Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, bolehkah wanita yang menerima berita kematian suami menghadiri program atau majlis di tempat dia bekerja selepas berkursus untuk penuhi CPD, majlis di pejabat seperti persaraan, bertukar jabatan, menerima sumbangan dan lain-lain?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ
Maksudnya: “Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari.”
(Surah al-Baqarah: 234)
Wanita yang kematian suami perlu berihdad dan beriddah selama 4 bulan 10 hari. Ihdad dengan maksud seorang wanita ditegah untuk berhias dan yang membawa kepada maknanya pada tempoh tertentu dalam keadaan tertentu. Yang demikian itu menegah daripada bermalam selain daripada rumahnya. (Lihat Fath al-Qadir, 3/293; Nihayah al-Muhtaj, 7/140; al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 9/166).
Ummu ‘Atiyyah R.anha meriwayatkan bahawasanya Nabi ﷺ berkata:
لاَ تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ وَلاَ تَكْتَحِلُ وَلاَ تَمَسُّ طِيبًا إِلاَّ إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ
Maksudnya: “Janganlah seorang wanita itu berihdad (berkabung) ke atas si mati melebihi tiga hari melainkan ke atas suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Dan janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian. Adapun ketika haid maka diperbolehkan baginya untuk mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain untuk menghilangkan bau tidak enak.”
Riwayat Muslim (938)
Saya berpendapat berdasarkan nas, sewajarnya wanita tersebut berada di rumah atau tempat kediamannya, kecuali urusan kerja sahaja atau kehidupan yang membolehkannya keluar. Sebaliknya, jika menghadiri program atau majlis untuk penuhi CPD atau persaraan, sebaiknya adalah mengelakkannya. Cukuplah dengan menghantar ucapan tahniah atau apa-apa ucapan yang sesuai kepada rakan-rakannya. Saya yakin dan saya percaya apabila kita dapat menjunjung perintah Tuhan dan Rasul-Nya SAW sudah tentu banyak kebaikan yang diperolehi. Saya doakan semoga ketabahan sentiasa bersama wanita yang kematian suami. Peri pentingnya kita mencari mardhatillah dalam kehidupan. Amin.
Saya akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H