Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Ustaz, Boleh saya tahu, mengapa tidak boleh warnakan rambut dengan warna hitam? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”
Riwayat al-Bukhari (3462) dan Muslim (2103)
Begitu juga dalam hadith lain, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ
Maksudnya: “Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.”
Riwayat al-Tirmizi (1752)
Dapat difahami daripada hadith-hadith ini bahawa ‘illah syarak dalam mewarnakan rambut atau janggut adalah untuk menyelisihi ahli kitab. Oleh sebab itu, terdapatnya penegasan bahawa ia suatu perbuatan yang digalakkan (sunat). Apatah lagi Rasulullah SAW sendiri berlebih-lebihan dalam menyelisihi mereka dan memerintahkan untuk melakukannya. Selain itu, sunnah ini (mewarnakan rambut dan janggut) sangat diambil berat oleh ulama salaf. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 11/172).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam. Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, ulama dalam kalangan mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi — kecuali Abu Yusuf — berpendapat, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh pada selain perang. Manakala semasa perang, ia adalah diharuskan secara ijma‘, bahkan sangat digalakkan. Di antara dalil mereka yang berpendapat bahawa diharuskan untuk mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:
إِنَّ أَحْسَنَ مَا اخْتَضَبْتُمْ بِهِ لِهَذَا السَّوَادُ، أَرْغَبُ لِنِسَائِكُمْ فِيكُمْ، وَأَهْيَبُ لَكُمْ فِي صُدُورِ أَعْدَائِكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik warna untuk kamu warnakan (rambut atau janggut kamu) dengannya adalah warna hitam, kerana ia lebih disukai oleh isteri-isteri kamu, dan menakutkan hati-hati musuh kamu.”
Selain itu, terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab bahawasanya beliau memerintahkan untuk mewarnakan rambut dengan warna hitam dan menyebutkan bahawa ia menenangkan isteri dan menakut-nakutkan musuh. Tambahan lagi, terdapat sebahagian sahabat mewarnakan (rambut dan janggut) dengan warna hitam dan tidak dinukilkan ada dalam kalangan mereka yang mengingkarinya. Di antara mereka yang melakukannya ialah Uthman, Abdullah bin Ja‘far, al-Hasan dan al-Husain. Selain itu, di antara mereka yang turut mewarnakannya dengan warna hitam dan berpendapat dengannya ialah Muhammad bin Ishaq, pengarang al-Maghazi, Ibn Abi ‘Asim dan Ibn al-Jauzi.
Selain daripada itu, terdapat pendapat lain dalam mazhab Hanafi yang menyatakan keharusan untuk mewarnakan rambut dengan warna hitam (secara mutlak). Inilah juga pendapat Abu Yusuf.
Manakala mazhab Syafi‘i pula berpendapat, haram untuk mewarnakan rambut dengan warna hitam kepada selain para mujahidin (ahli perang). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/280-281). Larangan ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:
يَكونُ قومٌ يخضِبونَ في آخرِ الزَّمانِ بالسَّوادِ كحواصلِ الحمامِ لا يريحونَ رائحةَ الجنَّةِ
Maksudnya: “Di akhir zaman nanti, akan ada sekelompok orang yang akan mewarnakan (rambut dan janggut) dengan warna hitam seperti warna bulu di dada burung merpati, mereka tidak akan mencium bau syurga.”
Riwayat Abu Daud (4212) dan al-Nasa’i (5075)[1]
Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) digalakkan (disunatkan) untuk mewarnakan uban bagi lelaki dan perempuan dengan warna kekuning-kuningan atau kemerahan, dan haram untuk mewarnakannya dengan warna hitam mengikut pendapat yang paling sahih (asah). Namun, terdapat pendapat menyatakan bahawa mewarnakan uban dengan warna hitam adalah makruh tanzih. Akan tetapi pendapat yang terpilih, ia adalah diharamkan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/80).
Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Jabir R.A, katanya: Abu Quhafah[2] yang rambutnya putih bak bunga kemboja (الثغامة), dibawa menemui Rasulullah SAW pada hari pembukaan kota Makkah, lalu Baginda bersabda:
غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ
Maksudnya: “Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna hitam.”
Riwayat Muslim (2102)
Menurut ulama mazhab Syafi‘i, larangan di atas bermaksud ia diharamkan, dan dalam hal ini lelaki dan perempuan adalah sama dari segi hukumnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/281).
Dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan, di antara hikmah pengharamannya ialah perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam, seseorang dewasa kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada pandangan orang ramai. Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar. Adapun warna yang lain tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan. Kemudian pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan bahawa mereka berpendapat, ia adalah kerana patuh dan taat semata-mata. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/100).
Penjelasan lebih terperinci ada disebutkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam karyanya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hlm. 117). Beliau menyatakan, orang yang tidak setua Abu Quhafah tidak mengapa jikalau dia mewarnakan rambutnya dengan warna hitam. Dalam hal ini Ibn Syihab al-Zuhri mengatakan: “Kami mewarnakan rambut dengan warna hitam jiikalau wajah masih kelihatan muda. Apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah bergoyang kami pun meninggalkannya.” (Lihat juga al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/281).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna hitam melainkan terdapatnya keperluan seperti untuk menghilangkan aib kerana uban yang berlebihan di rambut atau janggutnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar dan seumpamanya. Sekalipun begitu, kami tidak menafikan sebahagian ulama menghukumkannya sebagai makruh.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Musykil al-Athar (3699) menilai sanadnya sebagai sahih. Manakala Imam al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (4/339) menilainya sebagai hasan gharib.
[2] Beliau ialah bapa kepada Abu Bakar; nama sebenarnya ialah Uthman dan memeluk Islam semasa pembukaan Makkah.
Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H