Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon Dato’ Seri hide profile saya kalau nak post soalan saya ya. Saya ada soalan yang berbunyi: Apakah hukum bermain raffle? Adakah sama dengan perjudian dan ada tak situasi atau syarat-syarat yang menjadikan ianya tidak menjadi judi. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami kemukakan terlebih dahulu makna raffle itu. Raffle ialah loteri di mana hadiah dimenangi oleh salah seorang daripada ramai orang yang membeli tiket. Dalam bahasa mudahnya, raffle ialah pertandingan perjudian di mana orang ramai mendapatkan tiket bernombor, yang setiap satu mempunyai peluang untuk memenangi hadiah. Pada masa yang ditetapkan, pemenang diambil secara rawak daripada bekas yang mengandungi salinan setiap nombor. Tiket yang diundi disemak dengan koleksi hadiah dengan nombor yang dilampirkan padanya, dan pemegang tiket memenangi hadiah itu. Raffle ialah permainan popular di banyak negara, dan sering diadakan bagi mengumpul dana untuk badan amal atau acara tertentu.
Berdasarkan kepada takrifan di atas, jelas bahawa raffle termasuk dalam salah satu jenis perjudian dan perjudian adalah diharamkan dalam Islam. Firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.’”
(Surah al-Baqarah: 219)
Ibn Jarir al-Tabari menyebut bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar daripada manfaatnya. Ini adalah sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya, namun akibat daripada mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada, namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 2/489).
Selain itu, al-Alusi juga ada menyebutkan beberapa contoh dosa atau keburukan yang dibawa oleh judi, antaranya adalah memakan harta secara batil, boleh menyebabkan orang yang berjudi terjebak dalam aktiviti jenayah seperti mencuri, mencederakan jiwa, mensia-siakan keluarga, melakukan perkara yang keji dan hina serta menimbulkan permusuhan sama ada secara tersembunyi mahupun terang-terangan. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 16/262).
Begitu juga firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan kedua-duanya boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk pengambilan harta orang lain secara batil. Di samping itu, ia juga melalaikan manusia daripada mengingati Allah SWT dan mengerjakan solat.
Beliau menjelaskan lagi, pertaruhan di dalam perjudian akan menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan ada yang sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.
Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga dia tidak ingat selain daripada harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/49 dan 12/82)
Selain itu, Ibn Taimiyyah juga ada menyatakan bahawa mafsadah judi adalah lebih besar daripada mafsadah riba kerana terdapat dua mafsadah di dalamnya. Pertamanya, mafsadah memakan harta secara haram. Kedua, mafsadah perkara lalai yang haram; yang menghalang pelakunya daripada mengingati Allah SWT, lalai daripada mengerjakan solat serta menimbulkan permusuhan dan kebencian. Disebabkan itulah, diharamkan judi sebelum pengharaman riba. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 32/337).
Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيَّ، أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan ke atasku, atau diharamkan arak, judi, al-kubah (sejenis permainan yang menggunakan papan, buah dan dadu).”
Imam al-Khattabi menyatakan bahawa al-Kubah ditafsirkan sebagai gendang dan dikatakan juga ia ialah dadu. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/267).
Tambahan lagi, pengarang al-Fiqh al-Manhaji turut menyatakan, setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146).
Selain daripada itu, konsep yang diketengahkan dalam permainan raffle ini juga adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan). Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:
- Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan. (Lihat Halal dan Haram dalam Islam, hlm. 427).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa permainan raffle ini adalah haram dan dilarang kerana ia termasuk dalam perjudian. Lebih-lebih lagi, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar. Selain itu, permainan seperti ini juga dilihat lebih kepada keberuntungan nasib pemain semata-mata. Maka, oleh sebab itu jelas ia mirip kepada perjudian dan tidak dibenarkan di dalam Islam.
Semoga Allah SWT jauhkan kita dari terbabit dengan perjudian sama ada secara nyata atau tersembunyi. Amin.
Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H