munkar dan tiada asal baginya. (Lihat al-Dhu’afa’ al-Kabir, 348/3)
  • Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini sebagai palsu di dalam kitabnya. (Lihat al-Mawdhu’at, 41/2)
  • Imam al-Zahabi (748 H) menilai hadith ini sebagai palsu. (Lihat Mizan al-I’tidal, 103/3)
  • Imam al-Sakhawi (902 H) menilai hadith ini sebagai dhaif tetapi riwayat Abu Hurairah R.A ini lebih kuat berbanding riwayat Ibn Abbas R.Anhuma. (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, 64)

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith berkaitan bahasa ahli syurga adalah bahasa arab merupakan hadith yang terlalu dhaif walaupun dikatakan riwayat Abu Hurairah RA adalah lebih kuat atau sahih berbanding riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma tetapi kedua jalur ini terdapat perawi yang bertafarrud dalam meriwayatkan hadith tersebut.

Tambahan pula, tidak terdapat hadith yang sahih pada menyatakan bahasa yang akan digunakan oleh ahli syurga. Akan tetapi, pendapat yang menyatakan bahasa arab adalah bahasa ahli syurga datang daripada generasi selepas daripada Nabi SAW.

Antara kelebihan Bahasa Arab ialah:

  • Ia adalah bahasa al-Quran
  • Ia juga adalah bahasa Rasulullah SAW
  • Ia juga adalah bahasa ahli syurga

Allah SWT berfirman:

 إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”

(Surah Yusuf: 2)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT menjadikan al-Quran berbahasa Arab, dan menurunkannya dalam bahasa Arab yang jelas. Hal itu kerana bahasa Arab adalah bahasa yang paling fasih dan paling jelas, yang paling banyak mengungkap makna yang ada dalam jiwa. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/365)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ’, iaitu agar kamu mengerti. Kalimat ini adalah ‘illah diturunkannya dengan sifat-sifat tersebut. Ertinya, Kami telah menurunkannya secara keseluruhan dan dari bacaan dengan bahasa kamu agar kamu dapat memahami dan mengerti makna-maknanya.

Kata beliau lagi: “Iaitu agar mereka dapat belajar apa yang mereka tidak mengetahui kisah-kisah dan berita-berita, adab dan akhlak, hukum dan syariat, konsep hidup kejayaaan dalam politik, masyarakat, ekonomi, sehinggalah urusan pentadbiran negara. Ia juga agar mereka mentadabbur makna-makna dan tujuan-tujuan yang ada di dalamnya dan membangunkan individu dan masyarakat atas dasar-dasar yang kuat dan kukuh. (Lihat Tafsir al-Munir, 6/432)

Dengan kita memahami Bahasa Arab, sudah tentu kita menguasai kefahaman yang jelas dan tepat yang terkait dengan agama kita. Kita tidak akan songsang dalam kefahaman dan sentiasa mendapt taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Ini disebabkan kefahaman kita yang benar lagi betul serta tepat. Justeru, janganlah merasa lemah semangat, letih dan malas dalam menuntut ilmu yang terkait dengan Bahasa Arab.

Justeru, sekurang-kurangnya kita katakan bahawa Bahasa Arab amat istimewa. Cukuplah kalam Allah dalam Bahasa Arab dan Rasulullah SAW sendiri berbangsa Arab. Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam Bahasa Arab dengan baik bagi memahami al-Quran. Amin.

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 12 Syawal 1444H