Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, maaf mengganggu. Saya susah hati sangat-sangat. Hari ini hari pertama saya kerja di office apartment. Saya kena uruskan payment dari residents (penghuni-penghuni) untuk bayaran interest yang dikenakan ke atas mereka oleh pihak pentadbiran. Payment yang dibayar oleh residents, duit itu akan dibayar gaji kepada pekerja. Soalan saya, adakah saya termasuk dalam kalangan penerima riba?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Takrifan ringkas riba’ ialah ia merupakan sebarang tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh dan tambahan dalam pertukaran barangan tertentu (barang ribawi). Ia merangkumi riba’ daripada hutang (riba’ ad-Duyun) dan riba’ melalui pertukaran barangan ribawi (riba al-Buyu’).
Jika penerangan yang dikemukakan itu adalah jelas yang memang daripada duit riba’ maka hukumnya adalah haram dan tidak dibolehkan. Hal ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW:
لعَن اللهُ آكلَ الرِّبا ومُوكِلَهُ وشاهدَهُ وكاتبَهُ
Maksudnya: “Allah melaknat pemakan riba, wakilnya, saksinya, dan penulisnya.”
Riwayat Ahmad (5/274)
Berdasarkan kepada nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa isu riba’ bukan semata-mata terkait kepada pemakan sahaja tetapi secara pakej kepada siapa yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak dan hendaklah dielakkan seupaya mungkin.
Riba’ adalah satu bentuk penindasan yang amat nyata dan ia dianggap sebagai kezaliman ekonomi sehingga ramai yang terperangkap dengan interest (riba’) dan akhirnya menjadi hamba kepada hutang yang tidak mungkin dan mampu dilangsaikannya.
Betapa dahsyatnya pemakan riba’ maka ia telah diisytiharkan orang tersebut sebagai mereka yang memerangi Allah SWT.
Firman Allah SWT:
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ
Maksudnya: “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).”
(Surah al-Baqarah: 279)
Ibn Kathir menukilkan bahawa Ali bin Talhah berkata: Daripada Ibn Abbas, katanya ‘ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ’, maksudnya siapa yang sentiasa berada dengan riba, dan dia tidak meninggalkannya, maka menjadi hak kepada pemerintah orang Islam untuk memintanya untuk bertaubat. Jika dia bertaubat, maka alhamdulilah, sebaliknya jika dia enggan, maka hendaklah dipancung lehernya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/550)
Saya bimbang isu halal dan haram bukan menjadi topik utama dalam mendapatkan wang, tetapi yang penting hanya untuk mendapatkan wang ringgit semata-mata.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلاَلِ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ
Maksudnya : “Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli apa yang dia ambil, apakah dari hasil yang halal atau yang haram.”
Riwayat al-Bukhari (2059)
Justeru, saya sarankan cubalah cari alternatif kepada pekerjaan yang tiada riba’ dan unsurnya agar keberkatan rezeki yang halal menjadi milik kita dan mendapat keredhaan daripada Allah SWT.
Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H