#1432: Melindungi Diri Daripada Maksiat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin benar mengelakkan diri dari terjerumus kepada dosa dan kemaksiatan kerana saya takut. Apakah amalan dan cara-cara untuk membanteras ini agar tidak terjadi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mengucapkan syabas kepada anda yang merasa takut daripada terjerumus ke arah dosa dan maksiat. Justeru, hendaklah saudara teruskan tekad dan azam agar tidak terjatuh ke lembah maksiat. Antara amalan dan cara untuk membanterasnya ialah:

  • Lakukan solat terutamanya di awal waktu dan berjemaah. Pastikan kualiti solat itu pada tahap yang tinggi. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”

Surah Al-‘Ankabut (45)

Ibn Kathir di dalam tafsirnya mendatangkan riwayat Ibn Abbas RA menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengerjakan solatnya dengan baik serta tidak mencegah dari kemungkaran, maka solatnya itu sesekali tidak bertambah di sisi Allah melainkan ia semakin menjauh. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/281)

  • Istiqamahlah dalam melakukan ketaatan dan menjarakkan dari dosa serta maksiat. Ini kerana, istiqamahlah menjadikan seseorang itu berada pada kedudukan yang baik dan terpuji.

Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi katanya: Aku berkata: 

يَا رَسُولَ اللَّهِ! قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ؛ قَالَ: قُلْ: آمَنْت بِاَللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, katakanlah kepadaku tentang perkara Islam satu perkataan yang mana aku tidak akan menanyakannya kepada seorang pun selepasmu. Nabi menjawab: “Katakanlah: Aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.” 

Riwayat Muslim (38)

Hadis ini menggesa supaya segala kebaikan atau amalan termasuk pekerjaan dan perkhidmatan yang dilakukan hendaklah dalam istiqamah dengan menghindarkan segala sifat-sifat mazmumah seperti malas, putus asa, semangat yang seketika dan mudah luntur kerana ia boleh menafikan maksud dan matlamat istiqamah. (Lihat al-Kafi, hlm. 208)

  • Pilihlah rakan dan taulan yang baik kerana dia yang paling banyak mempengaruhi anda. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ

Maksudnya: “Seseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.”

Riwayat Abu Daud (4833), al-Tirmizi (2378) dan Ahmad (8398)

Syeikh Syams al-Haq dalam syarahnya menyebut : Lelaki iaitu manusia yang pada kebiasaannya berkawan akan mengikut kawannya dari segi perbuatan, perjalanannya, maka perhatikanlah dan selidikilah sesiapa yang kamu ingin berkawan. Sesiapa yang kamu redha tentang agama dan akhlaknya maka berkawanlah dengannya, sekiranya tidak, maka jauhilahnya. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/123)

  • Binalah environment yang baik dan sertakanlah diri anda dalam environment tersebut. Ini kerana, seseorang itu membesar dan terpengaruh dengan suasana setempat yang dia hidup. Jika baik, maka baiklah, jika tidak, maka tidaklah. Benarlah kata pujangga Arab:

مَنْ شَبَّ عَلَى شَيْءٍ شَابَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membesar dalam keadaan demikian, sudah pasti tua pun demikian juga.”

  • Belajarlah ilmu, terutamnya yang terkait dengan agama dan akhlak, termasuk ilmu tasawwuf. Ini kerana, ia dapat membentuk keperibadian kita dan kefahaman terhadap agama Islam dengan sebaik-baiknya. Hal ini amat penting, dengan sebab itu Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.”

Riwayat Muslim (4867)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Di dalam hadith ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya adalah ia menerangkan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar’ie dengan syarat ia niatnya adalah kerana Allah SWT. Walaupun syarat ini merupakan syarat untuk setiap ibadat tetapi telah menjadi adat para ulama’ mengikat masalah ini dengannya kerana sebahagian manusia mengambil mudah dan lalai terhadapnya terutama golongan permulaan dan seumpama dengan mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/21)

  • Sentiasalah beriltizam dengan jemaah umat Islam. Ini kerana, kambing yang terasing akan mudah dibaham oleh serigala. Itulah sebuah perumpamaan bagaimana manusia yang berjauhan dari jemaah mudah ditipu daya dan digoda. Benarlah sabda Nabi SAW:

 فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ

Maksudnya: “Hendaklah engkau bersama jama’ah, sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang memisahkan diri dari gerombolannya.” 

Riwayat Abu Daud (547), al-Nasa’ie (847) dan Ahmad (21710). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan.

  • Seterusnya, sentiasalah dengan zikrullah kerana ia boleh menenangkan jiwa dan hati. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan zikrullah (ingat kepada Allah) itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah al-Ra’d: 28)

Al-Syaukani berkata: Firman-Nya ‘أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ’, Maksudnya adalah, dengan mengingati Allah sahaja, tanpa yang lain, maka hati akan menjadi tenang. Walaupun dengan memerhatikan ciptaan-ciptaan Allah SWT dan keindahan ciptaan-Nya boleh mendatangkan ketenteraman, namun ia tidak seperti ketenteraman dengan mengingati Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 3/98)

Imam al-Qusyairi berkata: Ada kaum yang tenang hati mereka dengan sebab mereka mengingati Allah. Ini kerana, pada zikir mereka merasai kemanisannya. Dengan zikir juga mereka sampai kepada hakikat kebersihan hati. (Lihat Lata’if al-Isyarat, 2/229)

  • Banyakkan munajat kepada Allah SWT dan berdoa kepadanya kerana Allah SWT yang menjadi Tuhan kepada kita. Antara doa Rasulullah SAW yang banyak ialah:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ 

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” 

Riwayat Imam Ahmad (26618) dan al-Tirmizi (3522)

Semoga Allah SWT kuatkan saudara dan teruskan istiqamah dan beriltizam agar tidak jatuh ke gaung maksiat. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H