#1454: Melancong Dahulu di Jeddah sebelum Umrah

 

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak tanya tentang berniat ihram di miqat. Saya sekeluarga bercadang untuk bercuti di beberapa kawasan di Arab Saudi di samping menunaikan ibadah umrah. Perancangan perjalanan adalah seperti berikut. Bertolak dari Malaysia ke Kota Jeddah. Melancong selama 3 hari 2 malam di sekitar bandar Jeddah, kemudian diteruskan dengan menunaikan ibadat umrah (tinggal di kota mekah 5 hari 4 malam) dan diteruskan perjalanan ke kota madinah sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Persoalan saya, pada waktu bilakah saya perlu berniat ihram? Dan di mana lokasi saya perlu berniat ihram? Adakah saya perlu patah balik semula dari Jeddah ke qarnul manazil untuk bermiqat? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berihram atau berniat memulakan ibadah haji atau umrah merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/378)

Manakala berniat ihram di miqat pula termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan haji atau umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488) 

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Abdullah bin Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

وَقَّتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَهْلِ الـمَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الـمَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، فَهُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menentukan miqat untuk penduduk Madinah ialah Zulhulaifah (atau dikenali juga sebagai Bir Ali), untuk penduduk Syam ialah Juhfah, untuk penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil dan untuk penduduk Yaman ialah Yalamlam. Tempat-tempat ini merupakan miqat bagi penduduk negerinya dan orang-orang selain mereka yang berada di tempat itu, bagi sesiapa sahaja yang berniat melaksanakan haji dan umrah.” 

Riwayat al-Bukhari (1526)

Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang itu melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram, sedangkan dia ingin mengerjakan haji atau umrah, maka dikenakan ke atasnya dam. Akan tetapi dam tersebut boleh tergugur dengan syarat dia kembali semula (dengan segera) ke miqat yang dilepasinya sebelum melakukan apa-apa perbuatan haji atau umrah seperti tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 491) 

Muhammad al-Zuhaili menjelaskan lagi bahawa seseorang yang pergi ke Mekah dan ingin mengerjakan umrah atau haji, sekiranya dia melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram (sebelum atau di miqat itu), maka dia dianggap telah melakukan dosa, tidak kira sama ada dia berasal dari tempat tersebut ataupun tidak. Kemudian, wajib ke atas dirinya untuk kembali semula ke mana-mana miqat untuk berniat ihram sekiranya waktu yang ada masih luas dan jalan untuk ke sana aman. Jika dia kembali semula ke miqat, maka dia tidak dikenakan dam. Namun, sekiranya terdapat keuzuran bagi dirinya untuk kembali ke miqat seperti waktu yang ada sempit atau jalan untuk ke sana tidak selamat atau kerana sakit yang menyusahkan atau takut terpisah dengan rombongan, maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk kembali dan dia berniat ihram di mana tempatnya berada. Bagi situasi ini, dia dikenakan dam kerana telah meninggalkan perbuatan berihram dari miqat (yang merupakan salah satu daripada perkara-perkara wajib haji dan umrah). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/313) 

Pergi Ke Jeddah Untuk Melancong Kemudian Menunaikan Umrah dari Jeddah

Jika seseorang pergi ke Jeddah untuk bekerja, ziarah atau melancong dan melakukan umrah, maka ia bergantung kepada situasi berikut: 

Situasi pertama: Dia telah berniat untuk melakukan umrah sebelum dia sampai ke Jeddah, maka niatnya dalam perjalanan ke sana adalah untuk melakukan kerja dan untuk melakukan umrah, tanpa mengira mana yang akan dilakukan terlebih dahulu. 

Dalam situasi pertama, dia mesti berihram dari miqaat, kemudian menyelesaikan tugasnya atau melancong dahulu di Jeddah dan kemudian melakukan umrah, tetapi adalah lebih baik dengan dia memulakan dengan Umrah terlebih dahulu. 

Al-Lajnah al-Daimah telah mengeluarkan fatwa ketika ditanya berkenaan seseorang yang mempunyai niat melakukan umrah dan melalui miqat tanpa berihram dengan melakukan urusan lain terlebih dahulu, mereka menjawab: “Sesiapa yang berniat untuk melakukan umrah kemudian melalui miqat, hendaklah dia berihram dari situ, dan dia tidak boleh melaluinya tanpa berihram. Oleh kerana kamu tidak berihram dari miqat, maka hendaklah kamu menyembelih korban iaitu menyembelih seekor kambing yang memenuhi syarat udhiyah; hendaklah disembelih di Makkah al-Mukarramah dan dagingnya dibahagikan kepada fakir miskin di sana, dan kamu tidak boleh memakan sedikit pun daripadanya. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 11/176-177). 

