#1412: Wajibkah Faraq Jika Tiada Surat Cerai yang Sah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, maaf mengganggu. Saya ingin bertanya, apakah wajib faraq sekiranya sebuah pernikahan itu dilakukan tanpa surat cerai yang sah dari perkahwinan sebelumnya? Maksudnya pernikahan sebelumnya belum disahkan urusan perceraiannya di Mahkamah Syariah Malaysia, tetapi pasangan (perempuan) telah bernikah di Siam (Golok) dengan pasangan baru. Terima kasih Ustaz.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah : 229)

Dalam isu seperti ini, saya katakan hukum perceraian apabila telah berlaku dengan jelas, sarih dan jazam seperti lafaz aku ceraikan kamu, maka hukumnya jatuh talak. Walaupun bukan di mahkamah, ini secara diyanatan (دِيَانَةً) (secara agama/hukum Islam). Tetapi dari segi mahkamah boleh jadi ia masih lagi tidak dianggap sebagai perceraian atau belum lagi diputuskan oleh hakim. Justeru, dikatakan dari segi qadaan (قَضَاءً) yakni keputusan mahkamah atau hakim belum lagi mensabitkannya. Justeru, ia tidak berlaku.

Saya yakin dalam permasalan ini, sebagai seorang Islam yang bermastautin di Malaysia perlu merujuk kepada mahkamah. Ini berdasarkan kaedah:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Hal ini amat penting, terutama untuk mengetahui istibra’ al-rahim dan selamat daripada akad perkahwinan dilakukan semasa dalam ‘iddah. Menjadi kebiasaan mahkamah mempunyai catatan dari segi tarikh, waktu dan masa, yang dikira sebagai bermulanya perceraian.

Menjawab persoalan di atas, sejujurnya saya tidak mampu untuk menentukan duduk perkara sebenar perjalanan kes yang boleh jadi sah perkahwinan tersebut atau sebaliknya. Justeru, syor saya agar merujuk kepada Mahkamah Syariah di negara kita terlebih dahulu bagi menentukan keabsahan perceraian yang pertama sebelum berlakunya akad nikah yang kedua. Dengan mengambil kira segala syarat-syarat dan memenuhi selesainya tempoh ‘iddah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H