#1456: Orang Buta Tidak Afdhal Menjadi Imam?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Manakah yang lebih afdhal menjadi imam, antara orang buta dengan orang yang celik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan kelebihan orang yang buta. Daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: 

إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِي بِحَبِيبَتَيْهِ فَصَبَرَ، عَوَّضْتُهُ مِنْهُمَا الجَنَّةَ. يُرِيدُ: عَيْنَيْهِ

Maksudnya: “Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan mengambil dua benda yang dikasihinya, lalu dia tetap bersabar, maka Aku menggantikan keduanya dengan syurga.” Maksudnya adalah kedua matanya. 

Riwayat Bukhari (5653)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sabda Baginda, ‘إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِي بِحَبِيبَتَيْهِ’, hal ini ditafsirkan pada akhir hadith, “maksudnya adalah kedua matanya.” Namun, tidak ada penegasan tentang siapa yang mentafsirkannya. Maksud dua kekasih adalah yang dikasihi, kerana keduanya merupakan anggota badan paling dicintai manusia, di mana kehilangan keduanya menimbulkan kesulitan besar, kerana tidak dapat melihat hal-hal yang menggembirakan atau menghindari hal-hal yang tidak diinginkan. 

Sabda Baginda, ‘فَصَبَرَ’ (“lalu dia bersabar”). Al-Tirmizi menambah dalam riwayatnya daripada Anas, ‘وَاحْتَسَبَ’ (“dan mengharap pahala”). Demikian diriwayatkan Ibn Hibban dan al-Tirmizi daripada hadith Abu Huraitah. Begitu juga dinukilkan Ibn Hibban daripada hadith Ibn Abbas. Maksudnya, dia bersabar sambil menghadirkan dalam ingatan pahala yang dijanjikan Allah bagi yang bersabar atas ujian itu, kerana amal perbuatan itu akan diganjar-kan sesuai dengan niatnya. Ujian Allah kepada hamba-Nya di dunia bukan kerana kemurkaan-Nya, bahkan mungkin untuk menolak perkara yang tidak diinginkan, atau menghapus dosa, atau mengangkat darjat. Apabila seorang hamba menerima hal itu dengan redha, maka sempurnalah maksud tersebut. Jika tidak, maka keadaannya seperti yang disebutkan dalam hadith Salman, “Sesungguhnya sakit seorang mukmin dijadikan Allah sebagai kaffarah (penghapus dosa) baginya dan jalan bertaubat. Adapun sakit seorang pelaku dosa adalah seperti unta yang diikat para pemiliknya, kemudian mereka melepaskannya tanpa dia tahu mengapa diikat dan mengapa dilepas.”) Hadith ini diriwayatkan Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Adab al-Mufrad dengan sanad yang mauquf. (Lihat Fath al-Bari, 28/32)

Dalam menjawab persoalan di atas, kemuliaan dan kelebihan manusia adalah ketaqwaan. Firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Surah al-Hujurat (13)

Kami telah menjawab berkenaan dengan tertib dan aulawiyyat mereka yang menjadi imam, antaranya orang yang paling faqih, orang yang baik bacaan, orang yang mendahului hijrah, orang yang lebih tua dan yang lebih soleh. Inilah yang sepatutnya diraikan terlebih dahulu. 

Persoalan di atas antara celik dan buta bukanlah isu utama tetapi mereka yang mempunyai sifat dan kriteria di atas patut didahulukan walaupun dia seorang yang buta. Daripada Abu Mas’ud al-Ansari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا

Maksudnya: “Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah (al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam). Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.”

Riwayat Muslim (673)

Nas ini jelas menunjukkan bahwa yang paling baik bacaan lebih aula menjadi imam dan didahulukan daripada yang lain. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menugaskan Abdulllah Ibnu Ummi Maktum seorang sahabat yang buta menjadi imam dan penggantinya di kota Madinah.

Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita yang terkait dengan masalah solat dan imam. Amin.

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H