#1436: Bertukar Niat Semasa Solat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Ustaz, bolehkah bertukar niat semasa solat seperti mulanya niat Isyak qasar tetapi tukar ke Maghrib? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kemus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080).

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).
  • Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.

Pada asasnya, para ulama telah menyatakan ijma‘ mengenai kewajipan berniat dalam solat dan solat tidak sah tanpanya. Al-Khiraqi menyebutkan, apabila seseorang ingin mendirikan solat, maka bertakbirlah (yakni ucapkan Allahu Akbar) dan berniat ketika takbiratul ihram itu solat fardhu (yang ingin didirikan). Kami tidak mengetahui adanya perselisihan (khilaf) dalam umat mengenai kewajipan berniat untuk mendirikan solat, dan suatu solat tidak sah tanpanya. (Lihat Mukhtasar al-Khiraqi, hlm. 22).

Dalam erti kata lain, niat merupakan salah satu rukun solat. Niat ialah mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Tempat niat ialah di dalam hati. Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/129). 

Niat ketika solat hanya dibolehkan bagi sesiapa yang ingin mengerjakan jamak taqdim, bahkan ia termasuk dalam salah satu syaratnya. Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan, seseorang itu hendaklah berniat untuk melakukan jamak taqdim dalam solatnya yang pertama sekalipun bersama salam. Begitu juga dia boleh meniatkan jamak taqdim itu dalam solatnya yang pertama keseluruhannya, dan tidak disyaratkan hanya ketika takbiratul ihram sahaja. Akan tetapi afdhalnya adalah untuk dia berniat jamak taqdim itu ketika takbiratul ihram. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 319).

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, jika seseorang itu sudah berniat untuk melakukan solat Isyak secara qasar di awal solatnya, maka dia tidak boleh menukar niatnya untuk mendirikan solat lain, melainkan dia membatalkan solatnya yang sedang dikerjakan itu dan memulakan semula solatnya berserta niat yang baru. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّـيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya:Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.

Riwayat al-Bukhari (1)

Sekalipun begitu, kami mengambil kesempatan di sini mengingatkan bahawa Allah SWT melarang umat Islam untuk sengaja membatalkan amalannya dengan sengaja tanpa apa-apa sebab yang mengharuskannya untuk melakukan demikian. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!

(Surah Muhammad: 33)

Apatah lagi, jika solat yang sedang dikerjakan itu adalah solat fardhu, maka haram hukumnya bagi seseorang tanpa sebarang uzur syar‘i yang diizinkan untuk membatalkan solatnya berdasarkan ayat yang disebutkan di atas. Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (34/51) ada dinyatakan, para fuqaha telah bersepakat bahawa membatalkan ibadah yang wajib (misalnya solat fardhu) setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak dibolehkan. Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan ibadah tersebut.

Justeru, sebaiknya jika dia sudah berniat untuk melakukan solat Isyak secara qasar dan jamak ta’khir, maka selesaikanlah dahulu solat tersebut. Kemudian, barulah dia mengerjakan solat Maghrib pula.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H