Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, saya nak tanya. Harap dapat membantu. Contoh, jika seseorang itu bernikah berwalikan abang dia, tapi selepas 4 tahun berkahwin, dia baru tahu yang wali dia iaitu abang dia bukan sebapa tapi seibu. Perkahwinan tersebut tidak sah kan? Bagaimanakah proses pembatalan sijil nikah tersebut? Jika dia bernikah di negeri kedah, adakah dia perlu membuat pembatalan sijil nikah di negeri tersebut juga?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertama sekali, perkahwinan memerlukan wali kerana ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun nikah. Ini berasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy‘ari katanya, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ
Maksudnya: “Tidak berlaku pernikahan kecuali dengan (wujudnya) wali.”
Riwayat Ibn Majah (1881)
Diriwayat juga daripada ‘Aisyah katanya, Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا،
Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya.”
Kedua, orang yang tidak mempunyai wali sama ada kerana kematian, wali yang terhampir tidak cukup syarat atau wali enggan, maka sultan akan menjadi wali baginya. Ini berdasarkan sambungan kepada hadith di atas, sabda Rasulullah SAW:
فَإِنْ اشْتَجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ
Maksudnya: “Sekiranya mereka berselisih maka Sultan sebagai wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali.”
Riwayat Tirmizi (1102), Abu Dawud (2083), Ibn Majah (1879), al-Nasa’ie (5394) di dalam al-Sunan al-Kubra, dan Ahmad (25326)
Ketiga, apabila wali aqrab (wali terdekat) tidak ada maka kuasa wali bertukar kepada wali ab’ad (wali jauh).
Keempat, tertib wali perlu dilihat. Susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut Hukum Syarak adalah seperti berikut:
- Bapa Kandung.
- Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
- Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
- Adik Beradik Lelaki Sebapa.
- Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
- Anak Saudara Lelaki Sebapa.
- Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
- Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
- Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
- Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
- Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
- Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
- Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
- Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
- Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
- Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
- Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
- Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
- Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
- Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
- Wali Hakim.
(Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘ie, 4/61)
Dalam menjawab persoalan di atas, saudara lelaki seibu sahaja tidak berhak menjadi wali kerana tiada di dalam susunan wali. Perkahwinan yang diakadkan oleh wali yang tidak sah, maka hukum perkahwinannya adalah batil (tidak sah).
Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan: “Kaum kerabat yang tiada pertalian ‘Asabah (dari sebelah bapa) tidak mempunyai kuasa menjadi wali, seperti adik beradik lelaki seibu, bapa saudara sebelah ibu, bapa saudara kepada ibu, datuk sebelah ibu dan lain-lain. Inilah pandangan yang disebutkan oleh Imam Ahmad dalam banyak tempat, dan ia merupakan pandangan Imam Syafi‘ie dan salah satu daripada dua Riwayat Imam Abu Hanifah.” (Lihat al-Mughni, 7/16)
Melihat kepada persoalan yang diusulkan, isu ini lebih kepada wat’u shubhah (وَطْءُ الشُّبْهَةِ) kerana pernikahan tersebut tidak sah tetapi disangka sah. Sepertimana di dalam Enakmen Jenayah Syariah 1992, ia ditakrifkan sebagai satu persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid), atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuklah mana-mana persetubuhan yang tidak boleh dihukum Had dalam Islam.
Apabila pasangan memperolehi anak hasil daripada persetubuhan tersebut, anak itu boleh dinasabkan kepada bapanya. Seksyen 114 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan tentang kesan persetubuhan syubhah:
“Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”
Meskipun begitu, hukum perkahwinan tersebut tetap tidak sah. Maka faraq hendaklah dibuat mengikut perundangan mahkamah syariah. Boleh jadi ia dibuat di negeri tempat berlakunya akad nikah, kemudian hakim boleh menfaraqkannya dan menentukan selepas itu perjalanan seterusnya, seperti dinikahkan semula dengan wali yang sah.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H