#1434: Membaca al-Quran Secara Ikut-ikut Melalui Radio

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Ustaz, adakah orang yang membaca al-Quran secara ikut-ikut melalui bacaan radio mendapat pahala bacaan juga?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umumnya, membaca al-Quran termasuk dalam ibadah dan merupakan sebaik-baik zikir. Bahkan Allah SWT mengangkat kedudukan suatu kaum dengan al-Quran. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.

Riwayat Muslim (817); Ibn Majah (218); Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581).

Selain itu, terdapat riwayat daripada al-Nawwas bin Sam‘an R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

يؤتي بالْقُرْآنُ يوم القيامة وَأَهْلُهُ الَّذِينَ كانوا يَعْمَلُونَ بِهِ، تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ. – وَضَرَبَ لَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةَ أَمْثَالٍ مَا نَسِيتُهُنَّ بَعْدُ. – قَالَ: كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أو ظُلَّتَانِ سَوْدَاوَانِ بَيْنَهُمَا شَرْقٌ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّان عَنْ صَاحِبِهِمَا.

Maksudnya: “Didatangkan al-Quran pada hari kiamat bersama ahlinya (pembacanya) yang mengamalkannya (di dunia), didahului oleh Surah al-Baqarah dan Ali Imran. — (Al-Nawwas berkata): Rasulullah SAW membuat perumpamaan untuk keduanya (Surah al-Baqarah dan Ali Imran) dengan tiga perumpamaan yang tidak akan aku lupakan selamanya — Baginda bersabda: Kedua-duanya (akan datang) seperti dua awan tebal atau dua payungan hitam yang mana antara kedua-duanya ada sinaran (atau pancaran) cahaya atau kedua-duanya seperti dua pemisah pada kawanan burung yang membentangkan sayapnya dan berhujah untuk pemiliknya.”

Riwayat Muslim (805)

Dapat difahami daripada lafaz “الَّذِينَ كانوا يَعْمَلُونَ بِهِ” dalam hadith di atas bahawa sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengannya, maka mereka tidak termasuk dalam kalangan ahli al-Quran. Bukan itu sahaja, al-Quran juga tidak akan memberi syafaat kepada mereka, bahkan al-Quran itu pula menjadi hujah ke atas mereka — dan bukannya hujah buat mereka. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 4/1461).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat hadith yang menyatakan bahawa pada setiap ayat dan kalimat al-Quran ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Menurut Majdi bin ‘Abd al-Wahhab al-Ahmad, pada lafaz “لا أقولُ: آلم حرفٌ” terdapat suatu penegasan dan penjelasan bahawa setiap huruf daripada al-Quran ada pahala bagi membacanya. Bahkan janganlah menyangka bahawa “الم” (Alif, lam, mim) itu adalah satu huruf, tetapi alif itu adalah satu huruf dan sepuluh kebaikan diberikan bagi membacanya, begitu juga lam itu satu huruf dan sepuluh kebaikan diberikan bagi membacanya, dan begitu juga mim itu satu huruf dan sepuluh kebaikan diberikan bagi membacanya. Justeru, pada hadith di atas terdapatnya anjuran untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran yang merupakan zikir yang agung, yang diberikan ganjaran pahala berlipat ganda (bagi sesiapa yang membacanya). (Lihat Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 52).

Tambahan lagi, al-Quran juga memberi manfaat kepada orang yang membaca dan mendengarnya. Oleh kerana itu, Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mendengar al-Quran dengan baik apabila ia dibacakan. Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

(Surah al-A‘raf: 204)

Bukan itu sahaja, malah Rasulullah SAW sendiri meminta para sahabat R.Anhum supaya memperdengarkan bacaan al-Quran kepada Baginda SAW. Terdapat hadith menyatakan bahawa Rasulullah SAW meminta Abdullah bin Mas‘ud R.A membacakan al-Quran:

اقْرَأْ عَلَيَّ. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ؟ قَالَ: نَعَمْ. فَقَرَأْتُ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى أَتَيْتُ إِلَى هَذِهِ الآيَةِ: {فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَـٰؤُلَاءِ شَهِيدًا}، قَالَ: حَسْبُكَ الآنَ. فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ.

Maksudnya:Bacalah (al-Quran) kepadaku.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, adakah aku membacakan kepadamu, sedangkan ke atasmu ia diturunkan?” Baginda bersabda: ‘Ya.’ Lalu aku membaca surah al-Nisa’ sehingga aku sampai (bacaan) pada ayat ini: {فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَـٰؤُلَاءِ شَهِيدًا} (Maksudnya: “Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?”) [Surah al-Nisa’: 41]. Baginda bersabda: ‘Cukuplah sehingga ayat ini.’ Lalu aku menoleh ke arah Baginda, ternyata kedua-dua matanya menitiskan air mata.

Riwayat al-Bukhari (5050)

Maka, orang yang mendengar al-Quran juga mendapat pahala jika disertai dengan adab-adabnya dan menghayati bacaan al-Quran tersebut. Walau bagaimanapun, pahala orang yang mendengar al-Quran tidak sama dengan orang yang membacanya. Ini kerana orang yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang lebih besar dan fadhilat daripada bacaannya tersebut sebagaimana hadith yang telah disebutkan di atas.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa sesiapa yang membaca al-Quran akan diberikan pahala kerana membacanya, dan termasuklah juga sesiapa yang membacanya secara ikut-ikutan melalui bacaan di radio, dengan syarat ia mengikutinya dengan betul, menghayati dan tidak bermain-main ketika membacanya kerana ia termasuk dalam keumuman hadith di atas.

Sekalipun begitu, jika seseorang itu dapat membaca al-Quran dengan khusyuk dan tenang sambil melihat mashaf dalam keadaan penuh adab, maka itulah yang paling baik dan afdhal. Apatah lagi membaca al-Quran termasuk dalam ibadah dan sebaik-baik perkara, maka sebaik-baiknya berusahalah untuk mencapai kesempurnaannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H