Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah hukum guna sejadah sandar dalam majlis ibadah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat
Kami definisikan terlebih dahulu maksud dan makna sejadah sandar. Sejadah sandar ialah sejadah yang direka cipta untuk memudahkan pengguna terutamanya yang berumur 40 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai masalah sakit belakang, lutut yang lemah serta kesukaran untuk duduk tanpa bersandar dalam jangka masa yang lama.
Sejadah sandar mula popular di negeri Arab khasnya ketika para jemaah haji atau umrah berkunjung ke kota suci Mekah dan Madinah. Setepatnya, ramai di kalangan orang ARab menggunakannya ketika menantikan waktu solat di Masjidil haram dan Masjid Nabawi, begitu juga ketika mendengar pengajaran dari Masyaikh dan tuan-tuan guru.
Saya berpendapat penggunaan sejadah sandar adalah dibolehkan kerana ia boleh membawa keselesaan untuk menyandarkan badan tatkala merasa penat. Saya qiyaskan isu ini hampir sama dengan masyarakat Arab di zaman dahulu menggunakan kain antara dua kepala lututnya. Duduk seperti ini dikenali sebagai ihtiba’. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِفِنَاءِ الكَعْبَةِ، مُحْتَبِيًا بِيَدِهِ هَكَذَا
Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW berada di perkarangan Ka’abah sedang duduk ihtiba’ (merapatkan kedua-dua lutut ke dada dengan tangan) seperti begini (Ibn Umar menunjukkan caranya).”
Sahih al-Bukhari (6272)
Paling penting dalam apa jua keadaan sekali pun jangan sekali-kali ada unsur riya’ dan takabbur kerana kita seorang sahaja mempunyai sejadah sandar dan yang lain tidak ada. Tetapi sebaliknya, jika selamat dari sebarang unsur dan sifat mazmumah maka, hukum duduk pada sejadah sandar adalah dibenarkan.
Semoga pencerahan ini dapat memberi kefahaman yang baik kepada kita.
Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 12 Syawal 1444H