Manakala pilihan kedua pula ialah jika dia tidak dapat memulakan umrah, dan sukar baginya untuk menghabiskan hari-hari di Jeddah dengan pakaian ihram, maka dia tidak perlu berihram dari miqat ketika dia pertama kali melaluinya, tetapi apabila dia ingin melakukan ihram untuk Umrah selepas selesai kerja atau urusan di Jeddah, dia mesti keluar ke mana-mana miqat yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW dan masuk berihram dari sana. Jika dia tidak melakukan itu dan dia masuk juga berihram dari Jeddah, maka dia telah meninggalkan salah satu kewajipan ihram dan dia harus menyembelih seekor kambing di Makkah dan membahagikan dagingnya kepada fakir miskin di Haram.

Situasi kedua: Dia berniat pergi ke Jeddah tanpa ada langsung niat untuk melakukan Umrah, lalu dia memutuskan untuk melakukan ‘umrah. 

Dalam situasi kedua, dia tidak perlu berihram dari miqaat, kerana dia pada asalnya tidak berniat untuk melakukan umrah, dan jika dia memutuskan untuk melakukan umrah selepas selesai urusannya di Jeddah, dia boleh berihram dari tempatnya di Jeddah. 

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya: “Jika seseorang pergi dari negerinya ke Jeddah kemudian memutuskan untuk melakukan ‘umrah, bolehkah dia berihram dari Jeddah?”  Beliau menjawab: “Hal ini bergantung kepada dua hal:

  1. Jika orang ini telah pergi ke Jeddah tanpa berniat untuk melakukan umrah, tetapi dia memutuskan untuk melakukan umrah semasa dia berada di Jeddah. Dalam hal itu dia boleh berihram dari Jeddah, dan tidak ada yang salah dengan itu, kerana hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma ketika beliau menyebut miqat:

فَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ، فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ، حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ

Maksudnya: Sesiapa yang berada di antara Makkah dan Miqat, maka (miqatnya) dari tempat mereka masing-masing, penduduk Makkah (berihram) dari Makkah.”

Riwayat al-Bukhari (1845)

  1. Dia bermusafir dari negerinya dengan niat yang kukuh untuk mengerjakan ‘umrah. Dalam hal ini dia harus berihram dari miqat yang dilaluinya, dan dia tidak boleh berihram dari Jeddah, kerana ia berada dalam batas miqaat, dan terbukti bahawa Nabi SAW mendefinisikan miqat: “Dan miqat ini adalah untuk orang-orang di tempat itu, dan selain mereka untuk mereka yang datang melalui tempat-tempat itu dengan niat untuk mengerjakan haji dan umrah.” Jika dia berihram dari Jeddah dan datang ke Makkah dalam hal ini, maka menurut para ulama dia wajib membayar dam dan fidyah, qurban untuk disembelih di Makkah, dan bersedekah kepada orang miskin, tetapi umrahnya sah. Jika dia tidak berihram dari Jeddah setelah sampai ke sana, dan dia berniat untuk mengerjakan umrah sebelum dia sampai ke sana, dan dia kembali ke miqaat dan masuk ihram dari sana, maka dia tidak kenakan apa-apa.  (Lihat Fatawa Arkan al-Islam, soalan no. 467). 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa sekiranya saudara ingin melancong ke Jeddah dan di Arab Saudi dan sudah mempunyai niat untuk melakukan umrah sebelum memulakan perjalanan dari Malaysia ke Jeddah, maka saudara mestilah berihram dari miqat yang saudara lalui tanpa mengira sama ada umrah dilakukan terlebih dahulu atau urusan pelancongan dilakukan terlebih dahulu. Sekiranya saudara ingin melancong terlebih dahulu, saudara boleh melakukannya, tetapi mesti dilakukan dalam keadaan ihram. Justeru, dalam hal ini, kami nasihatkan supaya saudara menyelesaikan  dahulu ibadah umrah sebelum saudara melakukan apa-apa urusan lain.

Namun begitu, sekiranya saudara ingin juga melancong terlebih dahulu sebelum melakukan umrah, saudara boleh melakukannya, tetapi saudara tidak boleh melakukan miqat dari Jeddah, tetapi saudara mesti melakukan ihram di miqat yang terdekat dengan saudara seperti di Qarn al-Manazil dan juga miqat-miqat lain sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Sekiranya saudara bermiqat juga dari Jeddah, maka saudara perlu membayar dam dengan menyembelih seekor kambing di Makkah dan membahagikan dagingnya kepada orang-orang miskin di kawasan tanah haram Makkah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H