#1449: Maksud (المحرم لعارض) dan (المكروه لعارض)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah maksud (المحرم لعارض) dengan (المكروه لعارض) yang terdapat dalam Hasyiah al Baijuri ala Ibnu Qasim ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan bahawa:

  • (المحرم لعارض) memberi maksud berlaku pengharaman kerana sebab yang mendatang. Syeikh Abd al-Wahhab Khalaf antara lain berkata: Pembahagian muharram terbahagi kepada dua, salah satunya muharram li ghairih atau yang lainnya juga dikenali sebagai al-’aridh (العارض), iaitu apa-apa yang disyariatkan pada asalnya wajib atau sunat atau harus, tetapi apabila disertakan dengannya oleh apa-apa yang mendatang, maka jadilah dia haram. Contohnya solat (adalah wajib). Akan tetapi dilakukan di tanah yang dirampas, maka hukumnya haram. Begitu juga, jual beli yang terdapat penipuan, bukanlah haram atas perbuatan tersebut (seperti solat atau jual beli), akan tetapi perkara yang luar, yang mempunyai perbuatan tidak memberi mudarat dan kerosakan padanya, akan tetapi berlaku hal yang lain yang akhirnya disertai dengan perkara yang boleh membawa kepada mafsadah dan mudarat dalam hal ini seperti tanah yang dirampas untuk solat atau penipuan dalam penjualan dan pembelian. (Lihat Ilmu Usul al-Fiqh, hlm. 104)
  • (المكروه لعارض) memberi maksud berlaku hukum makruh kerana sebab mendatang. Al-Allamah al-Anbabi berkata dalam taqrir Bajuri al-Sanusiyyah, yang zahir bahawa dikehendaki dengan makruh li ‘aridh di mana makruhnya terdapat ‘illah yang berpusing atau beredar atau bersamanya, sama ada, ada atau tiada. Al-Syarwani berkata: Contohnya adalah seperti makan bawang. (Lihat Hasyiyah al-Syarwani, 1/14) Hukum asalnya adalah harus. Tetapi kerana ingin sembahyang berjemaah, maka hukumnya makruh. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا ، فَلْيَعْتَزِلْنَا ، أَوْ قَالَ : فَلْيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا ، وَلْيَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami – atau disebut: Jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah di rumahnya sahaja.”

Riwayat al-Bukhari (808) dan Muslim (564)

Semoga kefahaman seperti ini dapat kita kembangkan lagi dengan merujuk para ulama terutamanya ulama usul berkenaan dengan istilah-istilah dan kami telah kemukakan buku khas bertajuk Istilah Fiqh Empat Mazhab

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H