Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, saya nak bertanya berkaitan dengan ibu bapa yang mengatakan kepada anak perempuannya anak derhaka, sedangkan anaknya itu sudah berkahwin. Anaknya itu tidak melakukan sebarang kesalahan kepada ibu bapa tersebut. Ibu bapa itu percayakan fitnah yang mereka dengar daripada orang lain. Ibu bapa itu tidak tabayyun. Jadi macam mana ustaz? Adakah perkataan anak derhaka itu boleh disebut sebegitu saja, atau macam mana ustaz?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat
Saya mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”
(Surah al-Tahrim: 6)
Ayat ini dengan jelas menunjukkan sebagai bapa dan juga ibu bukan semata-mata memelihara diri dari terjatuh ke gaung neraka di akhirat kelak tetapi juga anak-anak dan kaum keluarga di bawah tanggungannya agar tidak terbabas dan menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar yang membawa kepada kebinasaan.
Anak-anak adalah amanah Allah SWT untuk ibu bapanya yang perlu dicorakkan dengan sibghah Islam yang sebenarnya. Sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi.”
Riwayat al-Bukhari (1385)
Dalam kaedah parenting ibu bapa menjadi cerminan dan guru pertama kepada anak-anaknya. Pujangga Arab menganggap ibu sebagai madrasah. Penyair Hafiz Ibrahim berkata:
الأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِذَا أَعْدَدْتَهَا أَعْدَدْتَ شَعْبَاً طَيَّبَ الأَعْرَاقِ
الأُمُّ أُسْتَاذُ الأَسَاتِذَةِ الأُلى بَلَغَتْ مَآثِرُهُمْ مَدَى الآفَاقِ
Ibu merupakan sekolah, jika kamu sediakannya
Sebenarnya kamu menyediakan generasi yang baik akhlaknya
Ibu adalah ketua guru yang tinggi
Sampai kesannya sejauh ufuk.
Dalam menjawab persoalan di atas, alangkah malangnya sebarang tindakan yang diambil oleh ibu bapa tanpa sebarang usul periksa atau tabayyun. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(Surah al-Hujurat: 6)
Al-Sobuni berkata: Jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, dengan apa yang diberitaka, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita. Ini supaya kamu tidak mengenakan hukuman atau musibah kepada satu-satu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/216)
Saya katakan jika sekiranya ia tidak benar maka saya mengharapkan apa yang dituduh itu juga tidak akan benar, Sebaliknya, saya syorkan sebagai seorang anak carilah keluarga yang menjadi malu alah oleh ibunya untuk menyampaikan hal yang sebenar melalui bukti dan hujah. Ini untuk mengungkai salah tanggap yang mengambil masa yang panjang dan sehingga berkekalan sampai ke mati. Dengan cara ini, ia dalam mengungkaikan kusut.
Jadikanlah kisah dan iktibar ketika mana hadith al-Ifki yang Saidatina Aisyah R.Anha telah ditohmah melakukan perzinaan. Rasulullah SAW mengambil sikap berdiam sehinggalah Allah SAW mentabriahkan dan mensucikan Saidatina Aisyah R.Anha melalui wahyunya. Sila rujuk ayat 11-22 dari surah al-Nur.
Bak kata orang Melayu, “Terlajak sampan boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.”
Adapun sikap anak selepas itu hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya kerana inilah arahan Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”
(Surah al-Isra’: 23)
Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)
Saya syorkan apabila terjadi seumpama ini, ambillah tempoh bertenang jangan ikut perasaan dan seterusnya carilah jalan damai. Sebaik-baiknya lakukan majlis dari hati ke hati antara yang bertelingkah dengan berpandukan daripada petunjuk Ilahi dan hadyun nabawi. Begitu juga, wujudkan gathering keluarga untuk mendekatkan silaturrahim sebagai salah satu cara suluh dan perdamaian. Di samping itu, hendaklah kaum keluarga menghidupkan dan menghadiri pembelajaran ilmu agama, terutamanya isu-isu kekeluargaan, akhlak dan sikap.
Semoga dengan cara ini akan mengukuhkan kembali hubungan antara ibu dan anak di samping menjadikan keluarga sentiasa bersatu padu dan membuang sebarang bentuk yang tidak baik.
Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 12 Syawal 1444H